Penganalisis, Anggota Parlimen Pembangkang: Malaysia Tolak Jemputan Sidang Kemuncak Demokrasi Dianjur AS
2021.12.13
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 7.15 petang waktu tempatan ETS - 2021-12-13
Penganalisis politik dan Anggota Parlimen pembangkang pada Isnin menyatakan bahawa Malaysia memilih untuk tidak menyertai satu sidanag kemuncak demokrasi yang dianjurkan Amerika Syarikat minggu lepas kerana mesyuarat itu dilihat sebagai anti-China ketika kedua-dua kuasa besar itu sedang berusaha keras untuk menarik sokongan negara-negara di Asia Tenggara.
Malaysia yang mendakwa ia tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar adalah satu daripada hanya tiga negara Asia Tenggara yang dijemput ke sidang tersebut, yang diadakan seminggu sebelum diplomat tertinggi AS dijadualkan membuat lawatan ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.
Ketidakhadiran kerajaan Malaysia dalam mesyuarat itu, menurut penggubal undang-undang dan penganalisis, memberikan isyarat kurang baik terhadap masa depan polisi luarnya.
"Malaysia membuat keputusan untuk tidak menyertai sidang kemuncak ini," Ong Kian Ming, Anggota Parlimen dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), dalam satu kenyataan.
"Ini adalah satu tindakan dibuat tanpa berfikir panjang dan tidak strategik, yang menunjukkan betapa kurangnya koheren dan cara pemikiran yang berdikari/secara sendiri dalam polisi luar negara kita dalam menuju ke hadapan."
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob patut mengambil peluang ini untuk mengulangi komitmen Malaysia yang teguh dalam prinsip-prinsip demokrasi yang telah diuji dalam tempoh tiga tahun setengah yang lalu, kata Anggota Parlimen itu.
Pegawai di Pejabat Perdana Menteri serta Kementerian Luar tidak memberikan respon segera terhadap permintaan BenarNews untuk mengesahkan sama ada kerajaan telah menyertai sidang tersebut atau memilih untuk tidak menghiraukan jemputan dari pentadbiran Biden. PMO serta kementerian itu juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini sama ada mereka dijemput ke sidang itu atau mengenai keputusan untuk tidak menyertainya.
Sementara di Washington pula, para pegawai di Jabatan Negara AS enggan memberikan sebarang komen.
Hanya Malaysia, Indonesia dan Filipina telah dijemput oleh Washington untuk menyertai sidang kemuncak secara maya tersebut yang dihoskan oleh Presiden Joe Biden. Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo dan Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah menghadiri mesyuarat berkenaan yang disertai wakil dari lebih 100 negara.
Anggota Parlimen Ong Kian, dari parti DAP yang merupakan sebahagian daripada gabungan pembangkang Pakatan Harapan, berkata ketidakhadiran Malaysia mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai tunduk kepada satu lagi kuasa besar - yang pastinya dimaksudkan beliau adalah negara China - dalam usaha untuk menjadi seimbang di antara dua kuasa itu.
"Adakah ketidakhadiran Malaysia dalam sidang ini mungkin diterjemah oleh sesetengah pihak bahawa kita berat ke sebelah dalam cubaan yang rumit untuk menjadi seimbang ini?" kata beliau.
"Atau ia adalah tanda bahawa kerajaan hilang arah dalam isu polisi luar negara yang rumit?"
Penganalisis politik serantau James Chin berkata Malaysia memutuskan untuk tidak menghadiri sidang kerana AS menjemput Taiwan tetapi tidak memanggil Beijing.
"Malaysia tidak hadir ke sidang demokrasi anjuran presiden Biden minggu lepas kerana ia dilihat sebagai sidang anti-China," ahli akademik dari Universiti Tasmania itu memberitahu BenarNews.
Ong Kian berkata Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkemungkinan tidak akan mengendahkan kritikannya itu, dan menyatakan bahawa Malaysia boleh menghantar mesej mengenai polisi luar negara ketika lawatan Setiausaha Negara AS Antony Blinken ke Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu ini.
"Tetapi saya pasti bahawa Saifuddin sedar bahawa dalam polisi luar, memberikan isyarat mengenai halatuju polisi luar negara adalah sama pentingnya, berserta dengan isi kandungan ucapan yang boleh diutarakan oleh Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Demokrasi," tambah pemimpin pembangkang itu lagi.
"Satu perkara yang boleh diisyaratkan ialah berkenaan strategi Malaysia yang cuba menjadi seimbang apabila membabitkan kuasa besar dalam geopolitik serantau di Asia Tenggara."
Pertikaian kawasan perairan
Sebelum ini, ramai penganalisis dan ahli politik pembangkang telah berasa terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bahawa beliau akan mendapatkan pandangan Beijing berkenaan AUKUS, iaitu satu pakatan keselamatan dan pertahanan tiga hala antara AS, UK dan Australia, ketika ia diumumkan pada September lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikritik seorang penganalisis sebagai "tidak sesuai", Hishammuddin memberitahu Parlimen pada September: "Kita perlu mendapatkan pandangan kepimpinan khususnya pihak pertahanan China, mengenai apa pandangan mereka terhadap AUKUS yang telah diumum tiga negara itu, dan apa agaknya tindakan mereka susulan daripada apa yang telah pun diumumkan."
Pakatan AUKUS antara tiga negara itu akan membolehkan Australia dilengkapi dengan teknologi untuk membina kapal selam nuklear. Ia dilihat sebagai satu tindakan yang bertujuan untuk mengekang pengaruh China yang semakin berkembang di Indo Pasifik khususnya di Laut Cina Selatan, di mana Beijing menuntut hak wilayah di perairan itu tetapi dibantah oleh negara-negara jirannya termasuk Malaysia.
China pula telah mengecam pakatan AUKUS tersebut, sepertimana ia mengkritik sidang kemuncak demokrasi anjuran Biden.
Malaysia masih mengekalkan kerjasama dengan China, walaupun ketika Beijing terus meningkatkan sikap asertifnya di kawasan Laut Cina Selatan yang menjadi pertikaian beberapa negara, termasuk di dalam kawasan perairan yang dikatakan milik Kuala Lumpur.
Tahun lepas, Kuala Lumpur berkata kapal pengawal pantai dan tentera laut China telah menceroboh masuk ke perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.
Apabila memberikan komen mengenai AUKUS, menteri Malaysia itu berkata bahawa beliau perlu "cuba meneliti" untuk mengimbangi "dua kuasa besar" tersebut, dan menyatakan bahawa ia "bukanlah satu perkara yang mudah" untuk dilakukan.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.