Cuaca Panas Sebab Kurang Hujan dan Angin Lemah
2016.03.11
Putrajaya
Kekurangan hujan dan angin yang lemah adalah faktor keadaan di Malaysia menjadi semakin panas, dengan kitaran arah angin telah menyelamatkannya daripada dilanda jerebu selepas berlaku kebakaran hutan di Riau, Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari berkata, kitaran angin yang bertiup dari Timur Laut, menyebabkan asap jerebu tidak memasuki negara itu.
Perintah darurat telah diisytiharkan di Riau pada Isnin, berikutan kebakaran hutan dan ladang di Sumatera, kata pegawai kerajaan negara itu.
"Gabenor mengisytiharkan darurat, untuk menghalang kebakaran pada 2015 berulang," kata jurucakap kerajaan tempatan, Darusman seperti dilaporkan media antarabangsa.
Dalam pada itu, Alui berkata, cuaca panas yang melanda Malaysia ketika ini, adalah berikutan peralihan angin Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya dan bukan datang dari negara jiran.
"Ketika cuaca panas, banyak zarah-zarah daripada aktiviti industri dan kenderaan bermotor dalam negara berterbangan di udara dan ini sekaligus mengurangkan jarak penglihatan," katanya ketika dihubungi Berita Benar.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Madius Tangau berkata, cuaca panas yang dialami negara itu pada masa ini, akan berterusan sehingga penghujung bulan.
“Keadaan ini disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan… fenomena ini dijangka menyebabkan pengurangan hujan antara 20 dan 60 peratus serta kenaikan suhu sekitar 0.5 hingga 2.0 celsius berbanding biasa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menteri berkenaan juga menasihati orang ramai supaya berjimat cermat semasa menggunakan air serta mengurangkan aktiviti luar apabila berlakunya cuaca panas.
Sementara itu, seorang penjawat awam, yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Sarah berkata keadaan suhu yang panas menyebabkan rutin hariannya terganggu.
"Cuaca panas sangat, sampai saya tidak boleh hendak keluar buat kerja kerana akan menyebabkan sakit kepala… keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.