Penguat kuasa pantau festival filem dikecam, aktivis anggap sebagai ugutan
2024.08.06
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 11.50 pagi waktu tempatan ETS - 2024-08-06
Aktivis hak sivil dan penganjur satu-satunya festival filem Malaysia membabitkan hak asasi manusia pada Selasa menyelar Kementerian Dalam Negeri yang didakwa cuba menakutkan mereka dan mengancam kebebasan bersuara.
Kementerian itu menghantar penguat kuasa sebanyak dua kali pada hujung minggu lalu untuk menonton filem ditayangkan pada festival selama tiga minggu itu, kata penganjur ketika pentadbiran Anwar Ibrahim telah dituduh menapis dan menyekat kritikan dengan menggunakan undang-undang lapuk.
Perkara itu berlaku tiga bulan selepas Putrajaya melancarkan garis panduan baharu untuk memastikan filem yang ditayangkan di negara tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, dengan garis panduan tersebut memberi tumpuan kepada tiga elemen utama - ketenteraman awam, agama serta moral dan perspektif sosiobudaya.
Penganjur Freedom Film Fest 2024, Anna Har berkata festival filem yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Jumaat lalu dihadiri oleh orang ramai yang mahu menonton filem tempatan dan luar negara menyentuh soal hak asasi manusia.
Katanya, pasukan penguat kuasa pertama dari Kementerian Dalam Negeri datang pada Sabtu dan menonton filem antara dua hingga tiga jam selain memeriksa peralatan penstriman penganjur meskipun diberitahu bahawa acara itu tidak memerlukan kelulusan daripada lembaga penapisan.
"Kami memberitahu mereka bahawa filem yang ditayangkan menggunakan kaedah penstriman dan ia tidak memerlukan kelulusan Lembaga Penapisan Filem kerana tidak menggunakan cakera padat untuk menayangkan filem-filem tersebut.
"Mereka menonton filem kami dan kemudian beredar. Kami fikir itu sahaja," kata Anna kepada BenarNews.
Bagaimanapun kata Anna, keesokannya, mereka menerima kunjungan satu lagi pasukan penguat kuasa KDN.
“Kami memberitahu mereka bahawa Putrajaya sudah datang melihat kemudahan penstriman kami semalam (Sabtu). Namun mereka mengatakan mahu menonton filem itu.
“Jadi, kami beritahu bahawa mereka bebas menonton filem tetapi berunding agar mereka menanggalkan jaket mereka yang kami fikir akan menakutkan penonton. Mereka bersetuju. Mereka kemudian pergi solat dan tidak kembali menonton filem itu,” kata Anna."Saya tidak nampak mengapa orang dewasa memerlukan 'pengasuh' seperti itu," katanya.
"Kenapa kali ini dikenakan pengawasan berganda oleh anggota penguatkuasaan?"
Festival filem yang berlangsung di PJ Live Art, Jaya One, Petaling Jaya, Selangor dari 3 hingga 24 Ogos itu menampilkan barisan filem yang memenangi anugerah termasuk dari Malaysia yang meneroka isu kemanusiaan dan sosial seperti Why Freedom; Semangat Tinak; Himpunan Haram?& Lapar untuk Kebebasan; Berbuka Sosial; Di Atas dan Di Bawah Tanah; Suara Muncul; Fatima, Pekerja Seks Menganjurkan Perubahan serta Perang dan Keadilan.
“Komuniti filem Malaysia memerlukan ruang untuk kreativiti mereka. Orang ramai dapat mengawal diri mereka sendiri. [Filem] Ia mengenai isu hak asasi manusia. Kami tidak mengesyorkan mereka yang berumur di bawah 18 tahun,” kata Anna kepada BenarNews.
Salah seorang peserta, CK Tan yang telah menghadiri festival filem itu sejak 2018 berkata kehadiran penguat kuasa menyebabkan orang ramai berasa tidak selesa setelah pihak penganjur berbincang dengan peserta bagi mengetahui pendapat mereka tentang perkara itu.
"Kehadiran penguat kuasa [sepanjang hujung minggu lalu] kelihatan seperti menakutkan."
BenarNews telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan komen mengenai perkara itu namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.
Kerajaan juga dikritik di media sosial kerana menghantar pihak berkuasa untuk memantau festival filem itu.
Kebebasan berkarya
Aktivis hak asasi manusia Firdaus Husni yang menjadi moderator forum hak asasi manusia pada festival itu berkongsi pemikirannya di X berkata;
“Jika kerajaan Madani serius tentang pembaharuan, mengapa kita masih menggunakan taktik ugutan seperti ini?”
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam soal kreativiti, penjanaan idea dan nilai dalam seni tempatan.
Jelasnya kerajaan akan terus menyokong prinsip kebebasan bersuara melalui karya seni yang mesti digalakkan.
Anwar berkata demikian selepas beliau menonton filem "Sheriff Narko Integriti" terbitan tempatan dengan tema utamanya berkaitan integriti, rasuah dan salah guna kuasa.
Ivy Josiah, aktivis dan pengasas Women's Aid Organisation (WAO) berkata beliau menghadiri festival filem itu pada petang Ahad dengan menonton filem tentang seorang ibu warga Palestin yang merakamkan keadaan anak-anak ketika diserang.
"Saya tertarik dengan cara wanita itu melakukannya. Mereka adalah orang Kristian Palestin.
"Namun kehadiran pihak penguat kuasa mengembalikan mimpi ngeri tentang Ops Lalang dan operasi lain sepanjang 30 tahun saya menjadi aktivis. Ia mengimbau semula situasi itu. Rasa seperti kami hidup dalam negara polis.
"Saya hanya berasa terkilan dan kecewa kerana ini adalah kerajaan reformasi yang saya juga menjadi sebahagian daripadanya untuk memastikan kita bebas daripada menjadi negara polis.
"Saya tertanya-tanya. Acara itu sepatutnya menayangkan filem mengenai hak asasi manusia untuk mendidik orang ramai dan menyuarakan hak mereka. Jadi apa yang pihak berkuasa pantau?"
Pengarah dan penerbit filem Pendatang, Amir Muhammad berkata pihak berkuasa Malaysia perlu memastikan festival filem dikecualikan daripada penapisan.
Pembuat filem bebas, Mahi Ramakrishnan pula berkata kehadiran anggota penguat kuasa boleh dilihat sebagai satu tindakan ugutan dan gangguan.
"Ia adalah taktik menakutkan selain untuk memastikan pembikin filem mengikut garis panduan dan tidak terlibat dengan kandungan yang dianggap sensitif atau memecah belah.
"Namun apakah kayu pengukur yang digunakan untuk membuat penilaian? Pada pendapat saya, apa sahaja yang mempersoalkan kerajaan dilihat sebagai tidak boleh diterima," katanya kepada BenarNews.
Beliau berharap kehadiran pihak berkuasa tidak bertujuan untuk menghalang kreativiti para pembuat filem.
Tambahnya orang ramai perlu diberi ruang untuk berfikir dan memulakan perbincangan bagi mewujudkan wacana yang rancak.
Pada Mei lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail melancarkan garis panduan baharu penapisan filem yang mana Pertubuhan Perfileman Sosial Malaysia menganggap Akta Penapisan Filem 2002 adalah terlalu menyekat dan digunakan untuk menjadikan tayangan bukan berasaskan keuntungan oleh organisasi masyarakat sivil sebagai perbuatan jenayah.
Terbaru, siasatan dan denda telah dikenakan ke atas sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Johor Yellow Flame kerana merancang menayangkan filem Hong Kong She's in Jail (2024), sebuah dokomentari tentang aktivis pro-demokrasi Hong Kong di Kulai, Johor pada Mac lalu.
Tayangan filem itu telah dibatalkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 30 Mac lalu hingga mengakibatkan penahanan pihak penganjur, Lee Chen Kang dan didenda RM2,500 (AS$561).
Ini kerana filem itu dilaporkan tidak mendapat mendapat kelulusan tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem.
Tahun lalu, Putrajaya mengharamkan filem Mentega Terbang terbitan tempatan daripada ditayangkan di Malaysia dengan alasan bahawa ia mempromosikan murtad dan liberalisme selain menjejaskan ketenteraman awam.