Pihak Berkuasa Malaysia Tembak Mati Dua Lelaki Bersenjata di Perairan Sabah

Zam Yusa
2018.09.21
Kota Kinabalu, Malaysia
180921-MY-Sabah-Mati-620.jpg Komander ESSCOM Hazani Ghazali (tengah) bersama pegawai kanan lain menujukkan senjata yang dirampas daripada kedua suspek yang terbunuh di perairan Pantai Timur Sabah, 21 September 2018 .
[Ihsan ESSCOM]

Pasukan keselamatan Malaysia menembak mati dua lelaki bersenjata yang dipercayai  terlibat dalam kes penculikan untuk wang tebusan dan bertanggungjawab keatas penculikan dua nelayan Indonesia di perairan pantai timur Sabah pada 11 September lepas.

ESSCOM, Pasukan berkuasa yang bertanggunjawab terhadap Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah mengatakan kedua-dua lelaki yang ditembak mati semasa kejadian kejar mengejar di perairan berhampiran Pulau Bohayan Kunak, di Sabah pada malam Khamis itu, dipercayai pendatang tanpa izin warganegara Filipina.

Pihak berkuasa juga menemui sepucuk pistol jenis revolver .22 bersama tujuh butir peluru hidup dan jenis yang sama, sepucuk revolver .38 dan sebutir peluru hidup dan lima kelongsong jenis yang sama dan pedang samurai.

Komander ESSCOM Hazani Ghazali berkata, agensi itu menghantar beberapa pasukan selepas menerima ‘tip’ dari orang awam bahawa individu yang dikaitkan dengan kumpulan penculikan untuk wang tebusan bersembunyi di sebuah kampung air di daerah Kunak.

Ketika pasukan polis pergi ke Kampug Air Kunak Tiga untuk melakukan pemeriksaan, sebuah bot kelihatan beredar ke laut, mendorong pihak berkuasa untuk mengejar dengan empat buah bot dalam insiden yang berlaku pada kira-kira pukul 10.45 malam.

Kedua pihak kemudian berbalas tembakan semasa insiden kejar mengejar.

Hazani berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki tersebut berusia dalam lingkungan 50 tahun,  tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan mati di dalam bot tersebut.

"Kami kini sedang menyiasat identiti sebenar dan juga sekiranya mereka terlibat di dalam kes lampau... pada masa ini kami percaya mereka adalah pendatang tanpa izin dari negara jiran dan telah berada di Sabah sejak sekian lama," kata Hazani sambil menambah yang kenyataan yang dibuatnya itu berdasarkan kepada kedua-duanya tidak mempunyai tanda vaksin BCG di bahu seperti rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pihak berkuasa percaya kedua-dua lelaki itu adalah ejen kepada kumpulan penculikan yang terbabit dalam kes culik baru-baru ini.

Bot yang digunakan oleh kedua-dua lelaki berkenaan telah dikenal pasti oleh saksi yang terselamat daripada kejadian penculikan sebelum ini, sebagai bot yang telah digunakan dalam penculikan melibatkan dua rakyat Indonesia.

Sepuluh hari lepas, dua lelaki bersenjata menaiki sebuah bot menangkap ikan dan menculik dua lelaki di perairan Semporna sementara dua lagi anak kapal terselamat setelah menyembunyikan diri dalam bot berkenaan.

Akhbar tempatan Sabah, The Daily Express pada minggu lalu telah melaporkan yang penculik berjaya melarikan diri bersama mangsa mereka ke Pulau Tawi-Tawi di selatan Filipina dan seterusnya dipercayai ke Talipao, di wilayah Sulu.

Bot pam telah dilarang penggunaannya di pantai timur Sabah oleh kerajaan negeri kerana sering digunakan oleh lanun dan penculik pada waktu malam, tetapi pentadbiran negeri itu baru-baru ini berkata mereka sedang mempertimbangkan untuk menarik balik larangan itu berikutan nelayan miskin juga menggunakan bot pam sebagai sumber pendapatan mereka.

Mengulas mengenai kejadian tembak menembak dan pengharaman penggunaan bom pam, Ketua Menteri Sabah Shafiee Apdal memberitahu media pada Jumaat dengan berkata, "Kami akan meneliti kejadian (pulau berhampiran Kunak) dari semua sudut, termasuk jenis bot  yang digunakan. Ia tidak ada kena mengena dengan pengharaman bot pam dan semuanya bergantung kepada niat."

"Jika ada niat jahat (untuk melakukan jenayah merentas sempadan), maka mereka akan menggunakan cara lain juga untuk memasuki negara ini, bukan hanya dengan bot pam tetapi juga bot laju, yang lebih cepat," kata Shafie.

Puluhan rakyat Malaysia dan warga asing diculik di Laut Sulu-Celebes di timur Sabah sejak tahun 2000, tahun di mana 21 rakyat asing diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Sipadan yang terkenal sebagai pusat pelancongan.

Pantai timur Sabah bersempadan dengan selatan Filipina oleh laut Sulu dan Celebes.

Pada Jun 2017, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah melancarkan rondaan tiga hala yang bertujuan untuk menjaga perairan laut yang sama dari lanun dan militan.

Sejumlah 40 insiden perlanunan dan rompakan bersenjata melibatkan kapal dan bot - 29 insiden dengan 11 percubaan - telah dilaporkan di Asia dari Januari hingga Jun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.