Sultan Johor Hentikan Dasar Kedai Dobi Beri Perkhidmatan Cuma Kepada Umat Islam
2017.09.27
Kuala Lumpur
Papan tanda ‘mesra muslim’ yang memaklumkan hanya pelanggan tertentu sahaja boleh menggunakan perkhidmatan mencuci pakaian di sebuah kedai dobi di Muar, Johor, telah mencetuskan kecaman di seluruh negara, sehingga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah pada Rabu mendesak pemilik kedai memohon maaf dan menukar dasarnya.
Pemilik kedai dobi berusia 40 tahun itu berkata beliau menjalankan kewajipannya sebagai seorang umat Islam, sambil menambah bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan perkhidmatan di kedai mencuci pakaian berdekatan lain, yang dikenali sebagai kedai dobi di Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
Menurut media tempatan, hal berkenaan telah menimbulkan kontroversi sejak beberapa hari lepas dan menjadi hangat di lama media sosial.
Papan tanda di hadapan kedai tersebut tertulis perkataan "mesra-Muslim."
"Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian. Segala kesulitan amat dikesali. Sila tinggalkan kasut diluar, " kata papan tanda itu.
Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengakhiri perkara itu pada Rabu apabila baginda bertindak mengeluarkan kenyatan keras terhadap pemilik kedai dobi itu kerana dasar pengecualiannya.
"Beta tidak boleh terima perkara mengarut seperti ini. Ini adalah negeri Johor, negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama. Negeri ini adalah progresif, moden dan bersifat sederhana,” titah sultan kepada akhbar tempatan The Star.
"Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis,"
Baginda juga memerintah pihak berkuasa hal ehwal Islam untuk menyiasat perkara tersebut.
"Saya mahu pemilik meminta maaf kepada saya dan rakyat Johor. Beliau (pemilik) telah membuat warga Johor sangat marah dan malu kerana ini bukan Johor yang kita mahukan.
"Pemilik itu juga telah melanggar wawasan Johor untuk bersatu, hidup harmoni, bersikap sederhana dan bertoleransi. Kalau dia mahu meneruskan juga perkhidmatan dobi Muslim itu, dia boleh keluar dari Johor. Beta cadangkan dia buka kedai di Afghanistan.
Pemikirannya sempit dan tidak seiring dengan apa yang diperjuangkan di Johor," titah baginda seperti dilaporkan oleh The Star.
Pemilik, yang namanya tidak disiarkan itu memberi tindak balas segera terhadap kritikan itu.
"Saya akan mematuhi kehendak Tuanku dengan membenarkan orang bukan Islam menggunakan perkhidmatan mencuci pakaian di kedai saya. Saya juga ingin mengatakan bahawa saya memohon maaf kepada Tuanku dan rakyat Johor mengenai isu ini, " katanya seperti yang dipetik dalam laporan Free Malaysia Today.
Perdana Menteri Najib Razak memuji titah Sultan Johor, serta respons dari pemilik kedai dobi.
"Kerajaan akan terus komited untuk menegakkan ajaran lslam yang sebenarnya di samping melindungi kepentingan kaum lain sebagaimana yang dituntut lslam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Najib berkata Malaysia adalah negara Islam sederhana yang mengekalkan cara hidup yang sederhana.
“Saya yakin umat Islam akan terus menegakkan perjuangan ini kerana kita semua ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya, dihormati dan menjadi contoh kepada negara lain," kata Najib.
Reaksi
Ridzuan Rahim, seorang ahli perniagaan di Johor, menyatakan kelegaannya berhubung isu berkenaan.
"Bolehkah anda bayangkan jika ia berpanjangan dan tiada siapa yang mengatakan apa-apa mengenainya? Tidak lama lagi kita akan mempunyai kedai dobi untuk kaum Cina, kedai dobi untuk kaum India. Seperti tidak percaya! " katanya kepada BeritaBenar.
Yang lain melihat papan tanda itu sebagai masalah yang lebih mendalam.
Heyward Maxwell Pengabang, 35, seorang rakyat Sarawak berkata episod itu adalah satu lagi contoh sesalan yang menunjukkan Malaysia masih perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk mencapai kesaksamaan.
Kira-kira 19.5 juta umat Islam membentuk lebih 60 peratus penduduk Malaysia yang berjumlah hampir 32 juta orang, sementara Buddha, Hindu dan Kristian menyumbang kepada sebahagian besarnya.
Memandangkan Malaysia menggambarkan dirinya sebagai sebuah negara Islam yang progresif, maka tidak perlu pengasingan agama ini," tambahnya lagi kepada BeritaBenar.
Chandrasekaran Veeraiah, bersetuju, mengatakan rakyat Malaysia perlu memupuk kepercayaan dan perpaduan yang lebih besar kepada generasi masa depan bagi negara yang berbilang kaum.
"Memandangkan iklim politik di negara ini sudah mempromosikan diskriminasi kaum, sosial dan agama. Kita harus mempromosikan kepelbagaian, " katanya kepada BeritaBenar.
Hafidz Rahman dari Johor, yang mengalu-alukan perintah Sultan, berkata diskriminasi berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.
"Nah, kita sering melihat (di dalam iklan) bahawa hanya calon berbangsa Cina yang dialu-alukan untuk memohon sesuatu pekerjaan. Dimanakah keadilan di dalam hal ini? "katanya kepada BeritaBenar.
Labid Balang di Kuching turut menyumbang kepada laporan ini.