Mahkamah Rayuan putuskan ekstradisi dua rakyat Malaysia ke AS sebagai sah
2024.07.12
Kuala Lumpur
Mahkamah Rayuan Malaysia pada Jumaat memutuskan bahawa kerajaan boleh mengekstradisi dua rakyat negara itu ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi perbicaraan jenayah selepas pihak pentadbiran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan adalah menyalahi undang-undang untuk berbuat demikian.
Jika peguam Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching memutuskan untuk tidak merayu terhadap keputusan tersebut, Mahkamah Sesyen akan membuat penentuan muktamad sama ada dua lelaki itu akan dihantar ke AS untuk menghadapi perbicaraan dakwaan penglibatan mereka dalam rangkaian penggodaman global atau sebaliknya.
Kedua-dua ahli perniagaan itu telah didakwa oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS pada Ogos 2020 kerana didakwa bersubahat dengan sekumpulan penggodam China untuk mengaut keuntungan daripada pencerobohan komputer yang menyasarkan industri permainan video di AS dan di luar negara.
Panel tiga hakim diketuai Azizah Nawawi pada Jumaat memutuskan bahawa dua peruntukan yang membenarkan kerajaan mengekstradisi dua rakyat negara itu ke AS untuk menghadapi pertuduhan jenayah adalah sah di sisi undang-undang.
Keputusan itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi tahun lepas yang memihak kepada Ling dan Wong untuk mengisytiharkan bahawa Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa kedua-dua peruntukan undang-undang itu adalah sah dan tidak bercanggah dengan bidang kuasa kehakiman di bawah Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan serta beberapa perkara berkaitan kebebasan hak asasi.
Ketika membenarkan rayuan pendakwa raya, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia, Azizah berkata prosiding ekstradisi bukan bertujuan menentukan kesalahan seseorang individu sebaliknya bagi menentukan bukti yang mencukupi bagi tujuan ekstradisi.
“Kami mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang dalam keputusannya untuk membenarkan campur tangan Mahkamah Rayuan,” kata beliau.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berkata panel tiga hakim diketuai Azizah itu telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun lepas mengisytiharkan Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 tidak berperlembagaan yang akan membenarkan ekstradisi tanpa perbicaraan penuh.
Seksyen tersebut berkaitan dengan kuasa menteri dalam negeri untuk mengekstradisi suspek dan peranan mahkamah dalam menahan mereka sehingga menteri membuat keputusan.
“Mahkamah hari ini (Jumaat) menyatakan bahawa ekstradisi tidak sama dengan perbicaraan; ia hanyalah prosiding komital,” kata Shamsul yang mewakili kerajaan kepada BenarNews.
Shamsul menambah, Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa tiada isu pencerobohan eksekutif terhadap badan kehakiman.
"Hakim Mahkamah Sesyen masih mempunyai kuasa untuk melaksanakan kuasa kehakiman dan memutuskan sama ada kedua-dua mereka perlu diekstradisi atau tidak," jelasnya.
Prosiding ekstradisi kedua-dua ahli perniagaan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini.
Media tempatan pada September 2020 melaporkan dua ahli perniagaan itu ditahan di pinggir Kuala Lumpur dan direman mengikut Seksyen 16(1) Akta Ekstradisi 19912 serta Artikel 11(4) Triti Ekstradisi di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Amerika Syarikat.
Kedua-dua lelaki itu kemudian mencabar perintah ekstradisi tersebut sebagai tidak berperlembagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menang kes itu pada tahun lepas.
Namun kerajaan Malaysia membuat rayuan sehingga keputusan mengesahkan ekstradisi itu dibuat pada Jumaat.
Pada 2020, pendakwa AS mendakwa Wong dan Ling dengan 23 pertuduhan penipuan, berkonspirasi, mencuri identiti, penipuan peranti akses, pengubahan wang haram, pelanggaran Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer (CFAA) serta pendaftaran nama domain secara palsu.
Wong dan Ling didakwa menguruskan Sea Gamer Mall, sebuah syarikat Malaysia yang diasaskan oleh Wong melalui aktiviti penipuan melibatkan pencerobohan komputer dalam industri permainan video di AS, Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.
Sementara itu, lima lagi defendan warga China dalam kes berkenaan didakwa menyasarkan lebih 100 mangsa termasuk syarikat multinasional, kerajaan asing, penyedia telekomunikasi, ahli politik pro-demokrasi dan aktivis di Hong Kong.
Michael R. Sherwin, pemangku penguam AS di daerah Columbia berkata DOJ dalam kenyataan pada September 2020 menyebut bahawa jenayah itu "belum pernah berlaku sebelum ini."
“Perbuatan jenayah itu didakwa menggunakan dalang di China dan Malaysia untuk menggodam, menceroboh dan mencuri maklumat daripada mangsa di seluruh dunia secara haram,” kata Sherwin pada masa itu.
“Seperti yang dinyatakan dalam dokumen pertuduhan, beberapa pelaku jenayah itu percaya hubung kait mereka dengan China memberikan mereka lesen untuk melakukan kegiatan menggodam dan mencuri di seluruh dunia.”
Kes belum selesai
Menurut peguam Tey Jun Ren yang mewakili kedua-dua ahli perniagaan itu, anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
“Kes belum selesai. [Kami] akan mempertimbangkan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan dan mempunyai 30 hari untuk membuat keputusan.
“Setakat ini, kami belum membuat rayuan terhadap keputusan itu,” kata Tey ketika dihubungi BenarNews.
Ditanya adakah terdapat sebarang arahan daripada kerajaan untuk proses ekstradisi, peguam itu berkata; "Tidak, kami menunggu pengurusan kes Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos."
Kedua-dua ahli perniagaan itu kini diikat jamin.
Pada Januari 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan saman pemula difailkan Wong dan Ling selaku plaintif terhadap pendakwa raya, menteri dalam negeri, Kementerian Dalam Negeri, kerajaan Malaysia dan kerajaan Amerika Syarikat sebagai defendan.
Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya memutuskan Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 adalah tidak berpelembagaan, terbatal dan tiada kesan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Laporan media tempatan menyebut mahkamah memutuskan peruntukan dalam akta itu melanggar hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia.
Ini termasuk hak untuk proses undang-undang yang sewajarnya, kesaksamaan di sisi undang-undang dan perlindungan terhadap buangan atau buang negeri dengan sewenang-wenangnya, kata laporan itu.
Kedua-dua plaintif yang memfailkan saman itu pada 14 September 2021 mendakwa, mereka telah ditahan polis melalui suatu Waran Pemberkasan Tanpa Perintah Menteri dan permintaan ekstradisi dibuat oleh kerajaan AS.