Malaysia Senarai Dua Militan IS Yang Diisytihar Mati Oleh Filipina
2018.03.13
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia telah menambah dua nama dipercayai pemimpin kumpulan Negara Islam [IS] dalam senarai militan yang dikehendaki, walaupun tentera Filipina mengatakan kedua-duanya terbunuh dalam pertempuran di Marawi tahun lalu.
Nama dan foto Dr Mahmud Ahmad dan Amin Baco muncul sebagai tambahan terbaru kepada senarai 16 anggota militan yang dikeluarkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada Januari.
Agensi itu menyelia kawasan keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah yang terletak berdekatan dengan selatan Filipina di mana pertempuran selama lima bulan berlaku. Ia merupakan senarai dikehendaki pertama yang dikeluarkan ESSCOM selepas kerajaan Filipina mengisytiharkan pengepungan Marawi oleh militan IS telah berakhir pada penghujung Oktober lepas.
"Kesemua 16 individu yang dikehendaki itu dipercayai telah melakukan pelbagai jenayah rentas sempadan seperti pembunuhan, penculikan, rampasan di laut dan juga aktiviti militan," kata Komander ESSCOM Hazani Ghazali kepada BeritaBenar. "Kesemuanya adalah rakyat Filipina kecuali dua warga Malaysia iaitu Amin Baco dan Dr Mahmud Ahmad."
Bagaimanapun, Hazani tidak menjawab soalan BeritaBenar tentang Dr Mahmud Ahmad dan Amin Baco.
Kematian masih belum disahkan
Pada Oktober lepas, tentera Filipina mengisytiharkan bahawa Dr Mahmud Ahmad, seorang bekas profesor sebuah universiti di Malaysia yang telah menggantikan Isnilon Hapilon, seorang warga Filipina, sebagai pemimpin serantau kumpulan ekstremis IS selepas Isnilon terbunuh dalam pertempuran di Marawi, turut terbunuh tidak lama kemudian dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan itu.
"Beliau [Dr Mahmud Ahmad] terkorban dalam serangan tentera ketika itu - atau pada malam yang menyaksikan 12 pemberontak lain turut terbunuh," kata jurucakap tentera Filipina, Mejar Jeneral Restituto Padilla, pada 20 Oktober lepas, sambil menambah bahawa mayatnya belum ditemui.
Bagaimanapun, setakat ini kerajaan Filipina belum mengesahkan kematian Dr Mahmud Ahmad menerusi ujian DNA.
Bekas pelajar Universiti Islam Islamabad di Pakistan, Dr Mahmud Ahmad juga pernah dilaporkan menerima latihan di sebuah kem Al-Qaeda di Afghanistan pada tahun 1990-an sebelum pulang ke tanah air untuk mengajar di Universiti Malaya.
Pada 2014, Dr Mahmud Ahmad melarikan diri ke selatan Filipina selepas pihak berkuasa Malaysia mengumumkan bahawa beliau dan beberapa lagi rakyat Malaysia dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti militan.
Mahmud juga dipercayai telah membantu memindahkan dana daripada kumpulan teras Negara Islam di Syria ke selatan Filipina melalui Indonesia, yang digunakan untuk membiayai pengepungan Marawi.
Amin Baco, yang juga nama baru dalam senarai ESSCOM, terkenal sebagai pakar membuat bom. Selepas tentera Filipina berjaya memecahkan kepungan di Marawi, Amin Baco dikatakan mengetuai pejuang IS di kawasan itu. Bagaimanapun, pada 6 November, Padilla berkata Amin Baco dipercayai terbunuh bersama anggota militan lain ketika bertempur.
"Mayat Amin Baco kini menjadi subjek pencarian agresif yang berterusan," katanya pada masa itu.
Namun pada Selasa, Hermogenes Esperon Jr, penasihat keselamatan kebangsaan Filipina berkata, Amin Baco adalah seorang daripada dua calon utama bagi mengambil alih peranan pucuk kepimpinan IS di wilayah itu.
Mayat Amin Baco tidak ditemui tetapi laporan mencadangkan bahawa beliau masih hidup dan besar kemungkinan berada di selatan Filipina, lapor Associated Press memetik kenyataan Esperon.
"Beliau tidak berada di Marawi sebaliknya dilaporkan berada di tempat lain," kata ketua keselamatan negara Filipina itu.
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah telah mengeluarkan senarai 16 lelaki yang dikehendaki bagi jenayah rentas sempadan dan keganasan pada 13 Mac 2018. (Ihsan ESSCOM)
Kerjasama keselamatan ‘begitu kelam-kabut’: pakar
Menurut Pawel Wójcik, penganalisis konflik dan pemberontakan bebas, pemasukan nama Dr Mahmud Ahmad dalam senarai ESSCOM menunjukkan tahap kerjasama yang rendah antara pihak berkuasa Filipina dan Malaysia.
"Ini adalah satu lagi kes yang menyaksikan kerjasama Malaysia dan Filipina seolah-olah lemah walaupun terdapat gesaan pada tahun lepas untuk mengadakan perkongsian risikan bersama dan percubaan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang mewujudkan beberapa bentuk pemahaman baharu antara kedua-dua negara berikutan peningkatan ancaman jihad," kata pakar dari Poland itu kepada BeritaBenar.
"Malah, penamaan [Dr Mahmud Ahmad] sebagai lelaki yang dikehendaki dalam senarai itu telah menyebabkan kita berpendapat bahawa pemahaman dan kerjasama sedemikian berada di tahap yang begitu kelam-kabut selain tiada penambahbaikan sebenar."
Sementara itu, Patrick Blannin, pakar keselamatan dari Australia, berkata keputusan untuk menyenaraikan Dr Mahmud Ahmad mungkin bermaksud "anggota pasukan keselamatan Malaysia mempunyai maklumat bahawa beliau masih hidup."
"Apapun, ia boleh menonjolkan kekurangan koordinasi yang amat diperlukan oleh kedua-dua negara, yang merupakan satu masalah," kata Blannin, penyelidik keselamatan antarabangsa yang berpangkalan di Universiti Bond, negeri Queensland kepada BeritaBenar.