Polis guna SOSMA tahan ketua sindiket dadah, yang pertama bagi Malaysia

Penggunaan akta kontroversi itu membolehkan tindakan menyeluruh dapat diambil keatas semua yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.
Ili Shazwani Ihsan
2023.12.26
Kuala Lumpur
Polis guna SOSMA tahan ketua sindiket dadah, yang pertama bagi Malaysia Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, 26 Disember 2023.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

KEMASKINI pada 9 pagi waktu tempatan ETS - 2023-12-27

Polis Malaysia buat pertama kalinya menggunakan SOSMA, satu undang-undang keselamatan negara yang kontroversi, untuk menahan ketua dan sembilan lagi suspek satu sindiket dadah yang lazimnya diberkas di bawah akta dadah berbahaya, demikian menurut pegawai kanannya pada Selasa.

Polis berkata Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 - SOSMA membolehkan mereka menumpaskan sindiket dadah yang dipercayai terbesar di Sabah itu secara menyeluruh dalam membantu proses siasatan.

Timbalan Ketua Polis Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan awal menunjukkan sindiket yang didapati telah beroperasi sejak 2015, menggunakan keldai dadah untuk membawa masuk dadah jenis syabu yang dibekalkan dari negara jiran ke Malaysia melalui penerbangan komersial dan kargo laut.

“Siasatan masih dijalankan. Mereka kini ditahan di bawah SOSMA, penahanan kes dadah yang pertama kali dibuat di bawah prosedur berkenaan.

“Kami sedang menyiasat sindiket itu mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah terancang dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Sindiket yang mempunyai jaringan pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan itu  mendapatkan bekalan syabu dari negara jiran di Semenanjung yang dibawa masuk ke Malaysia dan disimpan di Sabah untuk diagihkan bagi kegunaan pusat-pusat hiburan sekitar negeri itu sebelum diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina,” kata Ayob ketika dihubungi BenarNews pada Selasa.

Beliau memaklumkan bahawa berbeza dari sebelum ini di mana Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 (Akta 340) digunapakai bagi kes pengedaran dadah, pihak polis pada kali ini menjalankan siasatan di bawah AMLA untuk mengesan wang hasil kegiatan pengedaran dadah itu serta aset yang dibeli menggunakan wang terebut.

Selain itu, pihak polis juga sedang menyiasat kemungkinan hasil kegiatan haram tersebut digunakan bagi tujuan penyediaan dana kepada perniagaan sah yang dipercayai dimiliki oleh ketua sindiket terbabit.

“Tumpuan kita sekarang bukan berpusat kepada berapa banyak dadah yang kita boleh rampas, tetapi lebih menjurus kepada usaha merampas hasil kegiatan haram melalui pengedaran dadah yang dimiliki sindiket ini,” Ayob memberitahu BenarNews.

SOSMA adalah satu peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan pada 2012 untuk membenarkan pihak berkuasa menahan seseorang yang disyaki melakukan jenayah berat antaranya berkaitan keganasan, jenayah terancang atau mengancam kedaulatan negara, selama 28 hari tanpa melalui proses mahkamah atau campur tangan majistret.

Kesukaran hukuman

Timbalan Ketua Polis negara itu juga menjelaskan bahawa pendekatan terkini yang diambil dengan menjalankan siasatan di bawah kesalahan jenayah terancang selain penahanan di bawah prosedur SOSMA adalah bertujuan bagi membolehkan tindakan secara menyeluruh dapat diambil ke atas semua pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.

“Ramai pesalah yang ditangkap dalam kes pengedaran dan penyeludupan adalah pengedar-pengedar bawahan manakala bagi ketua sindiket pula sukar untuk kita ambil tindakan oleh kerana kes-kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 memerlukan bukti yang sangat kukuh dari segi pemilikan, pengetahuan, kawalan dan jagaan.

“Ini yang sukar untuk dibuktikan di mahkamah. Di samping itu, ketua-ketua sindiket selalunya tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti pengedaran dadah, jadi agak sukar untuk kita buktikan peranan mereka dalam aktiviti terbabit.

“Jadi kita berharap dengan pendekatan baharu ini, tindakan secara menyeluruh dapat diambil terhadap semua yang terlibat daripada ketua sindiket, orang bawahan, pengedar, transporter, penjaga stor simpanan, keldai dadah dan sebagainya,” kata Ayob pada satu sidang media di Kuala Lumpur.

Sidang media itu diadakan bagi memaklumkan kepada pemberita mengenai penangkapan ketua dan anggota sindiket semasa operasi khas bersama anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di beberapa kawasan di Sabah yang dijalankan pada Isnin, yang sekaligus berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu.

Ketua sindiket bergelar Datuk

Mengulas lanjut mengenai tangkapan dan rampasan itu, Ayob mendedahkan bahawa ketua sindiket merupakan seorang ahli perniagaan rakyat tempatan berusia 40 tahun yang mempunyai gelaran ‘Datuk’ selain memainkan peranan sebagai penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan melindungi aktiviti haramnya.

Siasatan lanjut turut mendapati suspek sebelum ini pernah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Selain itu, peniaga berusia 36 dan 48 tahun yang merupakan pembantu peribadi dan ahli kanan kepada ketua sindiket itu turut diberkas bersama dengan seorang pegawai agensi penguatkuasa berusia 44, yang dipercayai berperanaan sebagai ‘transporter’ bagi sindiket itu.

Ayob berkata tangkapan lain melibatkan individu berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh yang merupakan keldai dadah, dua individu lain yang masing-masing berusia 32 dan 45 tahun, bertugas sebagai penyelia tapak dan pengarah urusan rangkaian restoran yang menguruskan aspek kewangan sindiket terbabit.

Tiga indvidu lagi adalah penganggur masing-masing berusia 30, 31 dan 48 tahun yang berperanan sebagai pengedar dadah dan tonto bagi memantau aktiviti sindiket tersebut.

“PDRM juga telah mengesan yang ahli sindiket terbabit mempunyai pelbagai aset seperti kenderaaan mewah, rumah banglo, 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, minyak dan gas serta pembuatan selain mempunyai sebuah feri dan rangkaian restoran di Sabah.

“Siasatan ke atas sindiket terbabit masih diteruskan bagi mengesan saki baki anggota sindiket, dan pada masa yang sama, pihak polis turut menyiasat penglibatan dalam aktiviti penyeludupan kontraban serta barangan bersubsidi dari Malaysia ke Indonesia dan Filipina,” tambah Ayob lagi.

Kewajaran guna SOSMA

Penggunaan SOSMA buat pertama kalinya bagi kes berkaitan dadah dilihat sebagai sesuatu yang wajar oleh seorang peguam jenayah veteran Naran Singh yang menyifatkan dadah sebagai musuh utama negara berikutan ancamannya terhadap orang ramai.

“Ini merupakan satu idea yang baik untuk dicuba [penggunaan SOSMA] kerana kadangkala pengawal keselamatan di premis pemprosesan dadah memberi alasan mereka hanya bertugas mengawal premis tersebut dan tidak mengetahui tentang kegiatan di situ. Begitu juga dengan transporter,” beliau berkata kepada BenarNews.

Naran turut menyatakan sokongan beliau terhadap penggunaan SOSMA berikutan terdapat kesukaran dalam menahan dan menyabitkan dalang dan ketua sindiket dengan kesalahan pengedaran dadah.

Ini kerana menurutnya kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 memerlukan bukti pemilikan dadah di mana tertuduh mesti ditahan bersama dadah samaada berada pada anggota badannya, dalam kenderaan atau di premis tempat tertuduh berkenaan berada.

Penggunaan SOSMA dilihat sebagai undang-undang kontoversi dan zalim oleh segelintir pihak kerana seseorang yang ditangkap boleh ditahan sehingga 28 hari bagi tujuan penyiasatan tanpa dibicarakan.

Pada Februari lalu Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dilaporkan oleh akhbar tempatan menggesa supaya SOSMA diletakkan dalam tempoh moratarium sementara menunggu undang-undang berkenaan dikaji semula.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.