Seorang Lagi Rakyat Malaysia Diculik Di Perairan Sabah

Hata Wahari
2016.09.28
Kuala Lumpur
160928-my-culik-sabah620-1.jpg Seorang nelayan (berbaju merah) berdiri di atas dek sebuah bot nelayan yang berlabuh di Pasar Ikan Kota Kinabalu di Sabah, 14 Jun 2015.
AFP

Sekumpulan enam orang bersenjata dipercayai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) bertindak menculik seorang rakyat Malaysia dan melarikan sebuah bot nelayan di Perairan Sabah, pada malam Selasa, kata Ketua Polis Sabah kepada BeritaBenar.

Abdul Rashid Harun berkata, penculikan yang melibatkan pemilik kapal pukat tunda itu berlaku pada kira-kira pukul 9.30 malam, semasa kapal berkenaan sedang menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Gaya, Semporna.

Katanya, kumpulan yang sama juga dipercayai melakukan rompakan ke atas sebuah lagi bot nelayan milik rakyat tempatan di perairan Tungku, Lahad Datu, kira-kira 30 minit selepas melakukan penculikan itu.

“Mangsa yang diculik dikenali sebagai Ruslan@Nasir Sarapin berusia 39 tahun, seorang, warga tempatan dari etnik Sulu dan ketika kejadian bot pukat tunda tersebut didapati melanggar perintah waktu berkurung serta tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan dalam waktu perintah berkurung,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa turut melakukan kesalahan kerana mengambil pekerja tanpa izin dengan kesemua anak kapal tidak mempunyai permit bekerja di Malaysia.

Buat masa ini kata Abdul Rashid, pihaknya atau keluarga mangsa masih belum dihubungi oleh kumpulan penculik tersebut

Sementara Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, kegagalan mangsa untuk mematuhi perintah waktu berkurung telah menyukarkan pihak berkuasa untuk menghalang kejadian penculikan oleh kumpulan pengganas dari selatan Filipina itu.

“Tambahan pula bot pukat tunda itu tidak memasang Sistem Pengenalan Automatik (AIS) serta tidak mempunyai alat komunikasi bagi membolehkan pihak berkuasa menghubungi mereka jika terdapat masalah,” tegasnya kepada BeritaBenar.

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Sabah selepas berlakunya peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013, di mana pasukan keselamatan negara berjaya mematahkan cubaan pencerobohan oleh kira-kira 200 pengganas yang menaiki bot dari Sulu, sebuah wilayah di selatan Filipina yang berjiran dengan Malaysia.

Kerajaan Filipina pada Selasa berkata dua adik beradik dari kumpulan saudara Muktadil, Nikson dan Brown, terbunuh dalam kempen berterusan yang dijalankan oleh pihak polis dan tentera negara itu dalam usaha untuk membebaskan semua mangsa penculikan, termasuk lima rakyat Malaysia.

Pada hari yang sama juga, Polis Filipina mengumumkan yang pasukannya berjaya mematahkan sindiket yang membekalkan senjata api dan peluru kepada kumpulan Abu Sayyaf itu dengan merampas sebuah cache pelancar bom tangan, senapang tentera dan beribu-ribu butir peluru yang bernilai 6 juta peso (AS$124,000) apabila menahan ketua sindiket berkenaan, Unding Kenneth Isa, bersama tiga lagi rakannya di kawasan Metro Manila pada Sabtu lalu.

Presiden Filipina yang baru, Rodrigo Duterte telah mempergiatkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan Abu Sayyaf di negara itu, termasuk mengerahkan Polis dan batalion tentera, melibatkan kira-kira 9,000 kakitangan mengepung kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian di wilayah Pulau Sulu dan Basilan. Hasilnya, hanya 21 anggota kumpulan itu menyerah diri pada Jumaat di Sumisip, Basilan, menurut pegawai kerajaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.