Bangladesh Gesa Boikot Perancis Manakala Malaysia, Indonesia Kutuk Islamofobia

Jesmin Papri, Ray Sherman & Ahmad Syamsudin
Dhaka, Kuala Lumpur & Jakarta
2020-10-27
Share
201027_BD-France-protest_1000.jpg Polis menyekat perarakan aktivis dan penyokong Islami Andolon Bangladesh ketika mereka berarak menuju Kedutaan Perancis di Dhaka, 27 Oktober 2020.
[Focus Bangla]

Hampir 10,000 orang berarak di ibu kota Bangladesh pada Selasa bagi menggesa tindakan memboikot barangan Perancis, manakala Malaysia dan Indonesia mengutuk Islamofobia di tengah-tengah meningkatnya kemarahan umat Islam seluruh dunia terhadap pemimpin Perancis kerana mempertahankan penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Presiden Emmanuel Macron menghadapi serangan balas susulan penegasannya pada minggu lalu bahawa Perancis "tidak akan berhenti menyiarkan kartun" semasa berucap pada satu majlis bagi memberi penghormatan kepada seorang guru Perancis yang dipenggal kepalanya awal bulan ini kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya.

Ramai umat Islam melihat gambaran visual mengenai Nabi Muhammad sebagai perbuatan yang menyinggung perasaan. Pada  Selasa, para penunjuk perasaan di Dhaka menyatakan bahawa penyiaran kartun itu membangkitkan kemarahan ramai manakala  Malaysia, tanpa merujuk kepada Perancis, mengutuk tindakan yang mencemarkan Islam seperti penerbitan gambaran Nabi Muhammad. Perbuatan Macron yang mempertahankan penyiaran kartun itu jelas menghina Islam, kata Indonesia.

"Penerbitan kartun nabi di Perancis, di bawah naungan negara itu, meruntun jiwa Islam di seluruh dunia. Perancis perlu diberi pengajaran dengan memboikot produknya di seluruh dunia," kata Mufti Syed Rezaul Karim, presiden Islami Andolon Bangladesh, semasa berucap dalam satu perarakan anjuran parti politik berasaskan agama itu, yang menggesa pelaksanaan pemerintahan berasaskan Syariah di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Samuel Paty, guru Perancis yang dipenggal kepalanya di pinggir kota Paris pada 16 Oktober, telah menunjukkan beberapa kartun Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya.  Penerbitan kartun sama pada 2015 telah menyebabkan serangan ekstremis Islam yang membunuh 12 orang di dalam dan sekitar ibu pejabat majalah satira Perancis itu.

Minggu lalu, potret dan kartun Paty dipaparkan di beberapa bangunan di dua bandar Perancis sebagai tanda penghormatan kepada guru itu.

Syed Rezaul turut mendesak kerajaan Bangladesh supaya meluluskan resolusi yang mengecam Perancis kerana membenarkan penerbitan karikatur Nabi Muhammad. Beliau juga menuntut Dhaka supaya memutuskan hubungan diplomatik dengan Paris.

BeritaBenar menghubungi Menteri Luar Bangladesh A.K. Abdul Momen bagi mendapatkan maklum balasnya namun beliau enggan mengulas mengenai tunjuk perasaan itu tetapi meminta semua supaya pihak bertenang.

"Kami berharap tidak ada siapa yang akan menyakiti agama orang lain. Semua orang perlu bersabar dalam hal ini, ”kata A.K. Abdul kepada BeritaBenar.

Kedutaan Perancis di Dhaka enggan mengulas mengenai tunjuk perasaan tersebut.

Md. Shamsul Alam, ketua Jabatan Pengajian Islam di Universiti Dhaka, memberitahu BeritaBenar bahawa Perancis perlu dikecam tetapi ia perlu dilakukan secara aman.

“Bangladesh harus mengutuk tindakan Perancis itu. Kami tidak bertolak ansur dengan siapa yang menghina utusan Allah,” kata Alam kepada BeritaBenar.

"Tetapi, kita harus membantah secara sistematik dan aman. Hakikatnya Islam adalah agama yang mengunjurkan keamanan juga perlulah dibuktikan dalam sebarang tunjuk perasaan, ”katanya.

"Gesaan boikot itu adalah satu program secara aman. Tetapi, perbuatan  mengepung kedutaan atau memutuskan hubungan diplomatik secara tiba-tiba bukanlah caranya kerana Perancis adalah anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan Bangladesh. "

Malaysia: ‘Provokatif dan tidak menghormati Islam’


Sementara itu, Malaysia pada Selasa menyatakan bahawa ia "amat bimbang" dengan apa yang dipercayainya sebagai tindakan penentangan yang semakin meningkat dan terbuka terhadap umat Islam atas nama kebebasan bersuara.

“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara sebagai hak asasi asas selagi hak itu dilakukan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab serta tidak melanggar hak pihak lain,” kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan.

“Dalam konteks ini, untuk mencemarkan dan memburukkan Nabi Muhammad SAW dan mengaitkan Islam dengan keganasan adalah jauh melangkaui skop hak sedemikian. Tindakan seperti itu adalah provokatif dan tidak menghormati Islam dan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.”

Kenyataan itu tidak menyebut langsung mengenai Perancis tetapi seorang pembantu menteri memberitahu BeritaBenar bahawa menteri itu merujuk kepada perkembangan semasa yang berlaku di Perancis.

Pada Rabu, Macron menyatakan bahawa guru Perancis berusia 47 tahun itu, yang dibunuh oleh remaja lelaki berketurunan Chechnya berusia 18 tahun yang dianggapnya sebagai "pengecut", mewakili nilai-nilai sekular dan demokratik Republik Perancis.

"Samuel Paty menjadi ... wajah Republik, kehendak kami untuk menghancurkan pengganas, untuk mengurangkan umat Islam, untuk hidup sebagai komuniti warganegara yang bebas di negara kami," kata Macron pada majlis yang diadakan di Sorbonne University di Paris bagi memberi penghormatan kepada Paty, mengikut satu transkrip.

Pada majlis itu, Paty juga dianugerahkan anugerah tertinggi Perancis, Légion d'Honneur.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan Malaysia, pada Selasa menghantar memorandum membantah Islamofobia kepada Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur.

Pada sidang media di hadapan Kedutaan Perancis, naib presiden parti itu, Idris Ahmad, berkata memorandum itu mendesak Perancis supaya menarik balik penghormatan yang diberikan kepada Paty, menggantung lesen penerbitan Charlie Hebdo, dan mengharamkan majalah itu "kerana menghina" Nabi Muhammad.

“Orang yang beradab dan mempunyai nilai moral tidak akan pernah boleh menerima penghinaan terhadap mana-mana agama apa pun. Apa yang berlaku di Perancis adalah amat memalukan. Adalah tidak wajar bagi negara yang sangat maju untuk bersikap sedemikian,”kata Idris.

Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang Malaysia, juga mengkritik Macron.

"Kebebasan membawa bersama tanggungjawab, rasa tanggungjawab yang nampaknya langsung tiada daripada ucapan yang dilontarkan oleh Tuan Presiden," katanya.

Tetapi Anwar, pada masa yang sama, mengkritik umat Islam yang memuji pembunuhan guru sekolah Perancis itu.

"Tiada pembelaan harus diberikan kepada keganasan dan pembunuhan manusia, raksasa menyesatkan yang memesongkan Islam," katanya. "[Saya] bersimpati dengan kematian Encik Samuel Paty seperti mana mangsa korban yang lain."


Naib Presiden PAS, Idris Ahmad bercakap kepada media di hadapan Integra Tower di Kuala Lumpur, yang menempatkan Kedutaan Perancis, 27 Oktober 2020. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Duta Perancis dipanggil

Di Jakarta, Kementerian Luar Indonesia memanggil Duta Besar Perancis Olivier Chambard bagi menyuarakan rasa bimbangnya mengenai situasi di Perancis, kata jurucakap Teuku Faizasyah kepada BeritaBenar.

"Kami menyampaikan kecaman kami terhadap ucapan presiden Perancis yang menghina Islam," kata Teuku.

Macron mendorong perbuatan Islamofobia dengan membiarkan kartun Nabi Muhammad diterbitkan, kata Muhyiddin Junaidi, wakil ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), pada Isnin.

"MUI percaya bahawa Macron secara tidak langsung menyokong gerakan Islamofobia," kata Muhyiddin, menurut laporan agensi berita Antara News.

Partai Keadilan Sejahtera (PKS) turut mengecam "serangan" Macron terhadap Islam dan masyarakat Muslim.

"Kami mendesak Kementerian Luar supaya memperingatkan pihak berkuasa Perancis supaya tidak terlibat dalam retorik Islamofobia dan anti-Muslim demi merayu kepada mereka yang anti-Islam," kata Toriq Hidayat, pemimpin PKS, dalam kenyataan di laman web parti itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut <a href='/english/about/terms-of-use'>Syarat Penggunaan BeritaBenar</a>. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.