Kediaman, kenderaan Ahli Parlimen DAP dibaling bom petrol ‘molotov cocktail’
2024.01.10
Kuala Lumpur
Penyerang tidak dikenali pada Rabu membaling bom api ke dalam kediaman seorang pemimpin kanan parti politik yang majoriti ahlinya berbangsa Cina, kira-kira dua minggu selepas Ahli Parlimen itu mencetuskan kemarahan umat Islam Malaysia kerana mencadangkan supaya orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa mengenai undang-undang Syariah.
Pemimpin parti Tindakan Demokratik (DAP), Ngeh Koo Ham berkata, kebakaran disebabkan serangan dipercayai bom petrol 'molotov cocktail' telah merosakkan tiga buah kereta dan sebahagian rumah dipercayai perbuatan khianat selepas menemui sebuah botol yang ditampal dengan satu objek di anjung rumahnya di Ayer Tawar, Perak.
Wakil rakyat kawasan Beruas juga di negeri Perak itu, turut mengesyaki pelaku telah diperdaya dan dihasut supaya menjadi marah terhadap kenyataan dikeluarkan beliau pada bulan lepas, yang telah pun ditarik balik selepas ia mencetuskan kekecohan.
“Mereka yang menyebabkan kebakaran mungkin telah diperdaya oleh berita palsu yang direka mengenai kenyataan saya pada 28 Dis lalu, serta dihasut supaya melakukan serangan ke atas rumah saya,” kata Ngeh yang juga seorang peguam veteran sambil memberitahu yang dirinya tidak mempunyai sebarang musuh.
Pada bulan lepas, Ngeh, 62 terpalit dengan kontroversi selepas mecadangkan supaya orang bukan Islam yang pakar mengenai isu perlembagaan dilantik menyertai sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab menyemak bidang kuasa Mahkamah Syariah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ngeh berkata, beliau membuat cadangan itu sebagai respon kepada rancangan kerajaan pusat untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa diketuai bekas ketua hakim negara, Zaki Azmi bagi mengkaji konflik antara undang-undang Syariah di Malaysia dengan Perlembagaan negara itu.
Kesemua 11 ahli jawatankuasa berkenaan adalah orang Islam, kata Ngeh dalam satu kenyataan.
"Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambilkira sebelum apa-apa cadangan pindaan di buat. Saya tiada niat langsung untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam," tambah beliau lagi.
Ngeh juga mencadangkan supaya wakil daripada Majlis Peguam Malaysia dilantik ke dalam jawatankuasa berkenaan memandangkan majlis itu merupakan satu badan berkanun yang ditubuhkan bagi meneliti undang-undang negara.
Cadangan oleh Ngeh itu bagaimanapun menerima kritikan hebat oleh kumpulan berhaluan kanan, dengan pemimpin pembangkang dari parti PAS dan Bersatu menuduhnya sebagai cuba masuk campur hal-ehwal agama Islam.
Parti UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan turut mengkritik cadangan Ngeh sebagai tidak berasas.
Pemimpin DAP itu kemudiannya telah membuat permohonan maaf dan menarik balik cadangan dibuatnya selepas dituduh mencetuskan kegusaran di kalangan masyarakat Melayu negara itu, yang kesemuanya beragama Islam.
"Malangnya, sebagai respon, pemimpin dari Bersatu dan PAS menuduh saya mencampuri urusan agama Islam.. Mereka mengapi-apikan dan menghasut orang untuk membenci saya...
“Kalau tidak, kenapa orang nak bakar kereta dan rumah saya, malah hendak menyebabkan saya mati di dalam rumah," soal peguam itu pada Rabu.
Ngeh mendakwa apa yang terjadi merupakan "akibat kebencian ialah keganasan" yang disebabkan oleh perbuatan pemimpin Bersatu dan PAS yang memfitnah dirinya.
Sebaliknya, tambah beliau, orang ramai sepatutnya digalakkan untuk mengadakan perbincangan secara matang mengenai semua perkara, dan turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah anti-Islam.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berbaju merah semasa bercakap pada sidang media berkaitan kebakaran di rumahnya dipercayai perbuatan khianat, di Pusat Khidmat Air Tawar, Perak, 10 Januari 2024. [M. Razali/BenarNews]
Maaf pelaku
Mengenai serangan itu, Ngeh berkata beliau memaafkan mereka yang mahu membakar rumah dan kereta serta mencederakan keluarganya "sekiranya pelaku telah diperdaya oleh penipuan dan diapi-apikan orang lain."
"Saya menjemput mereka membuka buku baharu, menjadi rakyat yang baik dan tidak merisaukan keluarga.
“Keluarga anda menyayangi anda dan sekiranya kamu terlibat dalam jenayah, ia menyebabkan mereka sakit, tidak dapat tidur dan kerisauan yang tidak berkesudahan," kata beliau sambil menambah dengan berkata seseorang yang terlibat dalam jenayah tidak akan mendapat pengakhiran yang baik.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Perak, Yusri Hassan Basri mengesahkan mengenai penemuan botol yang dipercayai digunakan sebagai bom petrol 'molotov cocktail' di lokasi kejadian.
Kata beliau, Polis Daerah Manjung menerima panggilan daripada Ngeh pada jam 2.55 pagi dan siasatan di tempat kejadian mendapati sebuah Mercedes Benz telah musnah dalam kebakaran itu, manakala sebuah Honda CRV dan Toyota Hilux pula mengalami kerosakan.
Menurut Yusri, polis sedang memburu pelaku yang bertanggungjawab ke atas serangan tersebut, dan menyatakan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
"Polis sedang jalankan siasatan rapi dari pelbagai sudut," kata beliau dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan mengkritik serangan itu dan mengalu-alukan tindakan pantas pihak berkuasa dalam menyiasat kes berkenaan.
Katanya, perbezaan pandangan dan kepercayaan tidak mewajarkan apa-apa juga tindakan yang melampaui batas undang-undang serta akhlak, terutamanya yang boleh mengancam nyawa serta keselamatan harta benda.
"Perbuatan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali, bukan sahaja kerana bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga berlawanan dengan prinsip asas kehidupan bermasyarakat yang aman dan harmoni," tambah Takiyuddin lagi.