Penjara Sebulan Bagi Artis Grafik Muat Naik Gambar Badut PM
2018.02.20
Kuala Lumpur
Mahkamah Seksyen Ipoh pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM30,000 terhadap seorang artis grafik Malaysia kerana memuat naik gambar badut yang menyerupai Perdana Menteri Najib Razak dalam akaun Facebooknya dua tahun lalu.
Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 40, juga berhadapan dengan tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan mahkamah terhadapnya.
Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu berikutan kegagalan pihak pembelaan menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes tersebut sekaligus mendapati tertuduh bersalah.
Namun, Hakim berkenaan membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman berkenaan bagi membolehkan Mohd Fahmi Reza membuat rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi meningkatkan jumlah jaminan dari RM5,000 kepada RM10,000.
Mohd Fahmi Reza didakwa pada 10 Jun dua tahun lalu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Fahmi Reza didakwa dengan sengaja menggunakan akaun Facebook 'Fahmi Reza' di suatu pautan dan memulakan komunikasi yang palsu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 8 Feb 2016.
Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di sebuah alamat di Seraya Sdn Bhd, Batu 3, Jalan Jelapang, di sini, pada pukul 2.40 petang pada hari yang sama.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dan Nazrul Nizam Zameri, yang mengemukakan tujuh saksi.
Manakala Mohd Fahmi Reza diwakili peguam bela, Syahredzan Johan.
Mohd Fahmi Reza dalam catatan di dalam akuan Facebooknya memberitahu, beliau telah ditangkap polis sebanyak dua kali di bawah Akta Hasutan dan di atas cubaan merusuh, sejak karikatur itu di muat naikan dua tahun lalu dengan slogan "Kita Semua Penghasut.”
Akibatnya, beliau telah disoalsiasat polis sebanyak empat kali, ditahan reman dan bermalam di balai polis selama dua malam.
“Karikatur badut Najib ini menyebabkan saya masuk dalam senarai dikehendaki polis, masuk senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia, kena dakwa dua kali di dua Mahkamah Seksyen di Ipoh dan Kuala Lumpur,” menurutnya dalam akaun Facebooknya pada 31 Januari.
Tegas Mohd Fahmi Reza, karya grafiknya yang mengkritik penguasa adalah amat penting sebagai satu bentuk protes yang sepatutnya dipertahankan oleh seseorang individu.
Sementara itu, Syahredzan dalam rayuannya, memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum RM10,000 berdasarkan faktor mitigasi, antaranya kesalahan dilakukan adalah yang pertama dan tidak serius serta tidak membawa mudarat berpanjangan kepada mana-mana pihak.
Hukuman denda itu dianggap bersesuaian dengan pendapatan Mohd Fahmi Reza sebagai pereka grafik yang menerima sebanyak kira-kira RM2,000 sebulan.
Bagaimanapun, Mohd Sophian dalam hujahnya membantah cadangan pihak pembelaan itu, dan sebaliknya berpendapat bahawa mahkamah tidak wajar bersimpati kerana sebelum melakukan kesalahan itu tertuduh sedar kesan perbuatan yang dilakukan olehnya.
Beliau berhujah, hukuman denda hanya bersesuaian jika tertuduh mengaku bersalah ketika awal pertuduhan, tetapi kes itu menempuh perbicaraan penuh, bermula dari pendakwaan pada 10 Jun 2016.
Pendakwaan juga memaklumkan, kesalahan membabitkan fitnah, penghinaan, penyebaran berita palsu menerusi internet kerap berulang dan ketika ini menjadi ikutan, yang memerlukan mahkamah mengenakan hukuman tegas sebagai iktibar kepada masyarakat.
Pada 4 Januari lalu, tertuduh diarah membela diri bagi pertuduhan itu selepas Hakim Norashima mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mohd Fahmi Reza diberi pilihan sama ada berdiam diri, memberi keterangan tanpa sumpah di luar kandang saksi atau memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi.
Tertuduh memilih memberi keterangan secara bersumpah dalam kandang saksi dan kes kemudian diteruskan dengan perbicaraan sebelum tarikh 30 Januari lalu ditetapkan untuk keputusan kes tetapi ditangguh beberapa kali susulan hakim cuti sakit dan peguam mengerjakan umrah.
Mohd Fahmi Redza juga berhadapan dengan satu lagi tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, mengikut seksyen sama kerana memuat naik imej karikatur pemimpin negara di laman sosial Instagram miliknya dengan niat untuk menyakiti hati sasarannya pada 31 Januari 2016.