Pelukis Malaysia Bakal Hadapi Dakwaan Berkaitan Muat-naik Dalam Talian

Amir Hadi Azmi
2016.06.03
Kuala Lumpur
160603-my-fahmi-620 Fahmi Reza sedang melukis karya seninya bagi pameran pada tahun 2014.
Ihsan Fahmi Reza

Artis grafik Malaysia, Fahmi Reza, yang memulakan trend pada Januari dengan menyiarkan imej Perdana Menteri Najib Razak sebagai badut di Twitter,  bakal berhadapan dengan pertuduhan di dua mahkamah yang berbeza minggu depan kerana melanggar peraturan undang-undang internet di negara itu.

Fahmi telah disaman untuk hadir di mahkamah berasingan pada Isnin dan Jumaat depan, di mana beliau boleh didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas dakwaan menggunakan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian dengan menghantar poster menghina Perdana Menteri Najib Razak serta pegawai dan juga institusi di Malaysia di laman Facebook dan Instagram beliau.

Fahmi telah menerima waran dari Balai Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Jumaat.

“Saya percaya di sebuah negara di mana artis, pereka, kartunis dan penulis satira telah ditapis, ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana seni mereka, adalah penting bagi mereka untuk membentuk ungkapan seni seperti itu untuk berhubung - parodi dan sindiran adalah satu bentuk protes politik – yang perlu diamalkan dan dipertahankan, " kata Fahmi kepada BeritaBenar.

Fahmi, 38, memulakan sindiran rentetan beberapa penangkapan oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah akta tersebut yang beliau gelar #AktaSakitHati (#HurtMyFeelingsAct).

Pendakwaan pertama yang berpotensi terhadapnya adalah, pelukis itu sengaja menggunakan akaun Instagramnya untuk menghantar lakaran wajah Najib sebagai badut pada 31 Jan lalu dengan niat menyinggung perasaan orang lain.

Dalam muat-naik yang kapsyennya berbunyi, "Pada tahun 2015, Akta Hasutan telah digunakan 91 kali. Tetapi di negara yang penuh dengan rasuah, kita semua adalah hasutan, " menyebabkan keadaan menjadi riuh di Twitter.

Pertuduhan kedua yang berpotensi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendakwa bahawa Fahmi sengaja memuatnaik notis parodi SKMM dengan menampilkan gambar Najib yang hampir sama tetapi diubah sedikit, di laman Facebook beliau pada Feb 8.

Fahmi berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan hanya melaksanakan haknya untuk bersuara.

Beliau dijadualkan muncul di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau pada Isnin ini dan pertuduhan lain di Mahkamah Sesyen Ipoh di Perak pada 10 Jun ini.

Jika sabit kesalahan, Fahmi boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda RM50,000 (AS$ 12,178), atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan keatas Zunar

Kes terhadap Fahmi merupakan satu lagi kes melibatkan kartunis politik Malaysia, Zunar, yang bakal berhadapan dengan perbicaraan terhadap sembilan tuduhan menghasut.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, dikenali dengan lakaran kartunnya yang menyindir Najib di mana beliau menonjolkan tema seperti rasuah.

Penerima bersama Hadiah Kartun Editorial Antarabangsa 2016 itu, dijadual menghadapi perbicaraan pada 14 Julai depan. Beliau boleh dihukum penjara lebih daripada empat dekad jika didapati bersalah atas semua sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan Malaysia.

Zunar telah dipenjara dua kali - selama dua hari pada September 2010 dan tiga hari pada Februari 2015. Lima daripada buku beliau telah diharamkan dan pejabatnya di Kuala Lumpur telah diserbu. Pencetak telah diberi amaran untuk tidak menyiarkan kartun-kartunnya.

Pendakwaan terkini terhadap beliau berpunca daripada tweet yang dihantar di mana beliau mengkritik penahanan Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat pada tahun 2014.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.