Sindiket Jenayah Asia Tenggara Buat AS$100 Bilion Setahun, kata PBB

Staf BeritaBenar
2018.05.03
Bangkok, Thailand
180503-TH-drugs-620.jpg Seorang pegawai polis Thailand membungkus semula ganja yang disita selepas sidang media di Bangkok, di mana pihak berkuasa negara itu mengumumkan mengenai penemuan dadah bernilai kira-kira AS$29 juta sejak beberapa hari kebelakangan ini, 3 April 2018.
[AP]

Ekonomi jenayah transnasional terancang di Asia Tenggara berkembang pesat bersama aliran yang semakin meningkat dalam perdagangan serantau yang sah, dengan sindiket bawah tanah meraut lebih daripada AS$100 bilion hasil tahunan daripada penyeludupan narkotik dan perniagaan haram lain, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis.

Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mendedahkan angka yang mengejutkan ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kira-kira 200 diplomat dan pegawai dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang berkumpul di Bangkok semasa persidangan peringkat tinggi untuk membincangkan cara terbaik untuk menyelaraskan pengurusan sempadan dan menangani jenayah terancang.

Aliran perdagangan di Asia Tenggara telah meningkat empat kali ganda dalam dekad yang lalu dan dianggarkan mencapai AS$375 bilion setahun menjelang 2025, kata UNODC.

"Selari dengan pencapaian positif ini, ekonomi jenayah Asia Timur dan Asia Tenggara semakin berkembang, dengan perkiraan konservatif nilai pendapatan jenayah transnasional terancang melebihi AS$100 bilion setahun - lebih daripada produk domestik kasar beberapa negara anggota ASEAN," kata agensi PBB itu.

Timbalan Perdana Menteri Thai Prajin Juntong, yang menyampaikan ucaptama di persidangan itu, memberi amaran bahawa sindiket jenayah dan kumpulan penjahat lain boleh mengambil kesempatan daripada perdagangan yang sah di blok serantau 10 negara anggota.

"Pasaran ekonomi dan perdagangan ASEAN akan terus meningkat. Walaupun ini positif, ia juga menyediakan peluang yang lebih tinggi kepada kumpulan jenayah transnasional yang tidak menghormati sempadan kita, "katanya.

"Kegiatan haram seperti perdagangan manusia sering mencerminkan aliran dan pergerakan barang dan perkhidmatan, dan ketika tahap ekonomi semakin meluas, jaringan kejahatan dan bahkan kumpulan pengganas akan mencari jalan untuk mengambil kesempatan," tambah Prajin, yang juga menteri perundangan.

Semasa persidangan itu, Arkhom Termpittayapaisith, Menteri Pengangkutan Thailand, menekan pentingnya pengurusan sempadan, semasa beliau bercakap mengenai pelaburan utama dalam infrastruktur di seluruh rantau itu.

Arkhom, turut  merujuk kepada pelbagai projek mega untuk membina jalan dan jambatan di rantau itu yang menjadi sebahagian daripada strategi geopolitik pemimpin China, Xi Jinping, yang dikenali sebagai Inisiatif Laluan dan Jalan (BRI), iaitu laluan moden bernama, Silk, yang bertujuan untuk menghubungkan China dengan negara Asia serta negara-negara lain.

"Apa yang kita lihat ialah peluang untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial, tetapi ia dilihat oleh pihak lain sebagai jalan untuk mengembangkan kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.

Peningkatan pengeluaran dan pengedaran dadah sintetik, penyeludupan, perdagangan kayu dan  hidupan liar semakin meningkat, serta tanda-tanda penyeludupan manusia dan pemerdagangan migran telah direkodkan di Asia Tenggara, kata UNODC.

Pelaburan asing China (FDI) ke negara-negara anggota ASEAN kekal kecil pada kadar 6.8 peratus daripada jumlah aliran masuk bersih pada tahun 2015, tetapi syarikat-syarikat China kini terlibat dalam projek infrastruktur utama di rantau itu, pakar ekonomi berpangkalan di Singapura Weiwen Ng memberitahu Bloomberg News.

China menyumbang kepada 14 peratus daripada aliran masuk FDI bersih ke Thailand tahun lepas, lapan peratus di Vietnam dan Indonesia, dan enam peratus di Malaysia, kata Ng. Filipina menerima bahagian kecil sebanyak 0.14 peratus, katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.