Kesemua Dewan Undangan Bagi Dua Belas Negeri Telah Dibubarkan
2018.04.09
Kuala Lumpur
Kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di dua belas negeri telah dibubarkan secara rasminya pada Isnin sekaligus melengkapkan syarat bagi membolehkan satu mesyuarat khas diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk menetapkan tarikh bagi penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 [PRU14].
Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah memberitahu BeritaBenar lima negeri yang membubarkan DUN negeri mereka pada Isnin ialah Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Terengganu dan Perak.
“Notis pembubaran DUN telah diterima pada Isnin selepas mendapat perkenan daripada Sultan dan Gabenor negeri masing-masing," jelasnya kepada BeritaBenar.
Pada Sabtu, 7 April, tujuh negeri telah membubarkan DUN iaitu Perlis, Kedah, Sabah, Melaka, Johor, Negeri Sembilan serta Kelantan.
Beliau turut mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah menerima notis pembubaran Parlimen daripada Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia dan juga Speaker dari 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memaklumkan bahawa pembubaran DUN di negeri masing-masing.
Berikutan pembubaran Parlimen dan DUN, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Selasa bagi menentukan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14) bagi 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri.
“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan PRU Ke-14 yang akan dipengerusikan oleh Mohd Hashim Abdullah pada 10 April, 10 pagi di Menara SPR, Precint 2, Putrajaya,`` kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya itu untuk menjemput media membuat liputan yang dikeluarkan pada Isnin.
Katanya, mesyuarat khas SPR akan menentukan tarikh writ untuk mengumumkan pembubaran Parlimen dan DUN serta akan menetapkan tarikh penamaan calon dan PRU Ke-14.
Sementara Sarawak kata Mohd Hashim hanya melibatkan pilihan raya bagi kawasan Parlimen dan DUN tidak dibubarkan kerana telah mengadakan pilihan raya pada 7 Mei 2016.
Perdana Menteri, Najib Razak pada Jumaat telah mengumumkan mengenai pembubaran Parlimen Malaysia yang berkuatkuasa pada Sabtu, untuk memberi laluan bagi mengadakan apa yang dijangka sebagai pilihan raya umum paling sengit dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“Dengan ini saya ingin memaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya telahpun mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V dan menyembah warkah kepada Baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-13 dibubarkan pada hari Sabtu, 7 April 2018,” kata Najib semasa membuat pengumuman itu yang disiarkan secara langsung.
Najib menambah dengan berkata, “Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Baginda telahpun memperkenankan bagi parlimen ke-13 dibubarkan pada hari sabtu, 7 April 2018.”
Katanya, pembubaran parlimen itu sekaligus menzahirkan komitmen kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihan raya umum bagi kali yang ke-14 bagi negara itu, semenjak tahun 1959 dijalankan menurut lunas undang-undang.
Pilihan raya serentak jimat kos, penganalisis politik
Pilihan raya umum diadakan serentak dapat menjimatkan kos dan juga masa menurut penganalisis politik Malaysia
“Menjadi amalan di Semenanjung Malaysia dan Sabah bahawa pilihan raya umum di peringkat Parlimen dan Negeri diadakan serentak kecuali DUN Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya negeri dua tahun awal,`` kata Penganalisa politik Mohd Azizudin Mohd. Sani dari Universiti Utara Malaysia kepada BeritaBenar pada Isnin.
Manakala Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan memberitahu BeritaBenar bahawa pilihan raya peringkat Parlimen dan Negeri diadakan serentak memandangkan kesemuanya telah cukup tempoh untuk dibubarkan.
“Sudah menjadi amalan bahawa Parlimen dan DUN dibubarkan serentak dengan setiap Sultan perlu memberi perkenan untuk membubarkan DUN masing-masing seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya.
Terdapat 222 kerusi Parlimen di dipertandingkan iaitu Perlis 3 kerusi, Kedah (15), Kelantan (14), Terengganu (8), Pulau Pinang (13), Perak (24), Pahang (14), Selangor (22), Wilayah Persekutuan (12), Negeri Sembilan (8), Melaka (6), Johor (26), Labuan, Sabah (1), Sabah (25) dan Sarawak (31).
Sementara sebanyak 576 kerusi DUN dipertandingkan iaitu , Perlis 15 kerusi DUN, Kedah (36), Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Perak (59), Pahang (42), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Melaka (28), Johor (56), Sabah (60) dan Sarawak (71).
Bentuk kerajaan persekutuan
Dalam pilihan raya akan datang, parti yang memenangi majoriti mudah dalam parlimen yang mempunyai 222 kerusi akan membentuk kerajaan persekutuan berikutnya. Barisan Nasional ketika ini memiliki 130 kerusi.
Bagaimanapun, pilihan raya umum kali ini menjanjikan cabaran sengit buat Najib, kerana parti gabungan BN yang dipimpinnya akan menentang perikatan pembangkang PH pimpinan Mahathir, 92, yang masih popular.
Pernah menjadi mentor Najib, Mahathir keluar dari UMNO pada 2016, dan menuduh pemimpin-pemimpin parti melindungi perdana menteri itu daripada dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan negara yang diilhamkan oleh Najib. Najib telah menafikan segala dakwaan tersebut.
Setelah membentuk parti gabungan pembangkang Pakatan, Mahathir telah dicalon sebagai PM seterusnya jika gabungan Pakatan Harapan menewaskan Barisan dalam pilihan raya umum.
Blok pembangkang Pakatan Harapan terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu atau PPBM), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah.
Dalam pilihan raya 2008, Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga yang telah dinikmati oleh UMNO dan rakan kongsinya sejak 1957. Najib telah dilantik setahun kemudian, dalam usaha untuk membendung rencatan populariti parti pemerintah di tengah-tengah kelembapan ekonomi.
Pada 2013, pembangkang telah membuat kejutan lanjut dengan memenangi 52 peratus undi popular, namun Najib dan sekutunya berjaya mempertahankan kuasa dengan memenangi 133 kerusi parlimen.