Kapal Mewah Equanimity Kini Sah Milik Kerajaan Malaysia

Noah Lee
2018.10.19
Kuala Lumpur, Malaysia
181019-MY-Equanimity1000.jpg Kapal persiaran mewah Equanimity berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang, Malaysia, 7 Ogos 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia Jumaat memutuskan kapal layar mewah Equanimity bernilai 1 bilion ringgit (AS$250 milion) sah milik anak syarikat pelaburan penuh kerajaan 1Malaysia Development Berhad(1MDB), menurut peguam kerajaan Sitpah Selvaratnam.

Sitpah memberitahu BeritaBenar bahawa perkara itu diputuskan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiraliti) Kuala Lumpur oleh Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah Idris yang membenarkan penghakiman ingkar terhadap pemilik kapal tersebut.

“Mahkamah telah memaklumkan bahawa dua anak syarikat 1MDB merupakan pemilik yang sah dan ada kepentingan ke atas kapal layar Equanimity kerana wang syarikat telah digunakan untuk membeli kapal tersebut,” kata Sitpah pada Jumaat.

Beliau berkata bahawa mahkamah memutuskan sedemikian kerana pihaknya telah mengemukakan dokumen yang berkaitan dengan kes tersebut kepada pihak mahkamah untuk dikaji dan diperhalusi.

“Jadi bukan sahaja kerana pihak defendan tidak hadir tetapi juga di atas merit yang mahkamah telah dapati bahawa kes ini adalah jelas,

“Tiada siapa yang mencabar di mahkamah. Jadi prosiding ini adalah sah,” katanya ketika ditanya tentang situasi jika mahkamah di Amerika Syarikat telah memberikan keputusan yang sama.

Sitpah berkata sukar bagi syarikat Equanimity Cayman Ltd. yang sebelum ini mengaku sebagai pemilik kapal tersebut, dan ahli perniagaan Jho Low untuk mencabar keputusan tersebut selepas ianya diputuskan.

“Mereka telah diberikan peluang, mereka ada dua bulan lebih tetapi mereka memilih untuk tidak hadir. Ini akan menyukarkan mereka untuk mencabar keputusan itu,” kata Sitpah.

Dengan keputusan tersebut, Sitpah turut berkata pemilik baru kapal tersebut tidak akan menghadapi sebarang masalah setelah ianya dijual.

Menurut Sitpah, proses penghakiman yang dilakukan ini adalah sah kerana kapal tersebut sudah berada di Malaysia selama lebih dua bulan dan diketahui oleh semua pihak.

Pada Ogos, mahkamah Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada kumpulan 1MDB untuk menjual kapal tersebut.

Peguam  Ong Chee Kwan memberitahu pemberita bahawa kerajaan berhasrat untuk menjual kapal tersebut secepat mungkin kerana kos penyengaraannya yang sangat tinggi. Menurut cadangan, kapal itu akan dijual melalui lelongan awam atau perjanjian awam.

Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1MDB dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan yang difailkan pada 6 Ogos lalu, kerajaan Malaysia menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan juga di atas alasan keselamatan.

Pihak berkuasa Indonesia menyerahkan kapal tersebut kepada kerajaan Malaysia pada 7 Ogos dan kini berlabuh di Pelabuhan Klang selepas ianya dirampas pada 28 Februari ketika berlabuh di Bali.

Sebelum ini menteri kabinet Sivarasa Rasiah berkata kerajaan berharap untuk menjual kapal mewah tersebut dengan harga 500 juta ringgit selepas isu mengenai pemilikan kapal itu diselesaikan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyifatkan kes 1MDB sebagai skandal kleptokrasi paling buruk dalam sejarah dan menuduh Jho Low melakukan pengubahan wang haram  lebih AS$400 juta yang dicuri dari 1MDB dengan membeli hartanah di California, New York dan London. Antara harta yang di beli merupakan kapal dan satu jet yang beli dengan harga AS$35 juta.

Jho Low yang kini dalam pelarian turut didakwa di mahkamah atas kesalahan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB pada hari yang sama mahkamah membenarkan penjualan kapal mewah yang dikatakan miliknya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.