Malaysia Mulakan Lelongan Kapal Layar Mewah Ada Kaitan Skandal 1MDB
2018.10.29
Kuala Lumpur, Malaysia
Malaysia pada Isnin melelong kapal layar mewah bernilai AS$250 juta, yang disita daripada pembiaya kewangan yang menjadi buruan Jho Low, sebagai sebahagian daripada siasatan antarabangsa terhadap skandal rasuah 1MDB negara itu, kata seorang peguam kerajaan.
Penjualan pertama aset utama yang dikaitkan dengan 1MDB itu bermula ketika kerajaan bersiap sedia untuk mengadakan sidang kemuncak pencegahan rasuah di Kuala Lumpur, yang akan dihadiri Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Selasa. Beliau mengambil alih kuasa pemerintahan hampir enam bulan lalu dengan berjanji untuk menyiasat penyelewengan berbilion ringgit daripada dana negara itu yang dikenali secara rasmi sebagai 1Malaysia Development Berhad.
Proses bidaan selama sebulan bagi kapal layar mewah Equanimity yang seluas 300 kaki itu bermula pada Isnin, kata peguam Ong Chee Kwan, yang mewakili kerajaan dan 1MDB dalam penjualan itu, kepada BeritaBenar.
Ong berkata, lelongan itu akan diseliakan oleh Burgess Yachts yang berpejabat di London, sebuah broker kapal layar mewah global. Katanya beliau tidak dapat memberikan anggaran mengenai berapa tinggi harga yang akan dibida untuk Equanimity.
"Setinggi yang mungkin," katanya. "Itu sahaja yang boleh saya katakan."
Beliau berkata pembida berpotensi perlu terlebih dahulu membayar deposit $1 juta (RM4.17 juta) kepada Burgess sebelum 28 Nov, tarikh di mana para pegawai akan memutuskan sama ada meneruskan jualan kapal layar itu.
"Selepas membayar deposit, dan setelah menetapkan tarikh tutup, syerif admiralti akan menentukan nilai muka kapal layar itu. Mereka akan menentukan pembida mana yang sekurang-kurangnya dapat memenuhi bayaran nilai muka itu, "katanya.
Lelongan itu dibuat hampir tiga bulan selepas Indonesia menyerahkan kapal layar itu kepada Malaysia.
Pihak berkuasa Indonesia dan Amerika Syarikat menahan kapal layar itu, yang mengibarkan bendera Kepulauan Cayman, ketika ia berlabuh di luar pulau Bali di Indonesia pada Februari, dan sebuah mahkamah Malaysia memberi kebenaran supaya ia dijual dua bulan lalu.
Pada 15 Jun, 2017, Amerika Syarikat memfailkan saman tuntutan sivil terhadap kapal itu dengan mendakwa Jho Low - yang nama sebenarnya ialah Low Taek Jho - telah membelinya sebanyak AS$250 juta dengan wang yang "dicuri dan diselewengkan" daripada 1MDB.
Selepas mengetahui tentang tindakan sebuah mahkamah California mengarahkan supaya kapal layar itu dirampas, Jho Low memberi arahan supaya menyembunyikan Equanimity di beberapa lokasi asing, yang menggagalkan usaha kerajaan untuk membawa aset itu bagi tujuan pelucuthakan di Amerika Syarikat, kata para penyiasat AS.
Low, yang tidak diketahui keberadaannya, menentang penyerahan kapal layar itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh para peguamnya, serta gagal menuntut pemilikannya di mahkamah Malaysia, yang kemudian menyerahkan pemilikan Equanimity kepada kerajaan.
Peguam Low tidak membalas e-mel daripada BeritaBenar bagi mendapatkan komen mengenai lelongan kapal layar itu.
Burgess Yachts, dalam laman webnya, menyatakan bahawa Equanimity boleh menampung sehingga 22 tetamu dan 31 anak kapal, serta mempunyai pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, salon kecantikan, bilik urut, ruang sauna, kemudahan perubatan dan pad helikopter.
Kapal layar itu adalah antara aset bernilai $1.7 bilion yang didakwa Washington dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada 1MDB, yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak ketika beliau berkuasa pada 2009.
Mahathir mengambil alih kuasa pada 10 Mei selepas Pakatan Harapan menumbangkan parti pemerintah yang dipimpin Najib pada pilihan raya umum sehari sebelumnya. Pemerhati politik merumuskan bahawa kejatuhan politik Najib sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan 1MDB.
Najib, yang menghadapi pelbagai pertuduhan yang berkaitan dengan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, secara konsisten mendakwa bahawa wang sebanyak RM2.3 bilion (AS$556.23 juta) dari 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Tetapi, dalam satu wawancara dengan Al Jazeera pada Jumaat, Najib mengesahkan beliau tidak dapat mengesahkan sumber dana itu. Beliau menganggap sumbangan itu mempunyai kaitan dengan Arab Saudi selepas Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud memberi jaminan untuk menyokongnya.
Bagaimanapun, dalam catatan Facebook pada hari yang sama, Najib berkata wang itu sememangnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah bagaimanapun memberitahu pemberita pada Sabtu bahawa kerajaan Arab Saudi telah menyatakan bahawa ia tidak mempunyai kaitan dengan dana yang diterima oleh Najib.
Saifuddin mengulas demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, pada Jumaat.
"Beliau menyatakan bahawa (wang itu) tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi," kata Saifuddin, merujuk kepada Adel.