Malaysia, Filipina Setuju Tingkatkan Usaha Menentang Penculikan Di Perairan

Hata Wahari
2016.11.10
Putrajaya
161110-MY-duterte-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, kiri, bertemu dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 10 November 2016.
AFP

Malaysia dan Filipina pada Khamis bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani masalah penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang mengancam keselamatan di sepanjang sempadan maritim yang dikongsi bersama, Perdana Menteri Najib Razak berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Najib, yang menjadi hos kepada Presiden baru Filipina semasa lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, berkata Duterte telah memberi kebenaran bagi kapal penguatkuasaan Malaysia untuk memasuki perairan negara itu ketika bertindak untuk menghalang penculikan.

"Saya gembira mengumumkan pertukaran nota antara kerajaan Malaysia dan Filipina yang telah ditandatangani dalam mewujudkan Rangka Kerjasama bagi menangani isu keselamatan, penculikan, pembayaran wang tebusan, serta isu-isu berkaitan yang berlaku di sepanjang perairan kedua-dua buah negara," kata Najib dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis.

Setiausaha Luar Filipina Perfecto Yasay Jr mengesahkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk mewujudkan "Kerjasama keselamatan yang lebih ketat di sempadan perairan," serta isu-isu lain yang berkaitan dengan kepentingan bersama, Philippine Star melaporkan.

"Seperti kami, Perdana Menteri sangat mengambil berat - banyak yang perlu dilakukan dari segi kerjasama, " Yasay dilaporkan berkata kepada The Star, merujuk kepada prospek operasi tindakan mengejar penjenayahsama ada oleh pasukan tentera atau pihak polis.

Perairan yang memisahkan selatan Filipina dan Malaysia di sekitar Sabah telah dibelenggu oleh kes penculikan pelaut Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang belayar di sekitar kawasan perairan itu, tahun ini.

Sepuluh rakyat Malaysia diculik setakat 2016, dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) masih menahan enam daripada mereka, kerana dilaporkan mahu menuntut wang tebusan bagi pembebasan mangsa culik itu.

Pada hujung minggu lepas, dua pelaut Indonesia telah diculik oleh lelaki bersenjata di perairan Sabah.

Sejak beberapa bulan para pegawai dari Malaysia, Indonesia dan Filipina telah berbincang mengenai rondaan bersama yang bertujuan untuk memelihara Laut Sulu dan Sulawesi dari lanun dan penculikan, tetapi rancangan tersebut masih belum dilaksanakan.

"Jika kita mengejar orang jahat, sebagai contoh, dan telah sampai di persempadanan maritim antarabangsa dengan Filipina, dan jika kita berhenti, orang jahat akan dapat melepaskan diri," kata Najib pada sidang media di Putrajaya selepas pertemuannya dengan Duterte, yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

“Oleh itu kita perlu terus mengejar dan jika boleh, menahan mereka ... tetapi apabila sudah sampai di sempadan maritim antarabangsa dengan Filipina, kita perlu memaklumkan Tentera Laut Filipina yang kita sedang memasuki perairan negaranya, dan  Filipina pula boleh cuba membantu, "kata Najib.

Operasi mengejar boleh bermula sebaik sahaja menteri pertahanan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP). Menteri Pertahanan dari Malaysia, Filipina dan Indonesia akan bertemu di Laos pada 22 Nov depan untuk perbincangan lebih lanjut mengenai SOP serta aspek perundangan yang melibatkan ketiga-tiga negara, agensi Bernama melaporkan.

"Ini perkembangan baru yang lebih praktikal dalam membantu antara satu sama lain dalam usaha untuk membasmi penculikan berleluasa yang menjejaskan keselamatan dan kebajikan, bukan sahaja untuk rakyat Sabah tetapi juga warga asing yang melawat negara kita," kata Najib.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, persetujuan Malaysia-Filipina itu merupakan satu perkembangan yang menarik dan menunjukkan kesungguhan Duterte untuk menyelesaikan isu penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf yang semakin berleluasa.

Ini bermakna perairan Filipina akan ditembusi oleh tentera Malaysia dan Indonesia. Jelas, perkembangan ini menunjukkan kesungguhan Presiden Duterte,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Malaysia sebagai pemantau keamanan

Semasa pertemuan itu Najib dan Duterte juga bersetuju bahawa Malaysia tidak lagi akan bertindak sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina, tetapi akan terus memantau usaha di selatan Filipina, kata Najib.

Pada Ogos lepas, seminggu selepas Duterte mengambil alih jawatan, Malaysia menjadi fasilitator bagi rundingan di Kuala Lumpur dalam usaha untuk melaksanakan perjanjian damai selatan Filipina antara Manila dan MILF. Pada pertemuan itu wakil kerajaan Filipina dan delegasi MILF mula merundingkan versi baru undang-undang yang berkaitan dengan perjanjian yang ditandatangani pada 2014.

Perjanjian yang berusia dua tahun itu tertangguh kerana Senat Filipina tidak menerima Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL), yang diperlukan bagi melaksanakan perjanjian itu, sebelum presiden Benigno Aquino III tamat perkhidmatannya.

“Proses damai akan terus bergerak ke hadapan dan kita akan meneruskan dengan pasukan pemantau kita di sana. Mereka tidak memerlukan fasilitator memandangkan tiada sebarang rundingan lagi,” kata Najib. “Ini adalah proses perundangan domestik.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.