Sindiket Status Halal Daging Libatkan Rangkaian Dalam Negara dan Transnasional

Nisha David
Kuala Lumpur
2020-12-29
Share
Sindiket Status Halal Daging Libatkan Rangkaian Dalam Negara dan Transnasional Beberapa orang sedang membeli daging di sebuah pasar basah di Kuala Lumpur, Malaysia, 18 Februari 2016.
[Reuters]

Polis Malaysia sedang menyiasat dakwaan berhubung skandal memalsukan status halal daging import yang mungkin melibatkan pegawai di beberapa agensi kerajaan dan sindiket transnasional, kata polis dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata aktiviti penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel serta membabitkan pemalsuan logo halal di negara berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian luas dan didalangi sindiket dalam serta luar negara.

"Mengambil kira jumlah rampasan serta nilai sitaan tinggi, tidak dapat dinafikan bahawa akitiviti ini melibatkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket di dalam dan luar negara.

"Siasatan antara lain merangkumi pihak yang terbabit dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan serta penyeludupan, dan tidak terkecuali pihak yang memanipulasi, bersuhabat serta membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import akan turut disiasat.

“Sebanyak 13 laporan Polis telah diterima daripada orang awam yang melahirkan rasa kegusaran setelah membaca mengenai serbuan di sebuah gudang di Senai, Johor dan pendedahan secara oleh akhbar tempatan berkaitan kegiatan syarikat yang menyeludup daging import secara haram serta menukar status halal daging untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang di keluarkan oleh Bukit Aman pada Selasa.

Beliau menambah PDRM memandang serius isu tersebut dan komited menanganinya masalah itu melalui kerjasama dengan beberapa agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Tindakan keatas dalang kegiatan ini wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat berikutan isu ini menyentuh sensitiviti agama Islam, mengancam ketenteraman dalam negara akibat diperdaya pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu ini turut menjejaskan imej negara sebagai sebuah hab halal serta memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara ini," tambahnya.

Huzir menjelaskan, siasatan polis berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.

SPRM siasat

Isu memalsukan status halal daging import ke Malaysia mula disiarkan oleh akhbar tempatan, Sinar Harian pada 30 November lalu, dan susulan daripada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung unsur penyelewengan dan rasuah dalam kes berkenaan, selain pihak polis.

"SPRM Johor telah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import sebagaimana yang dilaporkan media dan SPRM memandang serius mengenai perkara ini kerana ianya melibatkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia," kata Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias semasa dihubungi BeritaBenar.

Menurut Azmi, siasatan dijalankan di bawah seksyen 16 dan seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kerjasama beberapa agensi seperti KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MAQIS dan Kastam telah diperolehi dengan fokus siasatan meliputi isu pemalsuan borang Kastam 1 iaitu pengisytiharan barangan import serta amalan rasuah di kalangan agensi-agensi terlibat," tambahnya lagi.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Isnin mengeluarkan pelan tindakan bagi menangani isu keraguan status halal daging import, seterusnya menambah baik kelemahan yang ada dan merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu pengurusan halal.

Melalui Bahagian Pengurusan Halal dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia, jabatan berkenaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian serta agensi berkaitan, selain pengimport dan pengedar daging.

"Tindakan lain adalah mempromosi badan pensijilan dan logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM serta meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis pengimport daging, pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta rumah penyembelihan," kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Abdul Aziz Jusoh.

Menurut beliau, JAKIM sudah, sedang dan akan menggerakkan tindakan bagi menangani isu daging import, termasuk mengadakan perbincangan serta mesyuarat dengan pihak yang terbabit dari semasa ke semasa.

"Lawatan ke rumah penyembelihan dan pusat pengumpulan daging import akan terus dipergiatkan. SOP terbaru (proses pensijilan halal) dengan penambahbaikan sedia ada akan dimuktamadkan pada Januari ini," katanya.

Serbuan di Johor

Dalam laporan Sinar Harian akhir November itu, pengangkutan mengimport daging sejuk beku tanpa kelulusan pihak berkuasa membawa kepada serbuan di sebuah gudang simpanan daging import pada 1 Disember di Senai, Johor.

Berdasarkan laporan itu, operasi oleh pihak berkuasa mendapati daging sejuk beku tanpa kelulusan halal dari luar negara diseludup masuk dan dibungkus semula dan diedarkan sebagai daging halal.

Sindiket yang didakwa wujud dan beroperasi sejak 40 tahun dengan purata import bulanan lebih kurang 300 hingga 400 kontena yang setiap satu mampu memuatkan 25 tan daging.

Ia melibatkan daging tidak sah halal dari Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia, China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Bahan itu termasuk daging pejal dan organ seperti paru-paru, ekor, perut dan tulang leher pelbagai ternakan termasuk kerbau, kuda dan kangaroo.

Malah, daging berkenaan juga dilaporkan melibatkan daging kangaroo dan kuda yang didakwa sebagai daging lembu halal.

Sementara itu, Berita Harian pada 21 Disember melaporkan kerajaan Malaysia hanya mengenal pasti 28 rumah sembelih yang sah di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan.

Selain itu, 11 lagi rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan.

Sijil sah import diberikan Malaysia kepada negara pembekal seperti Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Japan dan New Zealand.

Sinar Harian turut melaporkan pada 24 Disember yang bekalan daging tidak diluluskan sebagai daging halal itu memasuki negara melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

"Sindiket dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal dan juga resit bayaran. Ia dibawa ke gudang bersama dengan daging yang diimport daripada sumber yang sah," kata pegawai operasi yang identitinya dirahsiakan kepada Sinar Harian.

Di gudang tersebut, daging dibungkus semula menggunakan tenaga kerja asing. Daging daripada sumber sah dan tidak sah dibungkus semula dengan cap dan label seakan-akan daging halal.

Daging berkenaan kemudiannya akan diedar dan dijual ke pasaran seluruh Malaysia.

Laporan Berita Harian pada 21 Disember turut mendakwa beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi “dibeli” oleh kartel ini bagi melepasi pemeriksaan.

Bagi kes di Johor, kartel didakwa menggunakan sebuah pengimport buah-buahan dan beberapa syarikat tempatan sebagai proksi untuk mengimport daging sejuk beku secara tidak sah.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh