Daim Zainuddin, isteri buat laporan polis, dakwa PM Anwar salah guna kuasa
2024.09.30
Kuala Lumpur
Bekas menteri kewangan Malaysia Daim Zainuddin, yang merupakan sekutu rapat kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan sebelum ini menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa, telah membuat laporan polis pada Isnin terhadap PM Anwar Ibrahim yang dikatakan menyalahgunakan agensi anti-rasuah negara itu bagi membalas dendam terhadap seteru politiknya.
Aduan tersebut difailkan susulan satu laporan berita yang diterbitkan agensi media Bloomberg pada minggu lepas, di mana ia memetik sumber yang mendakwa Anwar telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyasarkan musuh politik perdana menteri itu sebagai balasan kepada keputusan Anwar untuk menyambung kontrak perkhidmatan pegawai tinggi tersebut.
"Perkara ini akhirnya telah disahkan secara bebas seperti dilaporkan Bloomberg. Kini, kami menuntut keadilan. Kami mahu siasatan jenayah terhadap salah guna kuasa, konspirasi dan perlakuan berunsur jenayah oleh Anwar Ibrahim.
“Ini adalah konspirasi untuk menyasarkan musuh politik dengan memanipulasi institusi negara dan badan penguatkuasa, seperti yang dibuktikan oleh pendedahan Bloomberg," kata Naimah Khalid, isteri kepada Daim dalam satu sidang media selepas memfailkan laporan bagi pihak bekas menteri itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di negeri Selangor pada Isnin.
Naimah mendakwa ia bukanlah satu rahsia bahawa tindakan yang dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap dirinya dan suami merupakan siasatan bermotif politik dan tuduhan palsu yang didalangi Anwar.
Beliau menggesa supaya polis menjalankan siasatan yang bebas dan menyeluruh terhadap laporan dibuatnya tanpa sebarang pilih kasih atau rasa takut, dan menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang walaupun seorang perdana menteri.
"Menurut Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri tetap tertakluk kepada undang-undang sama seperti semua orang lain," kata Naimah.
Di dalam laporan polis dibuatnya, Naimah menyatakan bahawa Daim juga bersedia memberikan keterangan kepada pihak berkuasa itu sekiranya diperlukan.
Kes dipindahkan
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar memberitahu BenarNews bahawa laporan tersebut telah diserahkan ke polis daerah Sentul bagi siasatan lanjut. Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan sebab di sebalik tindakan memindahkan kes berkenaan.
"Mereka akan menentukan di bawah undang-undang mana kes ini akan disiasat," kata beliau.
Usaha untuk mendapatkan komen daripada Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa bagaimanapun tidak berjaya.
Pada Khamis, Bloomberg memetik tiga sumber yang tidak dinamakan dalam laporannya, di mana mereka mendakwa ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu pegawai-pegawai agensi berkenaan bahawa beliau menerima arahan daripada Anwar supaya SPRM menjalankan siasatan terhadap Daim, Mahathir dan dua orang anak Mahathir - Mokhzani dan Mirzan.
Artikel tersebut juga mendakwa bahawa Azam memberitahu para pegawainya pada Mac lepas supaya tidak menyiasat satu kes membabitkan bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador.
Kes melibatkan Farhash, 41, sebelum ini bertugas sebagai setiausaha politik Anwar melibatkan pembelian saham syarikat yang mempunyai kaitan dengan projek sistem imigresen, dengan arahan tersebut juga didakwa datang daripada perdana menteri berkenaan.
Beliau pada masa sama adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Perak, sebuah parti politik yang diasaskan Anwar dan beliau merupakan presidennya.
Bagaimanapun, Farhash telah meletakkan jawatan dalam parti pada 2022 dan sejak itu memegang beberapa jawatan dalam beberapa syarikat yang tersenarai dalam bursa saham Kuala Lumpur.
Beliau juga muncul sebagai salah seorang pelabur utama dalam syarikat HeiTech Padu pada Mac lepas, iaitu sebulan sebelum penyedia perkhidmatan teknologi itu memenangi satu kontrak kerajaan untuk membangunkan sebuah sistem biometrik untuk kegunaan di pintu-pintu masuk negara.
Sejak laporan diterbitkan oleh Bloomberg, SPRM yang berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri telah menafikan dakwaan agensi berkenaan sebagai "tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab".
Dalam satu kenyataan kepada BenarNews pada Isnin, ia berkata segala tindakan penguatkuasaan SPRM dijalankan tanpa ada campurtangan mana-mana pihak serta dibuat secara adil dan berdasarkan prinsip undang-undang.
Pejabat Perdana Menteri juga telah menafikan dakwaan bahawa Anwar mengarahkan SPRM supaya menyiasat Mahathir, dua anaknya dan Daim.
"Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sedemikian atau campurtangan dalam siasatan dijalankan oleh SPRM.
"SPRM berfungsi sebagai sebuah badan bebas dan menjalankan tugasnya berdasarkan laporan yang diterima," kata PMO seperti dipetik Bloomberg dalam laporannya.
Pada 1998, Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri pada waktu itu telah memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Anwar kemudiannya telah ditangkap dan dipenjarakan selama beberapa tahun. Daim pula dianggap sebagai seorang penasihat yang berpengaruh dalam pentadbiran Mahathir ketika itu.
Daim, 85, yang merupakan seorang ahli perniagaan yang sebelum ini menjawat jawatan menteri kewangan antara tahun 1984 dan 1991 serta antara 1999 dan 2001, dan isterinya telah menafikan semua dakwaan dibuat SPRM terhadap mereka berkaitan kegagalan mendedahkan semua aset mereka dalam siasatan anti-rasuah berpunca dari pendedahan Pandora Papers.
Sejak menjadi perdana menteri pada 2022, Anwar telah menyambung kontrak perkhidmatan Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM sebanyak dua kali, walaupun beliau sebelum ini pernah mengkritik pegawai anti-rasuah itu berkaitan dakwaan memiliki jutaan saham.
Badan bebas
Cynthia Gabriel, pengasas dan pengarah Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4) berkata SPRM tidak akan mampu menjalankan fungsinya secara bebas selagi ia diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.
"Ketika kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin, pentadbiran pada waktu itu juga menyasarkan pemimpin pembangkang seperti Lim Guan Eng dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Perkara ini sudah menjadi satu trend sejak bertahun lamanya," kata beliau kepada BenarNews.
Kata Gabriel, SPRM perlu dibebaskan daripada sebagai pengaruh kuasa eksekutif bagi membolehkannya menjalankan tanggungjawab tanpa sebarang campur tangan.
Sementara itu, Rafique Rashid, peguam yang mewakili Mahathir, memberitahu BenarNews bahawa Anwar perlu mengambil tindakan saman terhadap Bloomberg kerana penafian oleh PMO sahaja tidak mencukupi untuk meyakinkan orang ramai.
"Perkara ini amat memalukan perdana menteri," kata beliau, dan menambah bahawa jemaah menteri perlu meminta penjelasan daripada Anwar berkenaan perkara itu.
"Pada Mac tahun ini, PM telah ditanya soalan tentang saham yang dipegang oleh Farhash dan Anwar yang merupakan menteri kewangan telah menyatakan akan cuba bertanya kepada Kementerian Kewangan dimana beliau ketuanya juga.
"Tapi masih tak ada jawapan," kata Rafique.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.