Kerajaan Malaysia fail rayuan keputusan mahkamah kes rasuah presiden UMNO
2022.09.27
Kuala Lumpur
Pendakwaraya Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di negara itu yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi, presiden parti politik terbesar di Malaysia yang menjadi tunjang kepada gabungan parti yang membentuk kerajaan persekutuan, daripada kes rasuah membabitkan nilai AS$11 juta, kata seorang pegawai kanan kerajaan pada Selasa.
Sejak dibebaskan daripada 40 pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam Jumaat lalu, presiden parti UMNO dan bekas timbalan perdana menteri itu yang sedang mendesak kerajaan supaya mengadakan pilihan raya umum dengan segera telah menuduh bahawa pembangkang sengaja menggunakan alasan musim banjir pada November dan Disember depan untuk melengahkan pilihan raya.
Ahmad Zahid masih berdepan dengan satu lagi perbicaraan rasuah, tetapi keputusan mahkamah membebaskannya pada Jumaat telah membantu Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk menepis dakwaan pengkritik bahawa beliau mahukan pilihan raya dibuat segera disebabkan kes mahkamahnya.
"Ya, pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan semalam (Isnin) terhadap keputusan membebaskan Zahid daripada pertuduhan," kata Wan Shaharuddin Wan Ladin seorang timbalan pendakwaraya yang terbabit dalam pasukan yang mengendalikan pendakwaan terhadap Zahid semasa dihubungi BenarNews pada Selasa.
Pada 23 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah membabitkan kontrak sistem pemprosesan visa luar negara.
Beliau didakwa menyambung kontrak syarikat pemprosesan visa dan sebagai balasan sejumlah RM50.56 juta (AS$11 juta) diberikan kepada pemimpin tersebut yang pada masa itu memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri, antara tahun 2014 dan 2018.
Dalam keputusan pada Jumaat itu, Hakim Mohd Yazid berkata pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan kes atas semua alasan.
Namun begitu Ahmad Zahid masih mempunyai satu lagi kes rasuah yang masih berjalan.
Pada April lepas, Zahid telah diarahkan untuk membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah melibatkan penyalahgunaan dana berjumlah RM52.25 juta (AS$11.42 juta) dari yayasan milik keluarganya, yang ditubuhkan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Lengahkan pilihan raya
Sejak Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan membebaskan Ahmad Zahid daripada kes kontrak sistem visa, bekas timbalan perdana menteri itu dilihat semakin kuat membuat desakan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum hujung tahun ini.
Ia termasuk beberapa kenyataan dikeluarkan Ahmad Zahid di laman Facebook beliau yang menggesa supaya kerajaan tidak terpedaya dengan apa yang didakwanya sebagai helah pembangkang untuk cuba melengah-lengahkan PRU15 kerana masih belum bersedia.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata pembangkang sengaja memainkan isu banjir sebagai alasan supaya pilihan raya tidak diadakan pada tahun ini.
"Pembangkang semakin hangat menggunakan isu banjir untuk mengelak pilihan raya umum diadakan," kata beliau dalam satu muatnaik di Facebook pada pagi Selasa.
"Kebimbangan sebenar pembangkang ialah apabila pengundi Melayu yang mewakili populasi negara terbesar kurang berminat untuk menyokong gabungan tersebut ketika gendang pilihan raya dipalu BN.
“Pakatan Harapan hampir menemui jalan buntu dan tidak mempunyai pilihan selain memerlukan lebih banyak masa. Dengan kata lain, Pakatan Harapan cuba "membeli masa" untuk melengahkan pilihan raya umum diadakan," tambah beliau, merujuk kepada gabungan parti pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid sebelum itu pernah menyatakan bahawa parti-parti politik dalam gabungan Barisan Nasional sanggup meredah banjir dan hujan lebat untuk bertanding jika pilihan raya umum diadakan semasa musim tengkujuh yang dijangka berlaku antara bulan November dan Disember tahun ini.
Tindakan beliau itu telah disifatkan para pengkritiknya sebagai satu 'langkah terdesak' untuk menyelamatkan dirinya daripada kes pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah, dan rasuah yang sedang dihadapinya di mahkamah, beliau bagaimanapun menafikan mahu PRU15 diadakan awal kerana kesnya dan menyatakan kesediaan untuk melalui semua proses mahkamah.
Kenyataan bongkak
Sementara itu, seorang penganalisis menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa pembangkang ingin melengahkan pilihan raya kerana bimbang sebagai satu komen yang bersifat "bongkak".
"Komen beliau itu menunjukkan bahawa Ahmad Zahid adalah seorang yang bongkak. Pembangkang mempunyai sebab mengapa mereka tidak mahu pilihan raya dibuat ketika musim tengkujuh yang mana banjir dijangka akan berlaku di beberapa lokasi di dalam negara.
"Selain itu, tempoh matang untuk diadakan PRU15 hanya akan tiba pada Julai tahun depan," kata Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
Menurut beliau, Ahmad Zahid juga berasa amat yakin bahawa UMNO boleh memenangi pilihan raya kerana menyangka pengundi Melayu telah kembali menyokong parti itu selepas beberapa siri kemenangan dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
"Akan tetapi, pilihan raya negeri di Johor dan Melaka itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk menilai sokongan orang Melayu kepada parti. Ini kerana pilihan raya Parlimen adalah sesuatu yang amat berbeza," tambah Mohar.
Seorang lagi penganalisis, James Chin pula berpandangan bahawa pembangkang memang berasa gusar untuk menghadapi pilihan raya awal selepas mengalami kekalahan di negeri Johor, Melaka dan Sarawak.
Akan tetapi, pengarah Institut Asia di Universiti Tasmania itu berkata Ahmad Zahid juga mahu kembali berkuasa supaya dapat mempengaruhi mahkamah dalam kes dihadapinya.
"Ya, ia adalah benar bahawa pembangkang takut untuk berdepan pilihan raya awal disebabkan apa yang berlaku di Johor, Melaka dan Sarawak. Akan tetapi, semua orang juga tahu bahawa dia (Zahid) bercakap mengenai perkara ini, dia juga sedang bercakap tentang skim untuk menyelamatkan dirinya," kata Chin kepada BenarNews.
"Ia amat jelas bahawa Zahid percaya sekiranya UMNO menang besar dan dapat membentuk kerajaan dengan sendiri, maka dia akan berada pada kedudukan yang mampu untuk mempengaruhi mahkamah. Jadi ramai orang tidak akan mengambil serius kata-katanya (mengenai pembangkang mahu lengahkan PRU15) kerana ia adalah untuk kepentingan diri sendiri."