Pejuang Jihad Malaysia Terbunuh Di Iraq, Kata Pegawai
2015.12.05

Kemaskini pada 9.15 pagi, ET - 2015-12-06
Mohd Faris Anuar, seorang daripada dua rakyat Malaysia yang menggemparkan negara dengan muncul dalam rakaman video pemenggalan kepala seorang rakyat Syria pada Febuari lepas, telah terbunuh semasa bertempur sebagai pejuang kumpulan militan Negara Islam (IS) di Al-Anbar, Iraq, menurut maklumat yang diperolehi BeritaBenar.
Anak muda berusia 20 tahun berasal dari Kedah itu adalah rakyat Malaysia yang ke-14 terbunuh di negara bergolak itu, menurut seorang pegawai kanan anti keganasan Polis DiRaja Malaysia kepada BeritaBenar pada Sabtu.
“Ya benar… Mohd Faris Anuar terbunuh semasa bertempur di Al Anbar, Iraq, pada November 23. Kematian Mohd Faris itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terkorban di Syria dan Iraq kepada 14 orang,” kata pegawai itu semasa dihubungi dari Washington.
Menurut sumber perisikan, Mohd Faris menggunakan nama samaran Abu Qudamah Al Malizi dan Mujahid Malay di laman Facebook.
Pengumuman kematian Mohd Faris muncul dalam laman Facebook “Adam Harris” pada November 23 yang menyatakan bahawa “Abu Qudamah Al Malizi” telah syahid, dengan memuat naik gambar Mohd Faris yang sedang duduk di atas kerusi, bersebelahan dengan senjatanya yang berlatar belakang bendera kumpulan militan IS dalam akaun Facebooknya.
Gambar yang dimuat naik itu mendapat pelbagai reaksi dari kalangan rakan mereka.
Pada Mac lepas, pihak berkuasa Malaysia telah mengenal pasti dua rakyatnya yang dipercayai menyertai kumpulan militan IS terlibat dalam insiden memenggal kepala seorang rakyat Syria yang ditawan di kem tahanan Raqqa, Syria.
“Ini rakaman video pertama yang kita peroleh, menunjukkan kehadiran rakyat Malaysia di lokasi kejadian pemenggalan kepala, Kita sudah kenal pasti video itu dirakam seorang anggota IS Malaysia dikenali sebagai Mohd Faris Anuar yang berusia 20 tahun. Dia berasal dari Gurun, Kedah dan dipercayai pergi ke Syria pada 23 September 2014,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media di Kuala Lumpur pada 4 Mac lepas.
Video berdurasi 30 minit itu menunjukkan seorang lelaki warga Syria dipenggal kepalanya kerana didakwa menjadi pengintip kepada tentera Bashar al-Assad.
Turut berada dalam rakaman tersebut ialah rakannya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dari Durian Tunggal Melaka.
Muhammad Wanndy kemudiannya dipercayai memuat naik video tersebut menerusi akaun Facebook menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Februari lalu.
Kepala yang dipenggal itu diangkat oleh seorang lagi anggota kumpulan militan itu dipercayai dari Indonesia sambil melaungkan ‘Allahuakbar’ dengan Muhammad Wanndy bergambar dengan mayat tersebut manakala Mohd Faris merakamkan video berkenaan.
'Tangkapan terbaru'
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar berkata, empat warga asing termasuk seorang anggota Jabataan Sukarelawan Malaysia (RELA), adalah antara lima yang ditahan oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan.
Katanya, keempat-empat warga asing yang ditahan itu terdiri daripada seorang guru sambilan, seorang pelajar, juruteknik dan mekanik.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi khas yang diadakan selama 15 hari bermula 17 November lepas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.
Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu berkata "Guru sambilan Bahasa Inggeris warga Eropah berusia 44 tahun ditahan di Pulau Pinang kerana dipercayai menyertai kumpulan pengganas Al-Qaeda serta terbabit di dalam aktiviti keganasan di Afghanistan dan Bosnia,”
"Manakala seorang pelajar warga Afrika di Petaling Jaya, Selangor ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti keganasan. Kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk tujuan pengusiran,” katanya.
Khalid menambah, seorang warga Bangladesh, yang berusia 25, bekerja sebagai juruteknik turut ditahan kerana dipercayai merancang untuk berjihad serta menyertai kumpulan pengganas IS di Syria.
“Seorang lagi rakyat asing yang ditahan ialah warga Indonesia berusia 31 tahun yang dipercayai ketua sel ditahan di Johor. Suspek telah berbai'ah dengan Abu Bakar al-Baghdadi, pemimpin IS melalui Facebook pada pertengahan tahun lepas," katanya.
Khalid menambah, suspek juga disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai kumpulan IS di Syria dan beberapa kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara.
Katanya, seorang anggota Rela berusia 59 tahun turut ditahan di Kota Bharu, Kelantan disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan militan IS.
"Suspek itu yang juga bekerja sebagai tukang jahit disyaki bertanggungjawab merekrut dan mengatur anggota-anggota untuk terlibat dengan aktiviti keganasan di luar negara.
Ketiga-tiga mereka itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah bab VIA - Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Khalid menambah, suspek juga disyaki bertindak sebagai fasilitator bagi mengatur individu dari Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang berhasrat menyertai kumpulan IS di Syria dan beberapa kumpulan pengganas di rantau Asia Tenggara.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad pada Oktober lepas, seramai 128 individu yang dikaitkan dengan kegiatan ‘jihad’ di Iraq dan Syria telah ditahan mengikut undang-undang di Malaysia dan 69 rakyat Malaysia dilaporkan telah pergi ke Timur Tengah untuk menyertai IS.