Pembikin Filem Malaysia Jalinkan Kerjasama Lensa Terhadap Isu-isu Hak, Keadilan Sosial

Hadi Azmi
2017.09.22
Kuala Lumpur
170922-MY-festival-620.jpg Ahli jawatankuasa penganjur, hakim, penaja dan tetamu kehormat berada di pentas pada akhir Festival Filem Bebas Malaysia 2017, 9 Sept 2017.
[HadiAzmi/BeritaBenar]

Pembuat filem Malaysia telah beganding bahu di bawah sayap sebuah badan hak asasi manusia untuk memupuk kreativiti mereka dalam memberikan suara kepada isu-isu sosial, di tengah-tengah iklim perundangan dan penapisan yang dikaitkan dengan politik, dan dikatakan boleh mengekang kebebasan bersuara, kata mereka.

Tahun ini, Pusat Komas melancarkan Freedom Film Network (FFN), yang misinya adalah untuk melonjakkan lagi bakat pembikin filem sebagai pihak berkepentingan dalam proses pembangunan negara bangsa Malaysia dan berfungsi sebagai kumpulan sokongan rakan kolektif sementara mereka bersaing dalam industri itu yang didominasi media komersil dan arus perdana yang berkaitan dengan politik.

"Kami bekerjasama sebagai satu pasukan dan membentuk model di mana pembikinan filem sosial akan menjadi mampan, jadi, dengan tidak semua orang mempunyai wang untuk menghasilkan filem mereka sendiri, kami dapat membantu dan menghasilkan filem masing-masing," kata Anna Har, pembikin filem dan penyelaras program di Komas, memberitahu BeritaBenar.

"Adalah penting untuk mempertahankan ruang seperti ini di mana anda boleh bersuara secara bebas mengenai isu-isu hak asasi manusia dan isu-isu penting yang tidak boleh dikeluarkan dalam media arus perdana," katanya.

Di laman webnya, rangkaian itu menggambarkan dirinya sebagai badan yang tidak meraih untung yang ditubuhkan untuk "menyokong dan membangunkan pembikinan filem dokumentari sosial dalam konteks kebebasan bersuara dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat di Malaysia."

NGO induk itu, Komas, juga adalah penganjur Festival Filem Bebas tahunan Malaysia, yang dilancarkan NGO itu pada 2003 untuk menayangkan filem-filem yang menangani isu-isu keadilan sosial dan menggalakkan hak asasi manusia.

Awal bulan ini, Komas mengadakan festival itu, yang berlangsung selama lapan hari dan menarik kira-kira 6,000 penonton, di mana ia telah menayangkan 40 filem dari Malaysia dan negara-negara lain.

Festival tahun ini, yang berakhir pada 9 Sept, memaparkan beberapa penyertaan daripada FFN.

Antara lain, filem-filem yang dihasilkan FFN adalah "The Hills and The Sea," sebuah dokumentari mengenai perkembangan pesat yang berlaku di negeri Pulau Pinang dan kesan flora dan fauna di sana; "Selfie With The Prime Minister," sebuah filem mengenai penderitaan pelarian Rohingya di negara ini; dan "Saving Malaysia," yang berkisar tentang dasar-dasar yang melingkari pilihan raya umum ke-14.

Rangkaian pembikin filem itu sedang berusaha untuk menghasilkan dokumentari-dokumentari sedemikian walaupun kerajaan boleh melakukan penapisan filem.

Undang-undang penapisan negara ini memperuntukkan bahawa adalah  haram bagi orang untuk memiliki atau mengedarkan filem kecuali ia telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada Mac lalu, seorang aktivis hak asasi manusia, Lena Hendry, didenda RM10,000 (AS$2,381) kerana menayangkan “No Zone Fire: The Killing Fields of Sri Lanka," sebuah filem mengenai perang saudara Sri Lanka, yang belum diluluskan oleh Lembaga Penapisan itu.

Pada tahun ini juga, pihak berkuasa Malaysia menangguhkan tayangan filem Disney "Beauty and the Beast" kerana filem tersebut mengandungi kandungan yang berkaitan dengan LGBT. Tetapi Disney enggan tunduk kepada tuntutan kerajaan negara itu untuk memotong adegan watak gay, Le Fou, dan filem animasi itu akhirnya ditayangkan tanpa penapisan.

"KDN kerap menjalankan penguatkuasaan berdasarkan laporan daripada orang awam. Rakyat dinasihatkan supaya tahu tentang peraturan yang mengawal media di negara ini dan kami menggalakkan mereka untuk melaporkan sesuatu yang mencurigakan," kata pegawai di Lembaga Penapisan, yang berada di bawah KDN, kepada BeritaBenar.

Medium bagi keadilan sosial


Wolfgang Hrushke, pengarah negara bagi Yayasan Konrad Adenauer di Malaysia, memuji penganjuran festival filem itu, dan berkata bahawa ia berfungsi sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu-isu sosial.

"Dokumentari adalah media yang lebih berkuasa daripada laporan bercetak untuk menunjukkan kepada orang ramai tentang masalah sosial dan politik," katanya kepada BeritaBenar, sambil memberitahu bahawa isu-isu seperti itu sering diabaikan di Malaysia.

Beliau merujuk kepada isu-isu seperti peminggiran masyarakat pribumi, yang merupakan tema bersama dalam empat dokumentari dari Asia Tenggara yang ditayangkan pada festival itu iaitu "Abai" Malaysia; Indonesia "The Hope of Honey Hunter"; "The Bih Tree" Thailand; dan "Right to Learn," sebuah filem dari Filipina.

Pengarah "Abai," Syafie Dris, yang juga ahli komuniti Orang Asli Malaysia berkata, pembikinan filem merupakan alat penting untuk mengatasi maklumat salah mengenai penduduk itu.

"Di dalam filem saya, anda juga boleh melihat bagaimana pegawai kerajaan negeri berpangkat tinggi membuat andaian yang salah mengenai budaya Orang Asli. Dan ini adalah orang yang sering bertemu dengan Orang Asli. Bagaimana dengan orang yang tidak pernah bercakap dengan Orang Asli? "katanya kepada BeritaBenar.

Pengarah itu berikrar untuk terus menghasilkan karya berkaitan dengan pemindahan Orang Asli dari kampung halaman mereka di hutan tradisional semata-mata untuk memberi ruang kepada kepentingan pembalakan dan pembangunan tanah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.