Penculikan: Dua Rakyat Tempatan Dan Tiga Warga Asing Berdepan Hukuman Mati

S. Adie Zul
2016.09.26
Alor Setar, Kedah
160926-MY-BD-migrants-620.jpg Empat daripada lima suspek kes penculikan sembilan pekerja asing dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar, 26 September, 2016.
[S. Adie Zul/BenarNews]

Dua lelaki tempatan dan tiga warga asing berdepan hukuman mati mandatori atas pertuduhan menculik lapan rakyat Bangladesh dan seorang warga Myanmar, serta memeras ugut wang tebusan RM15,000 bagi setiap mangsa, awal bulan ini, di negeri Kedah yang terletak di utara semenanjung Malaysia.

Pada Isnin, Mahkamah Majistret Alor Setar membuat pertuduhan ke atas kelima-lima tertuduh menurut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 - dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam kes berkenaan ialah Mohd Ibroni Abdullah, 36, dan Zainal Nayan, 32, dituduh secara bersama dengan dua pendatang asing warga Myanmar, Zangir Alam dan Saiful Shona Miya, serta seorang warga Bangladesh Abul Husin Akhbar atas kesalahan menculik, mengurung dan menahan kesemua sembilan lelaki itu.

Kesemua mangsa berumur antara 22 dan 45 tahun, telah dikurung di sebuah rumah bernombor 51, Kampung Asam Jawa, Pendang, tidak jauh dari Bandaraya Alor Setar, ibu negeri Kedah kira-kira jam 2.30 pagi pada 6 September lalu.

Kesemua tertuduh turut mengugut untuk membunuh mangsa-mangsa, sekiranya keluarga mereka gagal membayar wang tebusan RM15,000 bagi setiap seorang.

Kesemua tertuduh mengangguk kepala tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail manakala mereka tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Oktober untuk tarikh sebutan semula sementara menanti proses melantik jurubahasa bagi tertuduh warga asing.

Mahkamah juga mengarahkan semua tertuduh untuk ditahan sehingga proses perbicaraan selesai disebabkan kesalahan tersebut tidak membenarkan ikat jamin.

Mangsa ditemui lemah, kebuluran dan kaki dirantai

Awal bulan ini, agensi berita tempatan, Bernama melaporkan polis telah menyelamatkan sembilan pekerja asing yang telah diculik dan dikurung di sebuah rumah di Pendang.

Bernama melaporkan kesemua mereka ditemui "dalam keadaan lemah, kebuluran dan kaki mereka dirantai" apabila diselamatkan oleh sepasukan polis susulan laporan berhubung penculikan enam pekerja Bangladesh dari sebuah tapak pembinaan di Sungai Petani, sebuah daerah yang terletak di daerah selatan Kedah pada 29 Ogos lalu.

Turut dilaporkan, tiga lagi mangsa telah diculik dari dua lagi negeri iaitu di Perak dan Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kedah Asri Yusoff dilaporkan berkata kesemua keluarga mangsa di Bangladesh telah menerima ugutan bahawa mangsa akan dibunuh sekiranya tuntutan RM15,000 bagi setiap mereka tidak dipenuhi.

Beliau dilaporkan berkata, salah seorang suspek, warga Bangladesh, dipercayai bertindak sebagai orang tengah mengugut keluarga kesemua mangsa.

Kedah dan Perlis telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana pekan-pekan yang terdapat di kedua-dua negeri itu terletak bersempadan dengan Thailand.

Pada Mei 2015, pihak berkuasa Malaysia menemui 139 kubur mengandungi 106 mayat di beberapa kem tahanan penyeludupan manusia yang terbiar di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand, berdekatan dengan pekan Wang Kelian, di Perlis.

Pada bulan yang sama, 36 mayat ditemui di kawasan yang sama di bahagian Thailand, dimana susulan daripada penemuan tersebut, kerajaan negara berkenaan melancarkan gerakan besar-besaran terhadap aktiviti penyeludupan manusia sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan.

Hampir 3,000 etnik Rohingya daripada Myanmar dan warga Bangladesh, yang ditinggalkan oleh anggota sindiket penyeludupan, muncul secara tiba-tiba di perairan Malaysia dan Indonesia.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, Malaysia hanya mengemukakan pertuduhan terhadap tiga individu berhubung kes di Wang Kelian.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang ejen pekerja asing didakwa di Mahkamah Sesyen, di bandar yang sama di atas 10 pertuduhan memperdagangkan 10 wanita untuk eksploitasi kerja atau perkhidmatan paksa, di sebuah motel di Alor Setar, tiga bulan lalu.

Tertuduh, Teh Boon Tat, 35, dari Taman Seri Impian, Jalan Lenchong, dituduh melakukan kesalahan tersebut di TSB Motel, Jalan Lencong Barat, Alor Setar pada 25 Jun lepas.

Teh didakwa memperdagangkan Yuli Yuliana, 30, Masitoh Dading Adin, 49, Kusmayati Kustiwa Sahrimi, 33, Titin Martini Mamun, 41, Maryana, 46, EEM Marlina, 30, Imas Ias Agus, 42, Sri Rizki Titang Utay, 26, Nining Yuningsih, 37, dan Nining Karniati Hasan Ishak, 31, bagi maksud eksploitasi kerja atau perkhidmatan secara paksaan di motel terbabit.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Teh, yang diwakili peguam G. Ravishankar mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainol Rashid Hussain. Pertuduhan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ana Rozana Mohd Nor.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM80,000 sementara menunggu perbicaraan pada Oktober depan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.