Isteri bekas Menteri Kewangan mengaku tidak bersalah tuduhan gagal isytihar aset
2024.01.23
Kuala Lumpur
Isteri kepada bekas Menteri Kewangan Malaysia Daim Zainuddin pada Selasa didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengisytiharkan aset mereka termasuk syarikat, kereta mewah dan hartanah di Malaysia.
Tindakan mahkamah yang dikenakan ke atas Na’imah Abdul Khalid adalah sejajar dengan komitmen yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam membanteras rasuah serta penyelewengan termasuk di kalangan mereka yang diketahui umum mengumpul kekayaan dalam negara.
Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pendakwa raya yang diketuai oleh Ahmad Feisal Mohd Azmi berkata Na’imah telah gagal untuk mematuhi terma notis bertarikh 8 November yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memerlukan beliau mengisytiharkan semua aset miliknya.
Tuduhan ke atas Na’imah melibatkan dakwaan gagal mengisytiharkan beberapa aset seperti pemilikan syarikat Ilham Tower Sdn Bhd dan Ikham Baru Sdn Bhd, kereta model Mercedes-Benz EQC400 serta Mercedes-Benz SL 50.
Antara harta-harta lain yang tidak diisytiharkan termasuk Ilham Tower, sebuah kediaman di Persiaran Bukit Tunku, empat lot tanah di Bukit Tunku, satu lot tanah di Taman Tun Dr Ismail dan satu lagi di negeri utara semenanjung iaitu Pulau Pinang.
“Saya minta bicara,” kata Na’imah ketika pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Seksyen 36 (2) melibatkan kesalahan sengaja mengabaikan atau tidak mematuhi terma notis yang dikeluarkan oleh SPRM yang menghendaki supaya pernyataan bertulis dengan bersumpah atau berikrar diberikan terhadap pemilian harta mereka.
Mahkamah membenarkan Na’imah diikat jamin sebanyak RM250,000 (AS$52,800) selain mengkehendaki beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Na’imah bakal berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 (AS $21,117) jika sabit kesalahan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac.
Di luar perkarangan mahkamah, Na’imah menyelar Anwar yang dikatakan “mengejar musuh politik lama” dengan “tuduhan yang dia-adakan”, dan dalam masa yang sama menuduh Perdana Menteri itu mempengaruhi mahkamah untuk menggugurkan tuduhan terhadap pihak sekutu beliau.
“… Saya katakan ini kepada anda Anwar Ibrahim, bahawa kuasa itu singkat dan akan sentiasa ada pembalasan bagi mereka yang menyalagunakannya,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas menghadiri sesi mahkamah.
Na’imah, 65, yang menegaskan beliau tidak bersalah mengulangi bahawa beliau juga tidak melakukan sebarang jenayah dan akan membuktikannya di mahkamah.
“Jenayah sebenar adalah memanipulasi insitusi negara utama seperti SPRM dan peguam negara sebagai senjata untuk melunaskan dendam politik.
“Jenayah sebenar adalah menggunakan kuasa kerajaan bagi kepentingan diri dan bukannya untuk manfaat rakyat.
“Jenayah sebenar adalah apabila menyasarkan musuh politik anda dengan dakwaan yang diadakan, manakala tuduhan rasuah digugurkan terhadap kroni politik sekaligus menaikkan kemarahan seluruh rakyat,” kata beliau.
Awal bulan ini, Na’imah dan dua orang anaknya Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk merekodkan kenyataan mereka berhubung siasatan ke atas kekayaan keluarga mereka.
Pada masa itu, Na’imah mengatakan bahawa kejayaan Daim telah digunakan sebagai alasan untuk mencemar reputasi selain memberi gambaran beliau seorang yang korup.
Tambah beliau, Daim – teman rapat lama Mahathir Mohamad – telah digelar sebagai seorang jutawan dan hartawan sebelum memegang jawatan awam 40 tahun lalu.
Baru-baru ini, sebuah agensi berita portal tempatan MalaysiaKini melaporkan kebocoran dokumen yang mengaitkan Na’imah, Amir dan Amin dengan sebuah akaun amanah luar pesisir yang dikatakan bernilai kira-kira AS$52.56 juta (RM244.06 juta) sehingga 2020.
Na’imah bagaimanapun menekankan bahawa ianya merupakan hasil aktiviti perniagaan dan pelaburan yang sah.
Gambar fail bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin bercakap semasa pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi di Beijing, China, 18 Julai 2018. [Andy Wong/AP]
Daim yang berusia 85 tahun kini masih dalam siasatan pihak SPRM berikutan pendedahan yang dibuat dalam laporan Kertas Pandora yang mengaitkan keluarga beliau dengan peniagaan luar pesisir yang bernilai sekurang-kurangnya AS$31 juta.
Bekas menteri kewangan itu telah menafikan membuat sebarang kesalahan dan menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai menyalahi undang-undang dan juga Perlembagaan.
Pada hujung Disember, SPRM telah menyita Ilham Tower, sebuah bangunan 60 tingkat di Kuala Lumpur, milik keluarga Daim yang dikatakan bernilai RM2.7 bilion (AS $570 juta), sebagai sebahagian dari proses siasatan ke atas kekayaan keluarga tersebut.
Minggu lalu, pasukan undang-undang Daim yang diketuai bekas peguam negara Tommy Thomas telah memfailkan permohonan untuk mencabar siasatan SPRM di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sementara itu, Anwar dilaporkan oleh media tempatan pada minggu lalu sebagai berkata badan pencegah rasuah Malaysia itu hanya menjalankan tugas memerangi rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Ini urusan SPRM. Bagaimanapun, saya tidak mahu orang menganggap yang ini (rasuah) perkara kecil. Sama ada kes itu lama atau baru, mereka perlu disiasat.
“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah ada orang yang 'jerung-jerung' besar terlepas,” beliau dipetik sebagai berkata.
Dalam siasatan berasingan, SPRM turut memanggil anak sulung Mahathir, Mirzan, berhubung kes jual beli beberapa syarikat berkaitan kerajaan selain dari siasatan terhadap maklumat yang terdapat dalam Kertas Panama yang mengaitkan usahawan berusia 66 tahun itu.
Kertas Pandora dan Kertas Panama merujuk kepada ribuan dokumen yang didedahkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) selepas membongkar maklumat berkaitan akaun bank dan aset di luar negara milik ahli politik dan personaliti ternama.
Mahathir mendakwa siasatan yang dijalankan ke atas anaknya adalah bertujuan untuk mengumpulkan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.
SPRM memberikan Mirzan tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan maklumat terperinci mengenai segala urusniaga yang dijalankan sejak belaiu berusia 20 tahun, kata Mahathir.
" Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj, saya kena beri bukti.
"Bukan main, daripada tahun 1981 sampai sekarang. Sudah tentu dia (Mirzan) simpan dalam pejabatnya. Simpan dalam bilik yang penuh dengan cek dan dokumen,” kata bekas pemimpin berusia 98 tahun itu kepada pemberita.
“(SPRM minta) Nak bagi (maklumat, dokumen dan senarai urusniaga sepanjang tempoh) 42 tahun dan diberikan pada masa 30 hari. Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun.”
Ili Shazwani di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.