Bakal Doktor Sertai IS di Syria: Ketua Anti Keganasan Malaysia
2016.09.29
Kuala Lumpur
Seorang pelajar perubatan wanita adalah rakyat Malaysia yang terkini menyertai kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di Syria, memaklumkan kepada ibunya dalam surat bahawa beliau pergi ke kawasan perang itu untuk "berjihad," Ketua Anti Keganasaan Polis DiRaja Malaysia memberitahu BeritaBenar.
Wanita berusia 25 tahun itu adalah antara tiga rakyat Malaysia yang menyertai IS di Timur Tengah, dalam tahun ini, dengan seorang daripadanya dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki minggu lalu, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.
"Saya boleh mengesahkan sehingga [September], hanya tiga orang berlepas ke Syria. Seorang daripadanya telah ditahan dan dihantar pulang,” kata Ayob kepada BeritaBenar.
Pelajar perempuan dari sebuah kolej perubatan di Kuala Lumpur yang berlepas ke Syria pada 29 Ogos lalu, turut menghantar sepucuk surat kepada ibunya memberitahu usaha beliau untuk berjihad akan dapat membantu ibu bapanya masuk ke syurga, menurut ketua anti keganasan cawangan khas itu.
“Seandainya keadaan mengizinkan, saya akan menghubungi ibu, sabarlah ibu, akan ada masa di mana tidak akan ada lagi undang-undang dan peraturan oleh orang kafir. Islam pasti menang dan syariah Islam akan tersebar di seluruh dunia. Janganlah ibu bersedih, bersabarlah ibu, bersabarlah kerana Allah, " tulis pelajar berkenaan dimana petikan daripada surat itu telah dicetak dalam laporan polis yang dibaca oleh wartawan BeritaBenar.
Dalam surat yang sama pelajar berkenaan turut melampirkan salinan geran dan surat jual beli kereta serta beberapa dokumen peribadi lain selain meminta ibunya tidak memaklumkan kepada sesiapa mengenai "penghijrahannya" itu, jika ibunya sayangkannya, tambah Ayob.
Surat itu juga menyatakan bahawa beliau mahu mati syahid dan hidup di bawah "pemerintah Islam yang sebenar" di Syria. Ini sangat mengejutkan ibunya kerana anaknya tidak pernah menunjukkan sebarang kecenderungan ke arah militan, menurut Ayob.
Beliau berkata, keluarga pelajar itu hanya mengetahui beliau telah meninggalkan pengajiannya, selepas pensyarah membuat panggilan memaklumkan yang pelajar berkenaan gagal menghadiri latihan sebagai pelatih di sebuah hospital besar di Negeri Sembilan, bermula pada Ogos 25 lepas.
"Keluarga itu tidak menyedari langsung yang anak mereka telah meninggalkan negara sehingga ibunya menerima sepucuk surat daripada beliau pada awal bulan ini," kata Ayob. "Dia merupakan wanita pertama dalam tahun ini yang meninggalkan negara untuk menyertai IS."
Penyiasatan mendapati bahawa pelajar berkenaan ‘terkesan’ selepas kematian bapanya pada 2006 dan teman lelakinya pada 2013. Beliau dikatakan menjadi pendiam dan sering menyendiri serta sering mendengar lagu-lagu berunsur agama, beliau juga didapati menggunakan wang simpanannya untuk membeli tiket sehala ke Syria, kata Ayob.
‘Bawa isteri dan anak-anak bersama’
Menurut Ayob, seramai 58 rakyat Malaysia kini berjuang untuk IS di Syria atau Iraq.
Sejak 2013, seramai 90 rakyat Malaysia telah menyertai kumpulan militan itu di mana 24 daripadanya dipercayai terbunuh dalam pertempuran manakala lapan lagi telah ditahan dan didakwa atas kesalahan berkaitan keganasan selepas pulang ke tanahair dari Timur Tengah, kata Ayob.
Mereka yang masih bersama IS di rantau berkenaan terdiri daripada 32 lelaki, 10 wanita dan 15 kanak-kanak.
"Ada yang pergi ke sana secara solo [seorang] dan ada juga yang membawa isteri dan anak-anak bersama," kata Ayob.
Mereka yang pergi ke Syria pada 2016 termasuk seorang pelajar kejuruteraan berusia 20 tahun dari sebuah universiti di selatan Johor. Pihak berkuasa Turki menghantarnya pulang pada 22 September lalu, selepas mereka menahan beliau semasa cuba menyeberangi ke Syria untuk menyertai IS, kata Ayob. Pelajar itu telah meninggalkan Malaysia pada 7 September lalu.
"Kami menahannya di bawah SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012]," kata Ayob.
Seorang lagi rakyat Malaysia adalah pelajar pengurusan perniagaan dan ekonomi berusia 21 tahun dari Pahang, beliau meninggalkan pengajian beliau di sebuah universiti di Perak untuk ke Syria pada 6 Jun lepas, menurut ketua anti keganasan itu.
Sejak 2013, kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai pendekatan terhadap mereka yang disyaki anggota IS dan penyokong kumpulan pengganas itu dalam membendung pengaruhnya di Malaysia dan turut mencegah penularan fahaman radikal serta merekrut para belia.
Sejak 2013, Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dan telah memberi amaran bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari perjuangan di medan pertempuran di Syria atau Iraq, boleh melancarkan serangan keganasan di tanah air. Sekurang-kurangnya 72 didakwa ahli IS telah didakwa di mahkamah.
Pada akhir Jun, IS mendakwa melakukan serangan pertama di Malaysia apabila dua penunggang motosikal melemparkan bom tangan yang meletup dan mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di bandar Puchong, Kuala Lumpur.