Malaysia akan dakwa warga Thailand berhubung kubur mangsa penyeludupan Wang Kelian

Empat suspek diektradisi ke Malaysia susulan operasi selama enam tahun bersama Thailand.
Ray Sherman & Ili Shazwani Ihsan
2023.06.22
Kuala Lumpur & Kangar
Malaysia akan dakwa warga Thailand berhubung kubur mangsa penyeludupan Wang Kelian Polis Malaysia mengusung keranda mayat pelarian Rohingya yang tidak dapat dikenalpasti identiti yang ditemui di kem-kem transit penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis, 22 Jun, 2015.
[Olivia Harris/Reuters]

Mahkamah Malaysia pada Jumaat akan mendakwa empat warga Thailand berhubung penemuan lebih 100 mayat dalam kubur besar di kem-kem tahanan penyeludupan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, demikian menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia.

Warga Thailand berkenaan telah diserahkan kepada Malaysia pada Khamis atas permohonan negara itu pada tahun 2017, yang merupakan sebahagian daripada siasatan ke atas penemuan rangka mangsa penyeludupan etnik Rohingya dan Bangladesh di dalam kubur-kubur yang dijumpai di kem tahanan di Wang Kelian, dua tahun sebelum itu.

“Mereka telah diserahkan kepada kita pada 22 Jun [Khamis] dan akan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di Perlis untuk didakwa pada Jumaat,” kata Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Seorang pegawai kanan polis Malaysia, yang meminta identitinya dirahsiakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media memaklumkan kepada BenarNews yang Ketua Polis Perlis telah dijadual mengadakan sidang media berhubung warga Thai yang diekstradisi itu pada Jumaat.

“Keempat-empat mereka akan didakwa atas pertuduhan penyeludupan manusia,” katanya kepada BenarNews.

Pada Januari 2015, pihak berkuasa Malaysia menemui 139 kubur besar dan 28 kem transit yang bertaburan di kawasan berbukit sepanjang sempadan negara dan Thailand, di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, namun hanya bertindak mengeluarkan kesemua mayat yang ditemui empat bulan selepas itu.

Lebih 100 rangka manusia, dipercayai etnik minoriti Muslim Rohingya dari Myanmar, ditemui di dalam kubur-kubur cetek itu manakala baki dipercayai milik warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Thailand pada awal Mei 2015, telah melancarkan operasi besar-besaran membanteras penyeludupan manusia sehingga membawa kepada tercetusnya krisis kemanusiaan di Asia Tenggara, sebaik saja menemui kubur-kubur cetek yang sama di sempadan selatan negara berkenaan.

Hampir 3,000 etnik Rohingya dari Myanmar dan warga Bangladesh, ditinggalkan oleh pengawal mereka di atas bot penyeludup, secara tiba-tiba menerjah masuk dengan mendarat di pantai-pantai di Malaysia dan Indonesia.

Hanya selepas berita tentang kubur di sempadan Thailand menjadi tajuk utama, pihak berkuasa Malaysia mengumumkan mengenai penemuan kubur di Wang Kelian dan berusaha untuk mengelurkan mayat-mayat yang ditemui di kawasan sempadan itu.

230622-MY-TH-Inside-Ekstradisi.jpeg

Beberapa orang lelaki menunggu dalam kubur besar di antara keranda mangsa etnik Rohingya yang tidak dikenalpasti di Wang Kelian, Malaysia, 22 Jun, 2015. [Olivia Harris/Reuters]

Panel siasatan yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia dalam laporan yang dikeluarkan pada Oktober lepas menyatakan pihak berkuasa dapat mengelakkan penderaan dan kematian mangsa-mangsa penyeludupan sekiranya mengambil “langkah lebih proaktif di kawalan sempadan.”

“Ia tidak memerlukan tindakan luarbiasa untuk mengesan apa yang telah berlaku di Bukit Wang Burma,” demikian menurut satu petikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Suruhanjaya ini menyifatkan insiden di Wang Kelian sebagai tragedi kemanusiaan yang tidak sepatutnya berlaku pada masa dan zaman ini.”

Sehingga hari ini, tiada seorang pun rakyat Malaysia yang telah didakwa berhubung penemuan pada 2015 itu. Hanya empat warga asing yang telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan.

Sementara itu, pihak pendakwaan Thailand telah membicarakan seramai 102 individu yang dikaitkan dengan 32 kubur yang ditemui di sebelah sempadan negara itu, dengan 62 orang telah disabitkan kesalahan, termasuk jeneral berpangkat tiga-bintang, yang dijatuhi hukuman penjara 82 tahun.

‘Tiada sebarang pendakwaan’

Menteri Dalam Negeri Malaysia juga berkata perkembangan terbaharu itu adalah susulan kerjasama erat antara negara berkenaan dengan Thailand. Malaysia pada 2017 telah mengemukakan permohonan ekstradisi ke atas sepuluh warga Thailand.

“Hasil dari kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada sepuluh individu telah berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi," ujar Saifuddin Nasution Ismail.

“Prosiding ektradisi telah berlangsung di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada pada 30 Mac lalu telah memerintahkan keempat-empat individu tersebut untuk diserahkan kepada Malaysia.”

Bagaimanapun, Mohd Mizan Mohammad Aslam, professor di Universiti Pertahanan Malaysia, berharap dapat melihat siasatan lebih giat dari pihak Malaysia.

“Di Thailand, ramai yang telah ditahan atas penglibatan dalam jenayah tersebut berakhir di penjara,” ujarnya kepada BenarNews.

“Sebaliknya di pihak kita, kita masih belum mengambil sebarang tindakan yang serius dan tiada sebarang perbicaraan.”

Beliau meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menjejaki warga tempatan yang terlibat dalam jenayah tersebut dan menghumban mereka ke penjara.

“Saya percaya jika tiada tindakan tegas diambil, jenayah berkenaan akan terus kembali berulang dan mewujudkan satu lagi Wang Kelian,” katanya lagi.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.