Presiden Filipina Akan Bertemu Perdana Menteri Malaysia
2018.07.13
Davao, Filipina
Presiden Rodrigo Duterte dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri baru Malaysia, Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada Isnin untuk membincangkan mengenai kerjasama anti-keganasan, beberapa bulan selepas Filipina menumpaskan pihak militan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) di Marawi, kata jurucakap presiden.
Duterte dijadual berlepas pada hujung minggu ini ke ibunegara itu, di mana ia turut menjadi gelanggang wira tinju Filipina, Senator Manny Pacquiao menentang juara welterweight Persatuan Tinju Dunia Lucas Mathysse dari Argentina pada Ahad.
"Ini adalah lawatan peribadi," kata jurucakap presiden Filipina, Roque kepada BeritaBenar.
"Beliau akan bertemu Dr Mahathir pada 16 Julai. Mindanao dan ISIS adalah perkara utama perbincangan," katanya yang menggunakan singkatan nama lain untuk kumpulan ekstremis IS itu.
Seorang penganalisis di Malaysia berkata, beliau menjangka kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan pertemuan dalam suasana mesra.
"Pada masa ini, kedua-dua pihak agak mesra. Malaysia memainkan peranan penting dalam memudahkan proses damai selatan Filipina dan rakyat Filipina mengingati perkara itu, ”kata Oh Ei Sun, penasihat kanan untuk hal ehwal antarabangsa di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia di Kuala Lumpur. "Kita juga berterima kasih kerana kerajaan Filipina pada dasarnya memihak kepada kita dalam mengutuk dan menentang pencerobohan Sulu lima tahun yang lalu."
"Adalah penting bagi kedua-dua pihak untuk bersikap saling mesra terutamanya berikutan limpahan kesan rusuhan selatan Filipina yang sering berlaku di Sabah atau perairan di sekitarnya."
Marawi
Pada Mei 2017, militan Filipina yang diketuai oleh Isnilon Hapilon, ketua tempatan yang terkenal bagi sayap IS di Filipina, menyerang bandar selatan Marawi, memenggal orang Kristian, membakar tempat perniagaan dan melancarkan serangan maut langgar lari terhadap pihak tentera dalam pertempuran lima bulan lepas.
Pasukan Hapilon disokong oleh militan Asia Tenggara, termasuk dari Indonesia dan Malaysia, serta pejuang dari Timur Tengah dan tempat lain.
Rancangan pengepungan Marawi dipercayai telah dibantu oleh dua rakyat Malaysia, Mahmud Ahmad dan Amin Baco, yang dipercayai terbunuh ketika tentera Filipina dapat mengepung pihak militant dalam insiden itu. Mayat mereka tidak ditemui dan pihak berkuasa di negeri timur Sabah baru-baru ini memasukkan nama mereka dalam senarai militan yang dikehendaki.
Mahmud dipercayai menyalurkan dana yang digunakan oleh Hapilon dalam melaksanakan serangan Marawi, iaitu rancangan yang ternyata mengejutkan kerajaan Filipina.
Selepas pertempuran itu berlaku, kerajaan-kerajaan serantau termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia membantu dalam mengetatkan rondaan sempadan di negara masing-masing dalam usaha untuk mengekang kemasukan militan yang melarikan diri dari Marawi atau menyekat bantuan di selatan Filipina.
Amerika Syarikat dan Australia turut membantu dalam mengumpul maklumat perisikan penting dengan menerbangkan drone ke seluruh bandar itu, yang masih dalam keadaan musnah sembilan bulan kemudian.
Pada Jun 2017, dalam masa beberapa minggu selepas berlakunya pertempuran di Marawi, Malaysia, Filipina dan Indonesia telah melancarkan operasi maritim bersama untuk meronda perairan sempadan laut bersama mereka bagi membendung ancaman militan. Pada Oktober 2017, mereka memperluaskan operasi itu dengan merangkumi rondaan udara tiga pihak.
Pemimpin IS baru
Cawangan IS Filipina dipercayai diketuai oleh Human Abdul Najid (juga dikenali sebagai Abu Dar), yang dikehendaki dengan tawaran ganjaran sebanyak 6 juta peso (AS$112,000).
Abu Dar dilahirkan di Mindanao tetapi belajar di sebuah sekolah Islam di utara Filipina. Dia menjalani latihan membuat bahan letupan di Afghanistan pada 2005, menurut risikan tentera.
Dia kembali ke Mindanao pada 2012 dan mengasaskan kumpulan militan Khilafa Islamiyah Mindanao (KIM), yang beroperasi di kawasan berhampiran Marawi.
Sebelum pengepungan Marawi pada tahun lepas, Abu Dar telah membantu para pejuang asing - termasuk rakyat Malaysia - menyusup masuk ke Mindanao, di mana ramai yang dipercayai menetap di kawasan berhampiran Marawi, kata pegawai tentera Filipina.
Abu Dar, yang masih bebas, sedang merekrut para pejuang lain di Mindanao dengan menggunakan saki baki dana daripada serangan Marawi. Mereka sedang bersedia untuk melancarkan serangan pengeboman kecil di kawasan selatan, kata penganalisis keselamatan.
Rommel Banlaoi dari Institut bagi Penyelidikan Keamanan, Keganasan dan Terrorisme Filipina berkata, para pejuang militan asing berada di Mindanao dan Abu Dar sentiasa bergerak untuk menyatukan pasukan mereka.
"Pejuang pengganas asing Malaysia bersama-sama beberapa rakyat Indonesia adalah warga asing yang dikaitkan dengan IS yang terus menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan, keamanan dan ketenteraman Filipina," kata Banlaoi, yang sentiasa mengikuti perkembangan pemberontakan umat Islam.
Richel V. Umel di Iligan City, Filipina dan Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.