Malaysia Panggil Duta China Untuk Bantah Kehadiran Kapal di EEZ

Kenyataan tegas itu membuktikan bahawa Kuala Lumpur berpendapat ia perlu menyuarakan bantahan terhadap keagresifan Beijing di Laut China Selatan.
Khas untuk BenarNews
2021.10.04
Malaysia Panggil Duta China Untuk Bantah Kehadiran Kapal di EEZ
[BenarNews]

Malaysia pada Isnin memprotes kehadiran sebuah kapal peninjau China yang belayar di perairan zon ekonomi eksklusif negara itu pada minggu lepas.

Data pengesan kapal pada 29 September lepas menunjukkan bahawa kapal Da Yang Hao seberat 4,600 tan beroperasi di kawasan EEZ itu yang merentasi tiga negara iaitu Brunei, Malaysia dan Filipina. Pada satu ketika, ia berada hanya 40 batu nautika dari Pulau Balabac di Filipina dan 60 batu nautika dari pesisir pantai Malaysia.

Kementerian Luar Malaysia telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin yang menyebut bahawa ia “telah memanggil Duta Republik Rakyat China untuk menyatakan pendirian dan bantahan Malaysia terhadap kehadiran serta aktiviti kapal-kapal China termasuk sebuah kapal peninjau di Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia iaitu berhampiran pesisir pantai Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut kehadiran dan aktiviti kesemua kapal terbabit “adalah bercanggah dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 Malaysia serta Konvesyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).”

“Malaysia juga mengemukakan bantahan terhadap pencerobohan terdahulu oleh kapal asing lain di perairan negara kita,” kata kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan pada lewat Isnin waktu tempatan.

“Malaysia mengulangi bahawa semua isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif mengikut prinsip yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa di seluruh dunia termasuk UNCLOS 1984.”

Walaupun Malaysia mengambil masa selama beberapa hari untuk mengeluarkan kenyataan itu selepas sebuah kapal pengintip China menunjukkan kehadirannya di EEZ, ayat keras yang digunakan membuktikan bahawa Kuala Lumpur, di bawah tekanan domestik yang semakin meningkat, berpendapat bahawa ia perlu menyuarakan bantahan terhadap keagresifan China di kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

Kapal Da Yang Hao pada mulanya muncul di kawasan itu sekitar 25 dan 26 Sept. Lokasi tepatnya pada Isnin tidak dapat disahkan oleh kapal pengesan kerana ia tidak menyatakan kedudukannya.

'Ruang strategik Malaysia terus diperketat'

Kehadiran kapal-kapal China tanpa diundang di kawasan EEZ negara jiran bukanlah fenomena yang luar biasa.

Sebuah lagi kapal pengintip China iaitu Haiyang Dizhi 10, didapati menjalankan tinjauan di medan minyak di EEZ Indonesia selama sebulan sebelum berundur ke Fiery Cross Reef di Kepulauan Spratly minggu lepas untuk mendapatkan bekalan.

Pada Khamis lepas pula, Setiausaha Luar Filipina mengarahkan agar satu bantahan diplomatik dikemukakan terhadap Beijing berhubung kehadiran berterusan lebih 100 kapal China di perairan yang dituntut oleh Manila di Laut China Selatan. Beliau mengadu mengenai ‘sekatan yang berterusan serta tidak sah” terhadap nelayan Filipina di Beting Panatag.

Seperti jirannya, Malaysia berdepan dilema dalam hubungannya dengan China – mencabar Beijing berkaitan pencerobohan maritimnya tanpa menyebabkan ketegangan berlaku dalam hubungan dengan kuasa ekonomi dominan di rantau itu.

“Perkiraan asas bagi Malaysia dalam menangani pendekatan agresif China yang semakin meningkat di Laut China Selatan ialah peningkatan dominan dan kesediaan China untuk berbuat demikian jika diberi peluang. Malaysia telah dan akan lebih berhati-hati dalam memberikan maklum balasnya terutama ketika membabitkan isu di laut,” kata Thomas Daniel, seorang felow kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews minggu lepas.

“Malangnya, ruang strategik Malaysia terus diperketat, yang membawa kepada cabaran sukar terhadap penggubal dasar yang mungkin tidak mempunyai penyelesaian segera untuk menanganinya,” tambah pakar itu.

Tahun lepas, Malaysia dan China terjerumus dalam kancah pertikaian yang menimbulkan kebuntuan selama sebulan di Laut China Selatan.

Kapal pengintip China Haiyang Dizhi 8 telah beroperasi di perairan EEZ, yang hampir dengan kapal gerudi yang dikontrak oleh syarikat Petroleum Negara Malaysia, Petronas di kawasan perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Vietnam serta China.

Kapal gerudi Malaysia mahupun China telah meninggalkan kawasan itu selepas sebulan. Insiden itu telah menyebabkan Amerika Syarikat menggesa China menghentikan “sikap membulinya” di perairan yang menjadi pertikaian.

Pada waktu itu, Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein, kini Menteri Pertahanan dalam satu kenyataaan menyebut bahawa: “Susulan isu yang kompleks dan sensitif, semua pihak perlu bekerjasama untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.”

Beliau berkata pertikaian itu hendaklah diselesaikan secara aman, yang membuktikan bahawa meskipun Malaysia tidak menyatakannya secara umum, ia telah berusaha menyelesaikan situasi itu di belakang tabir.

Pada 22 September lepas, Hishammuddin memaklumkan Parlimen bahawa beliau akan memohon pandangan Beijing mengenai pakatan keselamatan baharu antara AS-UK-Australia dan menentukan tindakan yang akan diambil oleh China sebagai respons – kenyataan yang dianggap beberapa pengkritik sebagai tidak wajar susulan pencerobohan yang kerap dilakukan oleh kapal dan pesawat China di sekitar Malaysia.

Hishammuddin berkata beliau perlu “melangkah dengan berhati-hati” untuk cuba dan menyeimbangkan “dua kuasa besar iaitu China dan AS – dan “ia bukan perkara mudah” untuk dilakukan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.