Kerajaan Tentera Thailand Dan Pemberontak Akan Bertemu Bulan Depan

Nani Yusof & Nasueroh
2016.08.23
Washington & Pattani, Thailand
160823-TH-carbomb-1000.jpg Anggota pasukan pemusnah bom Thailand sedang memeriksa tempat kejadian berlakunya pengeboman sebuah kereta yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak di Sungai Kolok, iaitu sebuah daerah di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, 26 Jun 2016.
AFP

Delegasi yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak selatan negara itu berkemungkinan akan mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur awal September depan, dalam usaha untuk memulakan semula rundingan damai tidak rasmi, kata sumber daripada kedua-dua kumpulan kepada BeritaBenar.

Pertemuan itu bertujuan untuk meneruskan rundingan rasmi dalam usaha menamatkan keganasaan yang berlarutan di selatan negara berkenaan. Pertemuan tersebut terhenti hampir empat bulan apabila pemerintahan Thailand enggan menandatangani satu set peraturan asas rundingan masa hadapan yang dikenali sebagai Terma Rujukan Pendamaian (TOR), menurut pihak pemberontak.

Jawatankuasa teknikal dari kedua-dua pasukan telah bertemu pada pertengahan Ogos untuk membincangkan mengenai terma rujukan pendamaian yang baru, kata sumber yang enggan berkongsi maklumat lanjut.

"Kedua-dua pasukan teknikal mencapai kemajuan dalam perbincangan TOR yang diadakan pada 16 Ogos lepas melalui pendekatan kompromi," kata Abu Hafiz Al-Hakim, jurucakap MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak kepada BeritaBenar.

"Kami bersedia untuk memulakan proses secara rasmi tidak lama lagi," katanya sambil memberitahu bahawa negara jiran Malaysia, yang mengusahakan inisiatif damai itu di wilayah selatan, akan mengesahkan tarikh pertemuan berikutnya yang akan diadakan di ibu negaranya, Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu secara tentatifnya ditetapkan pada September 1 atau 2, kata Abu Hafiz.

Sumber dalaman Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri, yang menyelia operasi ketenteraan di seluruh selatan Thailand turut memberi maklumat yang sama.

"Selepas jawatankuasa kecil bersetuju dengan TOR, seterusnya akan diadakan pertemuan oleh perwakilan penuh, secara tentatif pada 2 September. Malaysia akan menjadi fasilitator," kata sumber itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

‘Henti cetuskan keganasan’

Di Bangkok pada Selasa, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha, yang mengetuai kerajaan tentera Thailand, memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengarahkan para pegawainya supaya menetapkan tarikh untuk mengadakan perbincangan dengan pemberontak.

"Terdapat tarikh tentatif dan bahagian keselamatan sedang mempertimbangkannya ... Jika [penentang] ikhlas mereka mesti hentikan perbuatan menghasut keganasan dan tidak menggunakannya senjata sebagai paksaan terhadap kerajaan Thailand untuk mempercepatkan rundingan," katanya selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan.

Apabila rundingan gagal pada April lepas, Jeneral Aksara Kerdpol, ketua delegasi Thailand berkata, gencatan senjata terhad perlu ditetapkan sebelum Thailand boleh bersetuju dengan terma rujukan pendamaian.

Kegagalan itu berlaku beberapa hari selepas seorang perunding kanan Thailand, Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, yang telah terlibat dalam proses damai sejak tahun 2013 di bawah kerajaan awam, dikeluarkan daripada peranannya dalam perbincangan tidak rasmi semasa.

Sementara itu, pihak pemberontak dituduh telah melancarkan pengeboman dan tembakan di tepi jalan. Pihak kerajaan telah mengaitkan pengeboman yang menggegarkan beberapa kawasan yang sering dikunjungi oleh pelancong di selatan negara itu pada 11 dan 12 Ogos lepas, kepada sekurang-kurangnya 20 pemberontak dari selatan Thailand.

Pusingan terakhir rundingan damai rasmi, yang bermula sebelum junta merampas kuasa dua tahun lalu, berakhir dengan kegagalan selepas Hassan Bin Toyib, perunding utama daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan terbesar pemberontak yang paling lengkap bersenjata di selatan negara itu, muncul dalam sebuah video dalam talian pada Disember 2013.

Di dalam klip videonya, beliau telah menyenaraikan tuntutan daripada kumpulan pemberontak itu yang antara lain mendesak kerajaan Thailand mengiktiraf kedaulatan "Bangsa Melayu Patani" - merujuk kepada kawasan sempadan negara berkenaan yang majoritinya beragama Islam dan berbahasa Melayu yang juga dikenali sebagai ‘Deep South’.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Pattani, Yala, dan Narathiwat, bersama empat daerah di Songkhla. Pemberontakan pemisah selatan Thailand bermula sejak tahun 1960-an, dan pada 2004, satu kejadian pemberontakan memuncak sehingga menyebabkan lebih 6,500 orang terbunuh.

‘Pesimis’

Pengeboman di beberapa destinasi popular awal bulan ini berlaku beberapa hari selepas majoriti rakyat Thailand mengundi menyokong perlembagaan baru yang akan memperkukuhkan cengkaman tentera dalam institusi politik negara yang bakal melalui pilihan raya umum tahun depan.

Bagaimanapun, di kawasan selatan Thailand sekurang-kurangnya 60 peratus daripada penduduk di situ mengundi untuk menentang piagam tersebut.

"Walaupun kedua-dua pihak bertemu, saya amat pesimis," kata Zachary Abuza, seorang pakar mengenai selatan Thailand yang juga profesor di National War College di Washington, memberitahu BeritaBenar pada Selasa.

"Piagam yang hanya diluluskan pada referendum yang kucar-kacir, benar-benar akan menolak sebarang pengurangan kuasa atau otonomi. Penyemadian nasionalisme Buddha melaknati kepentingan masyarakat Melayu," kata beliau.

Beliau menambah," Pihak Tentera Thai sentiasa berusaha untuk merendahkan taraf pemberontak sebagai penjenayah yang melancarkan keganasan supaya mereka tidak perlu menawarkan konsesi yang signifikan di dalam proses damai. "



Rapee Mama di Narathiwat, Thailand dan Imran Vittachi di Washington menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.