Bank Negara Laksana Moratorium Enam Bulan Bantu Rakyat Terjejas Akibat COVID-19
2020.03.24
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia bakal melaksanakan penangguhan pembayaran beberapa kategori pinjaman bank dalam usahanya membantu ekonomi yang terjejas akibat penularan koronavirus, menurut satu kenyataan Bank Negara pada Selasa.
Selain itu, pihak berkuasa keselamatan negara tersebut juga mula menggunakan khidmat pesawat kecil dron pemantau di 12 kawasan yang telah dikenalpasti mempunyai kadar kes jangkitan yang tinggi, dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu untuk mengekang penularan virus tersebut.
‘Bagi melancarkan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta individu yang berkemungkinan antara yang paling terkesan oleh COVID-19, institusi perbankan akan membenarkan satu moratorium secara automatik ke atas semua bayaran balik pinjaman dan pembiayaan, termasuk jumlah pokok dan faedah, (tidak termasuk baki kad kredit) untuk pelanggan individu dan SME bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020,’ kata Bank Negara dalam satu edaran dalaman kepada Ketua Pengarah Eksekutif bank dan institusi pembangunan kewangan di Malaysia.
Antara syarat bagi moratorium yang mahu diperkenalkan hanya terpakai bagi pinjaman yang tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh 1 April 2020, dengan pinjaman dalam dominasi Ringgit Malaysia sahaja.
Menurut BNM, dalam melaksanakan moratorium berkenaan, institusi perbankan perlu memberikan maklumat secukupnya kepada peminjam bagaimana langkah pembayaran akan diteruskan selepas habis tempoh moratorium, dan mereka secara amnya dijangka akan membantu menyusun sambungan bayaran mengikut kemampuan peminjam.
Sumber perbankan yang tidak boleh dinamakan kerana sensitiviti isu tersebut mengesahkan kandungan edaran itu kepada BeritaBenar dan berkata ianya akan diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.
Langkah terbaru ini adalah antara langkah-langkah yang diambil atau akan diambil kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan dari segi kewangan akibat penularan COVID-19 yang sehingga kini sudah meragut 16 nyawa mengikut pengumuman terkini kerajaan.
Muhyiddin dalam satu sidang media khas pada Isnin memberitahu yang pentadbiran Putrajaya telah bersetuju untuk membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Simpan Wang Pekerja [KWSP] dari akaun kedua penyimpan sebanyak RM500 (AS$112.85) setiap bulan bermula April depan selama setahun.
Katanya inisiatif itu merupakan langkah yang telah diputuskan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung.
Beliau turut mengumumkan yang kerajaan turut bersetuju menangguhkan pembayaran semula pinjaman pelajar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) di antara tiga hingga enam bulan.
“Penangguhan ini yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN,” kata Muhyiddin yang turut menambah bahawa langkah tersebut akan menjejaskan kutipan pinjaman sehingga RM750 juta (AS$169 juta).
Kerajaan guna dron pantau kawasan panas
Malaysia pada Selasa menyaksikan pertambahan 106 kes baharu jangkitan wabak COVID-19 dengan dua lagi kematian direkodkan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 1,624 dan 16 kematian. Malaysia juga terus kekal sebagai negara ketiga tertinggi COVID-19 di Asia selepas China dan Korea Selatan.
Walaupun dengan pelaksanaan PKP yang memasuki hari ketujuh pada Selasa, pihak berkuasa mendapati kadar pematuhan arahan berkenaan yang mengkehendaki rakyat untuk duduk di rumah dan keluar hanya untuk membeli barang keperluan, masih belum hampir sepenuhnya.
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob pada tengahari Selasa semasa sidang media di Kuala Lumpur berakta kerajaan menganggarkan kadar pematuhan adalah pada 95 peratus.
Justeru itu, bagi memantapkan lagi usaha menguatkuasakan PKP, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu pasukan polis terhadap usaha berkenaan telah mengaturgerakkan pesawat kecil dron menjalankan pemantauan di 12 lokasi panas penularan Covid-19 yang dikenalpasti.
Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang memberitahu pesawat tanpa penumpang dron itu digunakan adalah milik kerajaan serta yang dipinjamkan dari syarikat tempatan.
"Kita tidak dapat mengaturgerakkan dron untuk memantau di seluruh negara. Dron-dron ini bagaimanapun akan digunakan di pelbagai lokasi, terutamanya 12 kawasan yang telah dikenalpasti sebagai lokasi panas COVID-19 di seluruh negara," kata Affendi dalam satu sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Antara lokasi panas yang telah dikenalpasti pihak berkuasa itu adalah di sekitar Lembah Klang seperti di Petaling Jaya, Titiwangsa, dan Lembah Pantai.
Selain menyumbangkan aset pesawat pemantau, ATM juga telah mengerahkan sejumlah 7,500 anggotanya untuk bersama-sama anggota polis dalam menguatkuasakan PKP sejak Ahad lepas.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media di Putrajaya bahawa sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa menggunakan kaedah lebih tegas bagi menguatkuasakan perintah berkenaan.
"Kita telah cuba menggunakan 'carrot approach' terlebih dahulu. Saya sudah menggunakan kaedah ini sejak dua minggu lalu. Tapi mungkin masanya sudah tiba untuk kita menggunakan ‘stick’(kaedah lebih tegas)," kata Noor Hisham ketika ditanya keberkesanan kaedah menasihati orang awam dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19.
Jururawat bersara sahut seruan bantu negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menerima pendaftaran dari lebih 3,000 jururawat yang telah bersara dan mahu kembali semula secara sukarela untuk membantu negara menghadapi pertambahan kes COVID-19 di hospital, demikian menurut Noor Hisham.
Ini susulan pengumuman oleh kementerian berkenaan, yang bercadang untuk mendapatkan semula khidmat bekas doktor dan jururawatnya yang telah bersara bagi menambah bilangan sumber manusia.
"Kita mempunyai 3,000 pesara jururawat (bersedia). Kita akan menghantar mereka samada ke klinik atau hospital mengikut kepakaran mereka. Contohnya, jika seorang jururawat itu mempunyai pengalaman bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU), kita mungkin akan meletakkannya di ICU," katanya.
Selain itu, Noor Hisham berkata, KKM telah mengadakan persiapan bagi menghadapi kemungkinan terburuk, menyiapkan 33 buah hospital di seluruh negara untuk menerima kes COVID-19, dengan kapasiti lebih 3,000 katil termasuk katil ICU.
Namun, walaupun dengan persiapan rapi, kementerian itu masih berharap untuk berjaya memutuskan rantaian jangkitan dan seterusnya mengurangkan pertambahan jumlah kes positif menerusi pelaksanaan PKP.
Dalam pada itu, Biby Maideen, 68, adalah antara ribuan jururawat yang telah mendaftarkan diri untuk berkhidmat membantu negara berdepan dengan wabak tersebut.
Beliau yang kembali ke tanahair pada 2018 selepas bersara sebagai jururawat di United Kingdom menyifatkan panggilan untuk berkhidmat pada kala ini adalah satu cara menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat.
"Saya sebelum ini telah dihubungi oleh NHS (Perkhidmatan Kesihatan UK) pada minggu lepas, meminta saya untuk menyertai mereka kembali. Mereka ingatkan saya masih berada di sana.
"Jadi apabila saya mendapat tahu KKM juga sedang mencari orang, saya terus mendaftarkan nama saya. Saya tidak mahu duit. Saya hanya mahu berbuat sesuatu untuk masyarakat," tambahnya lagi.
Selain daripada bantuan tenaga sukarela, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta (AS$22.57 juta) kepada KKM bagi membolehkan kementerian itu melantik 2,000 kakitangan kontrak tambahan, dengan penekanan lebih kepada perkhidmatan jururawat.
Kata Muhyiddin, ramai jururawat dan pekerja hospital telah menjadi teramat letih kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan serta menjaga pesakit yang positif COVID-19.
"Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID-19," katanya.
Nisha David dan Ray Sherman di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.