Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Hukum Penyebar Berita Tidak Benar
2018.04.02
Kuala Lumpur
Dewan Rakyat Malaysia pada Isnin meluluskan rang undang-undang bagi menghukum individu yang menyebarkan maklumat tidak benar, walaupun pembangkang membantahnya dengan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak berhasrat menggunakan rang undang-undang itu untuk menutup mulut para pengkritiknya menjelang pilihan raya umum.
Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar diluluskan dengan 123 Ahli Parlimen menyokong termasuk 10 orang wakil parti pembangkang Islam (PAS) manakala 64 orang lagi menentang. Dewan Negara dijangka meluluskan rang undang-undang itu minggu ini sebelum ia mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan menjadi undang-undang.
Rang undang-undang itu memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 (US$129,412), penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.
Rang undang-undang itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai berita, maklumat, data dan laporan palsu, yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.
Apabila rang undang-undang itu diluluskan, Najib dijangka membubarkan Parlimen sebagai persediaan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-14 Malaysia, yang mungkin berlaku dalam beberapa minggu lagi.
Rang undang-undang itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk mengekang penyebaran berita tidak benar kerana ia adalah masalah global yang perlu dibendung, kata menteri Malaysia yang bertanggungjawab berhubung undang-undang, Azalina Othman.
Undang-undang itu bukanlah drakonian kerana mahkamah yang akan memutuskan jenis berita yang dianggap tidak benar, katanya.
"Kuasa akan diberikan kepada mahkamah untuk menghapuskan sebarang penghasilan berita tidak benar," katanya.
'Tidak perlu tergesa-gesa': Adik Najib
Terdahulu, ketua parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng berkata, rang undang-undang itu adalah satu bentuk pemerintahan diktator dan bertujuan memenjarakan pemimpin pembangkang jika mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Selain itu, adik lelaki Najib, Nazir Razak menyuarakan bantahannya terhadap langkah kerajaan meluluskan rang undang-undang itu dengan tergesa-gesa.
"Walaupun saya bencikan berita yang tidak benar, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar haruslah ditangguhkan. Ia mesti digubal dan dibahaskan secara komprehensif. Ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa, "kata Nazir dalam catatan Instagram.
Pengundian rang undang-undang itu pada Isnin dilakukan lima hari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dalam cara yang menyokong parti Najib dan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN), kata pengkritik. Peta baru kawasan pilihan raya dijangka berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14, yang mesti diadakan pada Ogos.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad akan memimpin pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, menentang Barisan Nasional yang diketuai Najib pada pilihan raya itu.
Jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya, Mahathir, 92, boleh menjadi Perdana Menteri sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim.
Anwar, yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah Mahathir sebelum mereka bertelingkah, dipenjarakan atas dakwaan liwat dan memerlukan pengampunan Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.
Pada Ahad, Anwar mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk usul kajian semula persempadan kawasan pilihan raya, dengan menganggapnya sebagai penentuan sempadan yang jelas melanggar berperlembagaan.
“Ia adalah pengakuan bahawa BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang sekiranya sempadan sedia ada digunakan,” katanya.
Anwar juga menyelar rang undang-undang berita tidak benar itu.
"Mereka mahu ia lulus bagi mengongkong dan menghalang orang ramai membincangkan skandal 1MDB, skandal rasuah lain dan pelbagai kesalahan kerajaan BN," katanya dengan merujuk kepada skandal yang melibatkan kerugian berbilion ringgit dalam dana pembangunan negara yang diasaskan Najib.
"Berita palsu atau berita tidak benar boleh ditangani dengan Akta Fitnah," katanya. "Bolehkah kita membiarkan pencuri yang mencuri berbilion-bilion wang awam memutuskan apa yang palsu?"