1MDB: Singapura Arah Falcon Bank Ditutup

Hata Wahari
2016.10.11
Kuala Lumpur
161011-my-singapore-dbs620.jpg Seorang lelaki berjalan di hadapan logo bank DBS di salah satu cawangan di Singapura, 17 Mac 2014.
AFP

Pihak Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa menarik balik lesen bank perdagangan Falcon Private Bank Ltd kerana kegagalannya mengawal pengubahan wang haram (AML) berkaitan dengan kes aliran dana syarikat pelaburan milik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut kenyataan pada Selasa.

Selain itu, pihak berkuasa berkenaan juga mengenakan denda terhadap dua lagi bank iaitu DBS Bank Ltd (DBS) dan UBS AG, yang masing-masing berjumlah S$1 juta dan S$1.3 juta selepas didapati melanggar Notis 626 MAS – Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Pengganasan.

Pihak berkuasa itu juga mengenakan denda kewangan sebanyak $4.3 juta ke atas Falcon Bank kerana 14 pelanggaran Notis 1014 MAS - Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Menentang Pembiayaan Pengganasan, kata kenyataan itu.

Pelanggaran notis oleh ketiga-tiga bank berkenaan termasuk kegagalan menilai dengan secukupnya penyelewengan akaun pelanggan, dan memfailkan laporan transaksi yang mencurigakan.

“Tindakan keatas kesemua bank itu adalah berikutan pemeriksaan penyeliaan ke atas aliran dana berkaitan 1MDB yang melalui ketiga-tiga bank dari Mac 2013 hingga Mei 2015,’’ kata kenyataan berkenaan.

MAS dalam kenyataannya itu turut memaklumkan bahawa penyiasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu adalah hasil kerjasama dengan beberapa badan pengawal kewangan luar negara terutama Pihak Berkuasa Kawalan Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA).

Tindakan MAS itu diambil sehari selepas dua bekas pegawai di BSI Singapura didakwa di mahkamah negara itu, juga di atas kesalahan berkaitan 1MDB.

Falcon, milik Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC), yang berpangkalan di Zurich menjadi bank kedua ditutup, selepas bank Switzerland BSI di Singapura pada Mei lalu, apabila Singapura mula menjalankan siasatan ke atas 1MDB berikutan pembekuan jutaan dollar dalam beberapa akaun bank berkenaan oleh pihak berkuasa Switzerland, menurut kenyataan itu.

Pada Mei, bank BSI Singapura, yang berpangkalan di Switzerland,* telah diarah supaya menutup operasinya kerana gagal mengawal aktiviti pengubahan wang yang berkait dengan 1MDB. Arahan itu merupakan pertama kali bagi Singapura dalam menutup sebuah bank bagi tempoh 32 tahun.

Sementara itu di Switzerland, FINMA dalam satu kenyataan pada Selasa mengarahkan Falcon untuk menyerahkan lebih  RM10.55 juta ($2.5 juta Franc Swiss) yang didakwa sebagai keuntungan haram dan juga mengenakan sekatan ke atas Falcon Private Bank Ltd selepas bank itu secara "serius melanggar" peraturan pengubahan wang haram berhubung pengendalian dana 1MDB itu.

Falcon juga dilarang mengadakan urusan perniagaan baru dengan mana-mana individu yang mempunyai kaitan politik selama tiga tahun, dan juga telah memulakan prosiding penguatkuasaan terhadap dua bekas eksekutif Falcon tanpa menamakan mereka, menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan MAS, Ravi Menon dalam satu kenyataan juga menegaskan bahawa tindakan penutupan itu adalah bagi menjaga reputasi Singapura sebagai sebuah pusat kewangan yang bebas dan dipercayai.

“Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan setiap institusi kewangan memainkan peranan penting dalam pelbagai hal dan perlu meletakkan mekanisme untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan, meningkatkan kesedaran tinggi dikalangan pekerja dan mematuhi pengurusan risiko, kata Ravi dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Falcon, Walter Berchtold dalam satu kenyataan memberitahu, bank tersebut telah mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan dalam usaha menyelesaikan kes yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

“Penarikan balik lesen bank perdagangan oleh MAS merupakan sesuatu yang amat mendukacitakan dan kami juga telah mengadakan perbincangan dengan pekerja-pekerja dan pelanggan untuk mencari penyelesaian yang baik untuk semua pihak dan memastikan operasi penutupan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,,’’ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Ketua Pegawai FINMA Mark Branson pula menegaskan, bahawa isu berkaitan dengan 1MDB merupakan kes rasuah yang terbesar dalam waktu terdekat ini, dan memberitahu bahawa sistem kewangan global telah disalahgunakan dalam kes rasuah ini.

“Dana bernilai berbilion-bilion telah berpindah dari bank pelbagai negara dan pusat kewangan di tiga benua dan sistem amaran telah diketepikan dalam kes ini.

“Sistem kewangan yang sihat serta kerjasama antarabangsa mahu memastikan bahawa semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,’’ kata Mark dalam kenyataan tersebut.

Menurut FINMA,* dalam tempoh siasatan antara 2012 dan 2015, badan itu telah mengenalpasti kelemahan serius dalam aktiviti pengubahan wang haram Falcon dan pengurusan risikonya.

“Aset berjumlah kira-kira US$3.8 billion telah dipindahkan ke akaun Falcon dan dikaitkan dengan kumpulan 1MDB dalan tempoh itu,” kata kenyataan itu.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang bagi merampas dan mendapatkan kembali  lebih AS$1 bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri.

Sebanyak 12 aduan rampasan sivil dikemukakan oleh Jabatan Keadilan itu yang tidak menamakan Najib tetapi mengaitkannya dengan skandal 1MDB. Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ini merupakan "konspirasi antarabangsa" untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi Amerika.

Usaha untuk merampas aset-aset itu adalah tindakan pertama oleh kerajaan AS berhubung dengan siasatan 1MDB bagi pengubahan wang haram yang melibatkan sekurang-kurangnya lima negara lain termasuk Singapura dan Switzerland.

Skandal itu membelenggui Najib sejak tahun lepas setelah Wall Street Journal (WSJ) melaporkan mengenainya pada Julai 2015 bahawa hampir $700 juta dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.