Filem isu ketegangan kaum Malaysia, dibiayai awam dapat sambutan ramai
2023.12.29
Kuala Lumpur
Filem hasil pendanaan awam pertama di Malaysia “Pendatang” yang berkisar isu ketegangan etnik dalam negara berbilang bangsa telah menarik lebih dari setengah juta penonton dalam masa enam hari selain mendapat pujian ramai kerana menyentuh isu sensitif dalam bentuk yang menginspirasikan.
Tayangan “Pendatang” berdurasi sejam 38 minit di platform YouTube, bermula 21 Disember sepertimana yang dirancang sekaligus menunjukkan filem tersebut membicarakan subjek yang sering disembunyikan oleh rakyat Malaysia dan berjaya melepasi tapisan perfileman.
Pendatang yang juga membawa maksud orang asing atau orang luar, memberi perhatian kepada realiti andaian di mana komuniti Melayu, Cina dan India hidup secara terpisah di Malaysia dan seorang individu boleh dihukum penjara sehingga 25 tahun di bawah Akta Pemisahan jika disabitkan kesalahan bergaul dengan kaum lain.
Filem berbahasa Kantonis yang mempunyai genre ‘thriller’ distopia arahan Ng Ken Kin dan terbitan Kuman Pictures bertumpu kepada satu keluarga Cina di Malaysia yang dihukum dan berpindah ke sebuah rumah Melayu lama yang diperbuat daripada kayu atas kesalahan lalulintas yang kecil.
Dunia mereka berubah apabila keluarga Wong menemui seorang kanak-kanak perempuan Melayu di rumah baharu mereka.
Si bapa berniat untuk menyerahkan kanak-kanak itu kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan hukuman 25 tahun penjara namun beliau khuatir tindakan itu akan menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut.
Keluarga tersebut akhirnya memutuskan untuk membantu menghantar kanak-kanak itu ke kawasan penempatan Melayu.
Dari permulaan jalan cerita filem berkenaan diselitkan dengan babak yang mengandungi kawat duri dan kawalan bersenjata, sebuah mimpi ngeri bagi setiap rakyat Malaysia, yang mana secara tidak langsung memberi gambaran kepada penonton akan senario yang mungkin terjadi di negara itu di masa hadapan sekiranya isu perkauman tidak ditangani dengan baik.
Penerbit Kuman Pictures Amir Muhammad menjelaskan perkataan "pendatang" merujuk kepada komuniti berbeza dalam Malaysia yang menganggap satu sama lain sebagai orang asing atau orang luar.
"Rakyat Malaysia berbicara tentang isu perkauman dalam kelompok masing-masing dan kita tidak berkongsi kisah kita dengan satu sama lain,” kata Amir kepada BenarNews.
Beliau berharap agar filem tersebut dapat mencetuskan lebih banyak perbualan secara matang mengenai isu yang dianggap sensitif memandangkan setiap komuniti merasakan bahawa mereka menjadi mangsa di negara sendiri.
"Pendatang adalah cerita mengenai seorang rakan yang anda belum pernah jumpa,” kata beliau sambil merujuk kepada komuniti di Malaysia yang tidak bergaul dengan kumpulan etnik lain.
Lim Boon Siang, penulis skrip pula berkata thriller distopia itu mengisahkan tentang sebuah keluarga Cina yang berdepan dengan dilema moral dalam menentukan langkah seterusnya apabila mereka menemui “pendatang”, seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Melayu di rumah baharu mereka.
"Malaysia kini berada pada tahap di mana setiap kaum merasa seperti ditindas di negara sendiri. Namun, kebanyakan kita berpura-pura seolah-olah semuanya baik belaka dengan cara hidup hanya di bawah tempurung kita sendiri.
“Halangan sebegini dan tembok-tembok ghaib antara kaum telah menjadi inspirasi kepada cerita ini,” jelas Lim.
Menyentuh tentang impak filem itu kepada penonton, Lim berharap rakyat Malaysia tidak memandang enteng isu perkauman ini dengan cara hidup dalam kelompok mereka semata-mata.
Beliau turut menyuarakan harapan agar filem itu dapat menjadi dorongan kepada masyarakat dalam menjalinkan hubungan antara satu sama lain dengan penuh hormat dan belas ihsan, katanya dalam satu temuramah bersama Kuman Pictures di saluran Youtube.
Sementara itu, pengarahnya Ng Ken Kin memberitahu BenarNews bahawa tujuan filem tersebut dihasilkan bukanlah untuk menyemarakkan kontroversi sebaliknya untuk mendalami kerumitan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat berbilang bangsa.
"Kami berharap penonton dapat menerimanya walaupun terdapat perbezaan antara kita dengan melihat perbezaan itu sebagai satu kekuatan dan bukan sebaliknya.”
Foto Amir Muhammad, penerbit filem Pendatang yang disiarkan di laman media sosial Facebook Kuman Pictures pada 18 Disember 2023.
Tayangan di sekolah
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Kamil Othman berkata filem itu sepatutnya ditayangkan di sekolah.
Menurut beliau, ianya dapat mencetuskan perbincangan bermakna yang mungkin berjaya mematahkan segala persepsi dan prasangka yang tertanam dalam diri masing-masing.
"Seharusnya Pendatang ditayangkan di sekolah bagi menggalakkan perbincangan selain meleraikan persepsi dan prasangka yang berakar umbi.
“Langkah kecil menuju ke destinasi yang diharapkan,” kata Kamil dalam akaun X beliau.
Walaubagaimanapun, pengguna X “tontonfilem” menyoal Kamil sekiranya Lembaga Penapis Filem akan meluluskan filem tersebut, yang mana Kamil menjawab beliau tidak boleh bercakap bagi pihak lembaga tersebut tetapi jika “dilihat kepada filem itu secara objektif, mungkin ianya dibolehkan.”
Seorang lagi pengguna X dengan nama @amerekun berpendapat adalah lebih baik sekiranya filem tersebut ditayangkan di universiti berbanding sekolah rendah dan menengah memandangkan “ibu bapa yang konservatif mungkin akan melihat filem itu sebagai sebuah propaganda”.
Pengguna X @saat879337 bagimanapun tidak bersetuju Pendatang ditayangkan di sekolah. “Sekolah?Tidak sesuai. Terlalu muda.”
Kuman Pictures, sebuah rumah produksi yang menghasilkan Pendatang berkata kenyataan Kamil mengenai kewajaran filem itu ditayangkan di sekolah dilihat sebagai pendapat peribadinya.
Ia menambah bahawa Pendatang akan terus disiarkan secara percuma di YouTube.
"Kami anggap kenyataan itu sekadar pendapat peribadi. Tidak mencerminkan pendirian Finas dan kami akan terus tayang dengan cara yang dibuat sekarang,” menurut Kuman Pictures dalam akaun media sosial X nya.
Dana awam
Bajet pembikinan filem ini dibuat melalui kutipan pendanaan awam di Indiegogo bermula dari Ogos hingga Oktober lalu, dengan sasaran AS$ 70,700,800 (RM326,174) namun ianya melepasi sasaran mereka sebanyak AS$91,094 (RM419,828) dengan 564 penyumbang.
Di media sosial, rata-rata pengguna dilihat memuji filem tersebut dengan menyatakan sudah tiba masanya mesej yang disampaikan melalui filem itu diserap oleh penonton.
Pengguna X @zymasri berkata “Pendatang sangat tidak menyenangkan tetapi kita perlukan lebih banyak cerita yang mempunyai maksud mendalam sebegini.”
Syahid Johan, seorang penerbit filem bebas berpengalaman berkata "Pendatang" telah menggambarkan dengan tepat taktik pemisahan yang digunakan oleh ahli politik yang memisahkan kaum berlainan dalam Malaysia.
"Ia menunjukkan keadaan kita sebagai sebuah negara. Ia menggambarkan apa yang telah kita biarkan para ahli politik lakukan ke atas kita sejak sekian lama dan apa yang mungkin berlaku sekiranya kita terus membiarkan mereka memisahkan kita.
“Ini adalah ‘wake up call’ untuk kita,” kata Syahid kepada BenarNews.
Tambah Syahid, filem itu telah diterima baik oleh majoriti warga Malaysia ekoran mesej yang halus, dengan banyak penggunaan metafora digunakan untuk menyampaikan mesej mengenai “perasaan kurang selesa yang boleh kita rasakan antara satu sama lain
Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.