Malaysia Siasat Kebocoran Terbaru Data Peribadi Penderma Organ
2018.01.24
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia melancarkan siasatan berikutan berlakunya kebocoran data peribadi lebih 220,000 penderma organ dalam talian, kata Ketua Polis Negara pada Rabu.
Mohamad Fuzi Harun berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial kini sedang menyiasat mengenai kebocoran data yang didedahkan dan disiarkan di laman web Lowyat.net, laman web yang sama yang membuat pendedahan mengenai kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia tahun lepas.
“Yang kita hairan ia keluar di laman web yang sama Lowyat.net, dan isu yang sama berlaku sebelum ini… ini merupakan satu perkara yang kita rasa agak pelik. Kita juga merasakan, ada kemungkinan sumber sama yang telah menyebarkan maklumat kepada laman web berkenaan,” kata ketua polis negara itu di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sehubungan itu, Mohamad Fuzi berkata polis akan memanggil pengendali laman web berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berikutan pendedahan kebocoran data terbaru itu.
Pada Selasa, laman web Lowyat.net mendedahkan mengenai kebocoran data peribadi membabitkan 220,000 penderma organ warga Malaysia yang berdaftar dengan hospital kerajaan dan pusat pemindahan organ.
Maklumat sulit seperti kad pengenalan, nama penuh, nama saudara terdekat penderma, hubungan, nombor telefon, alamat, bangsa, jantina dan organ yang akan disumbangkan bertarikh 1997 hingga 2016 itu dikatakan telah difailkan secara online dan boleh didapati melalui laman web berkenaan.
Kebocoran itu turut mendedahkan data pasangan penderma atau waris menyebabkan jumlah keseluruhan sebanyak 440 ribu data peribadi didakwa terdedah sejak September tahun lepas.
Pada 30 Oktober lepas, Mohamad Fuzi telah mengesahkan yang pihak berkuasa negara itu sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi kira-kira 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di Malaysia.
Kebocoran data itu melibatkan nombor telefon mudah alih, nombor kad pengenalan, alamat rumah dan data kad SIM dan sebuah laman web, Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung pencurian data berkaitan untuk dijual secara besar-besaran, iaitu melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.
Lowyat.net pada masa itu berkata individu yang cuba menjual data peribadi berjuta rakyat Malaysia itu, cuba untuk membuat keuntungan dengan cepat.
Antara syarikat perkhidmatan telefon mudah alih terbesar di Malaysia yang terjejas adalah Maxis, Kumpulan Celcom Axiata dan DiGi.
Sementara itu, pada 17 November lepas, Mohamad Fuzi dilaporkan oleh media tempatan sebagai berkata, kebocoran itu dipercayai berlaku semasa proses transaksi penukaran data oleh pihak yang mengambil kesempatan, dan suspek yang dipercayai membocorkan maklumat tersebut tidak boleh didedahkan.
Pihak berkuasa Malaysia itu juga telah mengenalpasti dan menjejaki tiga alamat protokol internet [IP] yang menjadi sumber kebocoran maklumat data peribadi pelanggan syarikat komunikasi itu yang datangnya dari Oman, Belanda dan Hong Kong.
Sementara itu, Ketua Pengarah Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi Malaysia, Khalidah Mohd Darus berkata mereka mengambil kes kebocoran terbaru yang berlaku itu dengan sangat serius.
Akhbar tempatan The Sundaily melaporkan Khalidah sebagai berkata, suruhanjaya berkenaan mengambil perhatian serius mengenai kebocoran itu dan telah memulakan siasatan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.