Tabung Harapan Malaysia: RM 7 Juta Dikumpul dalam Tempoh 24 Jam
2018.05.31
Kuala Lumpur, Malaysia
Rakyat Malaysia dalam dan luar negara telah berjaya mengumpul RM7 juta dalam tempoh 24 jam yang disalurkan melalui Tabung Harapan Malaysia yang dilancarkan semalam dalam usaha membantu melangsaikan hutang negara, demikian menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Khamis.
Lim ketika bercakap kepada pihak media di kementeriannya berkata sejumlah 7,075,508.79 ringgit telah disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada Tabung Harapan Malaysia sejak ianya dilancarkan pada Rabu.
Tabung Harapan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad bertujuan untuk menyediakan satu platform kepada rakyat Malaysia yang ingin menyumbang dana secara terus dan telus bagi membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara yang mencecah 1 trillion ringgit.
“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka ini, dan kita mengucapkan terima kasih kepada mereka," kata Mahathir, Perdana Menteri kepada pemberita di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet kedua kerajaan baru Pakatan Harapan di Putrajaya pada Rabu.
Lim semasa sidang media pada Khamis turut menerima sekeping cek berjumlah RM13,476.57 daripada Nik Shazarina Bakti, yang telah memulakan kutipan melalui sebuah laman web ‘Go Get Funding’ seminggu sebelum Tabung Harapan Malaysia diwujudkan.
Nik Shazariani, 27, seorang peguam telah memulakan kempen pengumpulan dana untuk membantu Malaysia menyelesaikan hutangnya melalui laman Go Get Funding yang bertajuk “Please Help Malaysia” dengan memberi masa selama 62 hari untuk mengumpul sebanyak AS$100 ribu.
Bagaimanapun, beliau menutup laman itu selepas kerajaan Malaysia melancarkan tabung berkenaan.
Sementara itu, Lim menyifatkan Tabung Harapan Malaysia sebagai usaha yang serupa dengan yang dilakukan oleh rakyat Korea Selatan ekoran krisis kewangan Asia sekitar 1990an .
“Bagi kami kuantiti tidak penting tetapi ia merupakan satu tindakbalas kerajaan terhadap keinginan rakyat untuk membantu negara dan kerajaan baru ini ialah kerajaan yang mendengar suara rakyat,” tambah Lim
Kerajaan juga menegaskan wang yang didermakan ke tabung tersebut akan diaudit dan hanya akan disalurkan ke arah membayar hutang negara.
"Angka RM687 billion sebagai 'hutang rasmi' negara hanyalah angka untuk jadikan anda lena dan selesa,” kata Lim ketika ditanya lagi sama ada hutang negara berada paras rasmi RM687 bilion atau RM 1 trillion.
"Angka RM1 trillion adalah gambaran yang sebenar. Kita tidak mahu tipu-tipu"
Selain daripada sumbangan persendirian, syarikat penerbangan Malindo Air juga telah mengumumkan untuk menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia.
Sambutan netizen
Dalam sebuah kenyataan melalui akaun Facebooknya, pengarah urusan Malindo Air Chandran Rama Muty berkata setiap satu ringgit daripada penjualan tiket syarikat tersebut bermula 1 Jun hingga 31 Ogos akan disalurkan kepada tabung tersebut.
“Kami menyokong usaha kerajaan yang baru ke arah masa depan yang lebih baik untuk kita semua,” kata Chandran lagi.
Usaha yang sama turut diumumkan oleh kartunis Zunar yang berhadapan 9 pertuduhan hasutan ekoran hasil karya satiranya yang dikatakan menghina kepimpinan kerajaan terdahulu.
“Mulai 1 Jun hingga 31 August 2018, setiap pembelian buku dan produk Zunar, 10% darinya akan diderma kepada Tabung Harapan Negara,” kata Zunar yang turut dikenakan sekatan keluar negara oleh kerajaan Barisan Nasional.
“Saya menyeru semua rakyat Malaysia bersama-sama memulihkan negara kita yang hampir bankrup akibat penjajahan para kleptokrat era BN,” tambahnya lagi kepada BeritaBenar.
Namun begitu penubuhan tabung tersebut turut mendapat kritikan di media sosial oleh sesetengah pihak yang berpendapat sebuah kerajaan tidak seharusnya meminta derma daripada rakyat.
“Banyak lagi solusi lain daripada minta derma daripada rakyat,” kata pengguna Twitter NazriZizo yang mencadangkan kerajaan menaikkan cukai korporat terhadap syarikat-syarikat yang kaya.
Seorang lagi pengguna Twitter yang menggunakan nama ‘Hotate Chow’ berkata derma itu tidak ada bezanya dengan cukai kerana ia dibayar oleh rakyat kepada kerajaan.
“Apabila wang diberikan kepada kerajaan supaya kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan memajukan negara, itu namanya cukai,” kata beliau. “Jangan cuba ‘sedapkannya’ dengan memanggilnya sumbangan.”
Ketika ditanya mengenai tanggapan negatif dan kritikan di media sosial mengenai usaha memungut derma ini, Lim berkata kerajaan ada mengambil kira pandangan tersebut tetapi “saya rasa rakyat mahu tunjukkan yang mereka sayangkan negara.”
“Ia satu ekspresi yang saya rasa amat bermakna yang menunjukkan kita sehati, sejiwa, seraga.”
Kementerian Kewangan akan mengumumkan setiap hari pada jam 3 petang jumlah kutipan harian Tabung Harapan Malaysia, selagi kutipan dijalankan.