Malaysia Siasat Pelukis Grafik Berhubung Karikatur Kritik Menteri Kesihatan
2021.03.10
Kuala Lumpur
Malaysia pada Rabu telah memulakan siasatan fitnah terhadap seorang pereka grafik berhubung karikatur lukisannya yang mengkritik Menteri Kesihatan negara itu mengenai cara kendalian respon berkaitan pandemik COVID-19.
Fahmi Reza, 43, disiasat dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta satu lagi akta berkaitan penyalahgunaan jaringan komunikasi yang merupakan akta terkini dalam senarai panjang kes serupa yang dibuka oleh pihak berkuasa Malaysia, langkah yang disifatkan oleh organisasi Human Rights Watch sebagai satu bentuk serangan ke atas hak kebebasan bersuara.
Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi BeritaBenar pada Rabu mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat Fahmi, seorang pereka grafik yang terkenal dengan karya satira dan karikatur yang kritikal serta kontroversi di Malaysia.
"Kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Siasatan ini berkaitan ciapan di laman Twitter yang mengutuk Menteri Kesihatan melalui poster. Kita juga telah menerima dua laporan daripada Kementerian Kesihatan," kata pegawai polis itu.
Terdahulu itu, Fahmi telah memuatnaik sekeping gambar di akaun Instagram, menunjukkan dirinya berdiri di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sambil memberitahu yang beliau baharu sahaja selesai disoalsiasat oleh pihak polis.
"Aku sudah keluar! Sudah habis berjumpa polis. Aku disoalsiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (a.k.a. #AktaSakitHati) kerana 2 karya poster grafik satira berbentuk parodi yang guna lukisan wajah Menteri Air Suam dari 3 Okt 2020 dan 10 Feb 2021.
"Aku dituduh memfitnah Kementerian Kesihatan Malaysia dengan karya grafik satira aku. Aku pertahankan karya-karya aku, dan akan lawan tuduhan tak berasas ni. #SatireIsNotACrime," tulis Fahmi.
Dalam ciapan di Twitter, artis itu menyatakan bahawa siasatan itu menjurus kepada dua karikatur lukisan beliau yang telah dimuatnaik pada 3 Oktober 2020 dan 10 Feb 2021 di mana karikatur pada Oktober memaparkan poster lukisan Menteri Kesihatan Adham Baba sedang meminum segelas air dengan kapsyen "Hilang! Ada nampak menteri ini? Jantan 58 tahun, rambut pacak, warna oyen, ekor panjang, suka minum air suam".
Ia dipercayai merujuk kepada Adham yang sebelum itu telah dikritik ramai apabila memberi petua amalan meminum air suam dapat menghalang jangkitan COVID-19.
Dalam poster kedua, Fahmi telah memuatnaik satu 'kupon' yang memaparkan karikatur serupa di mana Adham sedang meminum segelas air, dengan ayat "Dapatkan diskaun 70% daripada tempoh kuarantin wajib bagi pengembara luar negara!" dan karikatur itu dipercayai satu kritikan terhadap menteri itu kerana melonggarkan perintah kuarantin untuk menteri yang pulang dari luar negara atas tugasan rasmi.
Di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan mengenai kesalahan memfitnah, sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula adalah merujuk kepada kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi dengan tidak wajar dengan membawa hukuman denda tidak melebihi RM50 ribu, atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Fahmi juga pernah disiasat, bermalam di dalam lokap oleh pihak berkuasa di bawah Akta Hasutan, malah pernah didenda dan dipenjara kerana lakaran karikaturnya yang dilihat kritikal mengkritik terutamanya semasa pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri.
Pada Januari lepas, laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Human Rights Watch (HRW) bagi sepanjang tahun 2020 telah menyatakan bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin bersikap agresif terhadap kenyataan-kenyataan kritikal mengenai kerajaan, manakala sektor media juga turut dihentam sepanjang tahun itu.
Pihak berkuasa negara itu telah membuka siasatan ke atas ramai aktivis dan ahli politik pembangkang atas ucapan yang kritikal terhadap kerajaan. Menurut HRW, setakat 11 Mei 2020, polis telah membukan 262 siasatan mengenai penyebaran 'berita tidak benar dan menghasut', dan 264 siasatan lagi ke atas 'berita tidak benar' berkaitan dengan wabak COVID-19.
Selain Fahmi, Tommy Thomas, iaitu bekas Peguam Negara semasa era pemerintahan Pakatan Harapan, juga menjadi subjek siasatan kes fitnah, berhubung penerbitan buku memoir beliau yang bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' yang diterbitkan pada Januari.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata bahawa kerajaan sedang meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mempercepatkan siasatan ke atas berita palsu.
Menurut laporan Bernama, menteri itu berkata bahawa terdapat keperluan meminda undang-undang berkenaan kerana ia digubal 23 tahun dahulu dan sudah ketinggalan dengan perkembangan teknologi terkini, dan menimbulkan cabaran dalam siasatan pihak berkuasa.
"Kami sedang meminda akta tersebut termasuk bagaimana hendak mempercepatkan siasatan. Tahun 1998 kita tidak membayangkan akan wujud aplikasi seperti WhatsApp dan orang boleh menyebar berita palsu secepat sekarang.
"Polis juga berdepan masalah sama kerana perkembangan teknologi menyebabkan perkara lazim yang kita boleh lakukan 10 atau 20 tahun lalu sudah diatasi perkembangan teknologi dan mereka yang menyebarkan berita palsu ini juga agak cekap menggunakan teknologi," kata beliau.