Konsep hidup bebas anak, Malaysia bakal berdepan risiko ketidakseimbangan demografi populasi

Memilih tidak memiliki anak kerana terpengaruh dengan fahaman gaya hidup bebas anak adalah bertentangan dengan tujuan perkahwinan, kata tokoh agama.
Noah Lee dan Minderjeet Kaur
2024.07.02
Kuala Lumpur
Konsep hidup bebas anak, Malaysia bakal berdepan risiko ketidakseimbangan demografi populasi Gelagat mencuit hati murid-murid Tahun 1 yang melonjak kegembiraan setelah tamat hari terakhir sesi persekolahan penggal ketiga 2022/2023 di Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan, Cheras, Selangor, 17 Februari 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pasangan muda berkahwin di Malaysia mempunyai hak eksklusif untuk tidak mempunyai anak, kata Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat pada Selasa, sehari selepas Majlis Keselamatan Negara memberi amaran bahawa trend penurunan kadar populasi negara boleh mewujudkan ketidakstabilan sosial dan konflik masa hadapan.

Kegusaran itu timbul ekoran trend masa kini dalam kalangan pasangan muda dari etnik Melayu yang memilih untuk tidak mempunyai anak atas pelbagai faktor termasuk untuk memberikan fokus kepada perkembangan kerjaya.

"Bagi kementerian ini, kami berpandangan keputusan mempunyai anak dan penentuan bilangan anak adalah hak pasangan itu sendiri. Terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keputusan untuk memiliki anak, bilangan anak dan penurunan kadar kesuburan total (TFR)," kata menteri Nancy Shukri pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diutarakan oleh dua orang Ahli Parlimen mengenai isu 'childfree' atau ‘bebas anak’ di kalangan rakyat Malaysia yang dikhuatiri boleh memberikan kesan negatif kepada negara dalam jangka masa panjang.

Menurut Nancy, kadar kesuburan total di Malaysia telah mencatatkan penurunan di mana data dikumpul kerajaan menunjukkan hanya 1.6 anak dilahirkan bagi setiap perempuan pada 2022 berbanding 2.1 anak bagi setiap perempuan pada 2010.

Bagaimanapun, kata beliau Malaysia bukan satu-satunya negara yang berdepan dengan penurunan TFR sebaliknya ia merupakan masalah global.

Memetik unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2022, Nancy berkata beberapa negara di Asia dan Pasifik seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Brunei telah mencatatkan kadar kesuburan yang amat rendah iaitu berada di bawah paras penggantian.

Sehari sebelum itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan memberikan amaran mengenai risiko konsep bebas anak kepada masa depan negara berkenaan yang dikatakan boleh menyebabkan ketidakseimbangan demografi masyarakat serta boleh membawa kepada konflik dan ketegangan sosial sekiranya ia berterusan.

Menurut pihak berkuasa itu, trend hidup tanpa anak didapati semakin meluas dalam kalangan masyarakat negara tersebut terutamanya dalam kalangan pasangan muda yang baru berkahwin.

"Dengan penurunan kadar kelahiran baharu, negara akan berhadapan dengan situasi kekurangan tenaga kerja muda dalam tempoh 10 ke 20 tahun akan datang khususnya dalam sektor kritikal seperti pertahanan, kepolisan dan keselamatan awam.

"Populasi yang menua turut menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan kesihatan dan sosial yang akan meletakkan tekanan tambahan ke atas sumber daya negara.

Situasi tidak stabil ini berpotensi mewujudkan krisis yang tidak perlu akibat daripada keperluan kerajaan untuk memfokuskan kepada kumpulan masyarakat tua yang semakin kurang menyumbang kepada produktiviti negara," kata MKN pada Isnin.

Penurunan populasi muda juga dijangka memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara disebabkan pengurangan jumlah pekerja aktif serta ketidakmampuan negara untuk menjana ekonomi yang berdaya saing ekoran pusingan ekonomi yang tertumpu kepada kelompok umur tertentu sahaja, tambah MKN.

"Konsep bebas anak juga mampu mengakibatkan ketidakseimbangan demografi masyarakat. Andaikan terdapat satu etnik atau kumpulan masyarakat yang mengguna pakai konsep “bebas anak” ini dengan bersungguh-sungguh, pastilah di masa hadapan, etnik ini akan menghadapi masalah survival dan ketinggalan di dalam masyarakat kesan daripada jumlah populasinya yang menurun.

"Hal ini secara langsung akan menyebabkan ketegangan antara kumpulan etnik atau kelas sosial yang berbeza yang akhirnya membawa kepada konflik dan krisis di dalam negara," kata badan keselamatan itu.

Persetujuan bersama

Amalan gaya hidup tanpa anak dalam kalangan masyarakat Malaysia turut mendapat perhatian tokoh agama negara itu, dengan Mufti Wilayah Persekutuan yang memberi pandangan berkenaan hak untuk memilih kehidupan tanpa anak dari sudut hukum agama Islam.

Menurut Luqman Abdullah, Islam tidak mewajibkan pasangan untuk memiliki anak dan juga tidak melarang mereka untuk tidak memiliki anak.

"Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau bebas anak adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.

“Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan," kata Luqman dalam kenyataan disiarkan di laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan pada 25 Jun lepas.

Menurut beliau, hukum tidak memiliki anak adalah harus bagi pasangan yang bersetuju atas sebab yang diambil kira oleh agama seperti masalah kesihatan dan sekiranya kehamilan boleh mendatangkan mudarat seperti kematian.

Namun kata beliau sekiranya pasangan memilih untuk tidak memiliki anak kerana ingin bebas daripada tanggungjawab, maka perbuatan berkenaan adalah makruh iaitu tidak berdosa tetapi tidak disukai Allah.

“Memilih untuk tidak memiliki anak kerana terpengaruh dengan fahaman gaya hidup bebas anak adalah bertentangan dengan tujuan perkahwinan di dalam Islam dan tidak bertepatan dengan amalan Nabi Muhammad,” jelasnya.

Sementara itu, seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Shida, 32, berkata beliau dan suaminya memilih untuk tidak memiliki anak atas faktor tekanan kerja.

Petugas media itu berkata beliau merasakan kehidupan sehariannya yang sibuk adalah tidak sesuai untuk menjadi seorang ibu.

"Saya beritahu suami bahawa saya tidak mahu anak kerana berasa tidak mampu dari segi masa dan tenaga. Saya berasa amat letih dan perlu menggunakan dua hari 'off' (cuti hujung minggu) untuk berehat.

"Mungkin hidup saya akan gembira sekiranya saya mempunyai anak, tetapi saya rasa adalah tidak elok untuk sentiasa berjauhan dari mereka," kata Shida kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.