Malaysia Ambil Sampel DNA Waris Dr Mahmud Ahmad

Ray Sherman
2017.10.25
Putrajaya
171025-my-mahmud-marawi620.jpeg Seorang lelaki bertopeng mengawal sebuah ladang di wilayah selatan Maguindanao baru-baru ini kerana ketakutan tentang potensi penyebaran keganasan dari kumpulan berkaitan Negara Islam yang kalah di Marawi, Filipina.
[Felipe Villamor/BeritaBenar]

Polis DiRaja  Malaysia (PDRM) telah mengambil sampel DNA daripada anak bekas pensyarah Universiti Malaya Dr  Mahmud Ahmad, yang juga perekrut terkemuka Negara Islam (IS) di Asia Tenggara dan pembiaya pengepungan Marawi, tiga hari lepas, demikian menurut Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pada Rabu.

Beliau berkata sampel DNA itu diambil, sebagai langkah proakftif untuk persediaan jika ada permintaan daripada pihak berkuasa Filipina untuk ujian tersebut dalam usaha mengesan identiti Mahmud yang menurut laporan, berkemungkinan besar, adalah antara 14 militan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina pada 18 Oktober lepas.

Bagaimanapun, maklumat mengenai kematian Mahmud  berdasarkan kenyataan seorang tebusan yang diselamatkan, kata pihak tentera Filipina.

"Buat masa ini, yang terbaik kita boleh lakukan ialah menghubungi pihak berkuasa Filipina untuk membantu mendapatkan akses kepada mayat (Mahmud), dan membuat ujian DNA jika mereka (pihak berkuasa Filipina) membenarkan, dan sekiranya ada permintaan, kami akan menghantar pegawai forensik ke Filipina untuk mengecam  mayat," kata Mohamad Fuzi kepada media di Putrajaya pada Rabu.

Sekiranya ujian DNA kembali positif dan ada permintaan dari keluarga Mahmud untuk membawa pulang mayat, kerajaan juga akan mengusahakan perkara itu, tambah Fuzi.

Menurut Mohamad Fuzi, PDRM tidak menerima pengesahan mengenai kematian Mahmud, dan setakat ini, maklumat kematian militan itu  berdasarkan kenyataan pihak berkuasa Filipina dan juga Presiden negara berkenaan, Rodrigo Duterte pada 19 Oktober lalu.

"Yang mengesahkan (kematian Mahmud) adalah Presiden (Duterte). Saya tidak boleh memberi kepastian dan komen secara terperinci," kata Mohamad Fuzi bila ditanya untuk mendapatkan kepastian.

Media Filipina melaporkan yang Mahmud adalah antara 14 militan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina dan perkara berkenaan disahkan oleh Duterte pada keesokan harinya namun sehingga kini tiada laporan menunjukkan mayat Mahmud telah ditemui.

Kenyataan Duterte dibuat tiga hari selepas tentera membunuh Isnilon Hapilon, ketua kumpulan Abu Sayyaf dan pemimpin keseluruhan IS di Asia Tenggara, dan Omarkhayam Maute, pemimpin puak Maute yang menyertai pasukan bersenjata Hapilon untuk menawan Marawi pada 23 Mei.

Mahmud mengambil alih kepimpinan kumpulan militan yang semakin mengecil itu selepas kematian Hapilon dan Maute pada 16 Oktober, kata para pegawai tentera.

Mereka mendakwa Mahmud adalah antara perancang pengepungan itu bersama-sama Hapilon, seorang pengganas dalam senarai paling dikehendaki FBI.

Mahmud dipercayai berfungsi sebagai pembiaya gerakan militan di bandar Marawi, yang dikepung sejak hampir lima bulan lalu. Baru-baru ini, pihak berkuasa Filipina mengumumkan mereka telah berjaya menamatkan "perang", dengan pengambilan semula bandar tersebut dari cengkaman pihak militan yang dikaitkan dengan kumpulan IS.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein, Jumaat lalu, dilaporkan berkata yang pihak kerajaan sedang menunggu laporan daripada pihak risikan tentera Malaysia, tentang kematian Mahmud.

Ribuan terbunuh

Lebih 1,100 orang terbunuh dalam pertempuran di bandar Marawi, sejak pihak militan yang dikaitkan dengan IS, menawannya pada 23 Mei lalu. Angka kematian, menurut tentera Filipina membabitkan 920 militan dari pelbagai negara, 165 tentera dan sekurang-kurangnya 47 orang awam. Lebih 1,000 tentera juga cedera.

Dalam sebuah video yang dikeluarkan tentera pada Jun, Mahmud dan beberapa lagi kelihatan merancang serangan itu. Para pegawai risikan berkata beliau telah menyalurkan kira-kira 30 juta peso (kira-kira AS$600,000) kepada kumpulan Hapilon, bagi membolehkan mereka membeli senjata api dan makanan.

Militan terbabit menahan tebusan ketika mereka melancarkan serangan ke atas bandar yang didiami kebanyakan orang Islam dan dihuni lebih 200,000 orang, memusnahkan perniagaan dan rumah.

Mahmud, dipercayai berusia antara lewat 30-an dan awal 40-an, menerima latihan di kem-kem al-Qaeda di Afghanistan pada sekitar 1990-an ketika belajar di Universiti Islam Islamabad di Pakistan. Beliau adalah bekas pensyarah pengajian Islam di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, antara universiti terkemuka Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.