Warga asing, rakyat tempatan ditahan proses e-waste haram di empat negeri

Lelaki bergelar ‘Dato’ antara 55 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat menjalankan kegiatan pemprosesan sisa elektronik haram.
Iskandar Zulkarnain dan Nisha David
2024.08.13
Kuala Lumpur
Warga asing, rakyat tempatan ditahan proses e-waste haram di empat negeri Antara sisa elektrik, elektronik dan skrap logam yang terdapat dalam kontena yang diperiksa oleh pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang diseludup masuk secara haram melalui perairan negara dari Amerika Syarikat, di Pelabuhan Klang, Selangor, 26 Jun, 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia telah menahan seramai 55 orang termasuk warga asing di empat buah negeri atas dakwaan mengimport dan memproses sisa elektronik (e-waste) kepada blok logam dan menjual produk tersebut ke negara luar, menurut pihak berkuasa pada Selasa dalam usaha menghalang negara itu daripada menjadi tapak pembuangan sisa toksik.

Polis telah merampas blok e-waste, peralatan dan jentera bernilai hampir AS$10 juta (RM43 juta), kata pegawai kanan polis ketika sisa elektonik semakin banyak diseludup ke Malaysia dan Thailand susulan langkah China mengharamkan import bahan itu bermula 2018.

Ketua Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia Mohammed Hasbullah Ali berkata daripada 55 yang ditahan dalam beberapa siri operasi yang dibuat di Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, 45 daripadanya adalah warga asing manakala 10 lagi rakyat tempatan termasuk seorang yang bergelar ‘Dato’.

“Seramai 55 individu yang terdiri daripada 10 rakyat tempatan dan 45 warga asing telah ditahan kerana disyaki terlibat mejalankan kegiatan pemprosesan sisa elektronik tanpa lesen di kilang-kilang haram ini.

“Kilang-kilang tersebut juga didapati tidak berdaftar dan tidak memiliki lesen memproses e-waste serta menggaji pekerja asing secara tidak sah. Kilang-kilang ini dibina di dalam kawasan ladang kelapa sawit serta hutan simpan, jauh dari laluan utama bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” kata Mohammed Hasbullah pada sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa.

Difahamkan, rakyat asing yang ditahan dalam siri serbuan melibatkan tujuh buah kilang haram itu adalah dari China dengan peranan mereka sebagai juruteknik yang menguruskan jentera pemprosesan e-waste makala pekerja kilang adalah dari Bangladesh.

Pencemaran udara

Menurut Hasbullah, kilang-kilang tersebut menjalankan pembakaran sisa e-waste yang boleh menyebabkan pencemaran udara serta mendatangkan mudarat kepada penduduk sekitar, di mana proses pembakaran atau peleburan pula dipercayai dilakukan waktu malam bagi mengelakkan aktiviti haram itu daripada dikesan.

“Barangan e-waste yang ditemui di kilang-kilang berkenaan dipercayai diimport secara haram daripada luar negara. Hasil pembakaran e-waste akan diproses menjadi jongkong atau blok logam, di mana ia akan dijual ke luar negara dengan nilai yang boleh mencecah jutaan ringgit,” tambahnya lagi.

Beliau berkata siasatan mendapati kilang-kilang haram itu telah beroperasi sejak 2023 dan pernah diserbu oleh pihak berkuasa, namun kembali beroperasi.

“Kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan. Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian," katanya lagi.

Justeru itu, beliau menegaskan AMLA akan menyiasat isu e-waste secara menyeluruh termasuklah mengenalpasti dalang di sebaliknya serta bagaimana sisa-sisa elektronik itu diseludup masuk dan modus operandinya.

Operasi besar-besaran itu dijalankan susulan maklumat yang dikongsikan oleh seorang kerabat diraja apabila rakyat menyatakan keluh-kesah mengenai kegiatan memproses barangan e-waste tersebut.

Kesemua mereka yang berusia 30 hingga 50 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Akta Perhutanan Negara, Akta Alam Sekitar, Akta Kastam dan Akta Imigresen.

LOGAMEWASTE2.jpg

Bahan sisa elektronik yang diseludup ke Malaysia sudah dijadikan jongkong ketika ditemui dalam serbuan pihak polis di sebuah kilang pemprosesan e-waste haram di Pahang, 5 Ogos 2024. [Nisha David/Benarnews]

Amaran kerajaan

Pada Jun lalu, Kerajaan Malaysia memberi amaran kepada penyeludup sisa elektronik bahawa negara itu bukan "tapak pembuangan" bahan berbahaya tersebut selepas mengharamkan aktiviti mengimport e-waste sepenuhnya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengumumkan hukuman lebih berat bakal menanti mereka yang bertanggungjawab.

Amaran tersebut dikeluarkan susulan rampasan sisa bernilai AS$1.7 juta, yang turut mengandungi bahan toksik, melalui pelabuhan utama negara itu, Pelabuhan Klang yang terletak di negeri Selangor sepanjang tempoh Mac hingga Jun.

Siasatan menunjukkan sisa itu datang dari sebuah pelabuhan di Los Angeles, Amerika Syarikat dan diisytiharkan secara salah sebagai skrap logam.

Awal tahun lalu, Parlimen Malaysia telah meluluskan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling bagi membolehkan tindakan lebih tegas terhadap boleh diambil terhadap mereka yang terlibat membawa masuk e-waste ke negara itu.

Pindaan itu menyaksikan jumlah denda ditingkatkan sehingga maksimum RM10 juta (AS$2.12 juta) serta hukuman penjara jika sabit kesalahan. Ia adalah lonjakan besar berbanding hukuman denda RM500,000 sebelumnya.

Nik Nazmi dilaporkan berkata larangan itu berkuatkuasa mengekang sebarang pengimportan, penyeludupan dan penempatan bahan buangan terjadual e-sisa sama ada kemasukan ke dalam negara berlaku di darat, di laut atau transit tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Dalam siri serbuan di Pelabuhan Klang tersebut, pihak berkuasa kastam telah menahan sebanyak 301 buah kontena yang tiba di pelabuhan tersebut di antara 21 Mac dan 19 Jun, termasuk 106 yang didapati mengandungi skrap logam.

Pada 3 Julai, JAS negara itu telah merampas 100 tan plastik terpakai yang telah dikitar semula and 100 tan lagi plastik terpakai yang belum diproses dalam satu serbuan di sebuah kilang haram di Sungai Petani, Kedah di utara semenanjung.

Nik Nazmi, yang turut mengetuai operasi berkenaan berkata kilang kitar semula terbabit beroperasi secara haram dengan menjadikan pelet yang dibungkus dalam pek berlabel makanan ikan air tawar.

Beliau dilaporkan berkata Kementerian itu turut menyita lebih 1,500 tan bahan sisa elektronik dalam serbuan berasingan di sebuah lagi kilang kitar semula berhampiran.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.