Malaysia Tunggu Pengesahan Filipina

Staf BeritaBenar
2015.11.17
151117-MY-CULIK620 Tentera Filipina membawa rakan mereka yang cedera selepas bertempur dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf, dari sebuah kem tentera di bandar Jolo, wilayah Sulu, di pulau selatan Mindanao. 25 Februari 2015
AFP

Malaysia sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan bahawa rakyatnya, Bernard Then Ted Fen, yang diculik kumpulan Abu Sayyaf pada Mei lalu, telah dipenggal oleh kumpulan militan itu setelah gagal menerima wang tebusan bagi pembebasannya.

“Perkara ini masih belum dapat dipastikan. PDRM (Polis DiRaja Malaysia) sedang berusaha dapatkan pengesahan dari Selatan Filipina. Kita doakan Bernard selamat,” kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam catatan Twitter beliau pada lewat malam Selasa.

Menurutnya, pihak berkuasa Filipina dilaporkan bertempur dengan kumpulan penculik itu di Pulau Jolo pada petang Selasa dan PDRM belum dapat mengesahkan nasib Bernard Then.

Bernard Then Ted Fen, 39, seorang jurutera elektrik, dan pengurus restoran Thien Nyuk Fun, 50 adalah dua rakyat Malaysia yang diculik oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas. Then adalah pengunjung restoran tersebut.

Pada 8 November lepas, kumpulan penganas itu telah membebaskan pengurus wanita itu selepas rundingan antara kerajaan Malaysia dan kumpulan berkenaan diadakan.

Kerajaan Malaysia menafikan membayar wang terbusan sebanyak RM7.8 juta kepada kumpulan pengganas itu untuk membebaskan Thien.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang pengesahan mengenai laporan kononnya Bernard Then dibunuh kumpulan itu.

"Setakat ini, saya belum dapat pengesahan mengenai berita ini, sama ada benar atau tidak," katanya kepada media menerusi Whatsapp pada malam Selasa.

‘Sah pancung’


Beberapa media asing melaporkan kumpulan pengganas Abu Sayyaf telah memancung kepala tebusan dari Malaysia itu.

Dalam pada itu, Tentera Filipina mengesahkan laporan bahawa mangsa culik rakyat Malaysia itu dipancung oleh militan Abu Sayyaf di selatan Filipina pada Selasa, selepas permintaan sejumlah besar wang tebusan tidak dibayar, kata dua pegawai tentera.

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu, Brigadier General Alan Arrojada, mengesahkan jurutera berasal dari Sarawak itu dipancung sekitar jam 4 petang di kubu Abu Sayyaf di pulau Jolo, wilayah Sulu, kira-kira 1,400 kilometer selatan Manila.

Kumpulan militan itu dikatakan membunuh Bernard Then di kawasan hutan di luar bandar Indanan, wilayah Sulu di mana kumpulan Abu Sayyaf dipercayai turut menahan tebusan rakyat Filipina dan rakyat asing lain, kata pegawai berkenaan yang memetik laporan risikan kepada media negara itu .

Berita mengenai Bernard Then dipancung disiarkan beberapa jam selepas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di Manila untuk Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selama dua hari.

APEC ke-23 yang bermula Rabu dijangka turut membincangkan isu serangan pengganas di Paris pada Jumaat lalu.

Selain Najib, beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama juga menghadiri forum itu.

Amerika Syarikat dan Filipina telah menyenaraikan Abu Sayyaf sebagai pertubuhan pengganas yang sering melakukan penculikan, memenggal kepala, memeras ugut dan serangan bom.

Kumpulan militan itu, yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, sebelum ini pernah dilumpuhkan tetapi berjaya mengelak daripada dimusnahkan oleh serangan demi serangan pihak berkuasa yang disokong Amerika Syarikat sejak sedekad yang lalu.

Abu Sayyaf juga disyaki menculik seorang rakyat tempatan dari Filipina dan warga asing - dua dari Kanada dan seorang dari Norway - dari sebuah marina di selatan negara itu pada September lepas dan menuntut wang tebusan lebih $60 juta bagi pembebasan warga asing itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.