Aktiviti Kemasyarakatan Berjaya Pulihkan Bekas Militan
2016.01.26
Malaysia pada Selasa membentangkan modul pemulihan tahanan militan yang sedang dijalankannya di persidangangan antarabangsa deradikalisasi dengan turut memberitahu bahawa negara berkenaan berdepan dengan dua cabaran besar selepas memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia Fuzi Harun berkata, tiga modul pemulihan yang diguna pakai ialah penglibatan masyarakat yang meluas, kekerapan mengadakan program pemulihan dan program integrasi semula bekas ahli kumpulan militan.
“Program aktiviti kemasyarakatan yang menyeluruh mampu membantu bekas tahanan militan untuk meninggalkan aktiviti ganas dan kembali ke pangkuan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya selepas membentangkan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Ektremis Ganas di ibunegara Kuala Lumpur.
Persidangan dua hari itu dihadiri lebih 19 buah negara dalam mencari objektif serta meningkatkan kerjasamaa dalam program deradikalisasi di antara agensi-agensi keselamatan di seluruh dunia.
Fuzi berkata, dua cabaran utama yang dihadapi negara selepas pemansuhan ISA ialah memformulasikan program pemulihan yang baru mengikut keadaan semasa dalam era kebangkitan kumpulan militan Negara Islam (IS) serta memerangi perang ideologi.
Pada tahun 2009, Malaysia telah membubarkan undang- undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah diguna pakai sejak zaman penjajah British pada 1948.
Bagaimanapun, katanya, negara itu mengambil pendekatan dengan bergabung tenaga yang melibatkan tiga agensi kerajaan iaitu PDRM, Jabatan Penjara Malaysia (Penjara) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM ) dalam mewujudkan modul baru untuk memulihkan bekas militan di negara itu.
Katanya, strategi baru itu ternyata berkesan kerana negara berkenaan mempunyai angka pencapaian baik dalam mengembalikan tahanan kepada masyarakat; mereka kini memulakan hidup baru dengan bekerja sebagai ahli perniagaan dan profesional
“Melalui modul itu, bekas militan terpanggil untuk kembali semula kepada masyarakat dan melupakan niat kejam mereka sebelum ini,” tambah Fuzi.
Katanya, konsep pemulihan militan bukan isu baru. Ia telah dijalankan oleh negara itu sejak ia diancam komunis berpuluh tahun lalu dan kaedah yang sama juga diguna pakai sehingga negara berkenaan berdepan dengan ancaman kumpulan-kumpulan pengganas seperti Jemaah Islamiah, Daulah Islamiah sekitar tahun 90-an, Al-Qaeda dan yang terbaru IS.
"Malaysia sendiri mempunyai pengalaman dalam menjalankan program pemulihan yang disediakan oleh Akta Keselamatan Dalam Negara dengan perubahan seperti, menekankan beberapa aspek keagamaan termasuk Jihad, Tauhid, Akidah, Usul Fiqh dan Syariah," tambah Fuzi.
'Pantau'
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed ketika ditemui BeritaBenar berkata, bekas tahanan akan terus dipantau walaupun telah menjalani kehidupan biasa.
“Memang susah bagi sesebuah organisasi menerima semula mereka untuk kembali bekerja tetapi kita akan cuba membantu mereka untuk terus pulih dan kembali semula menjalani kehidupan normal," katanya.
Sementara itu, JAKIM juga memaklumkan bahawa jabatan itu telah melaksanakan kempen sistematik untuk memerangi kumpulan pengganas melalui media, ceramah umum di masjid dan pejabat serta melalui khutbah Jumaat.
Penolong Pengarah JAKIM Norliah Sajuri berkata, antara langkah pencegahan yang digunakan adalah memperbetulkan akidah bekas militan dengan menekankan maksud Jihad yang sebenar.
“Mengeluarkan fatwa atau undang-undang Islam berkenaan IS serta berdakwah menjadi komponen utama polisi kami untuk memerangi keganasan dan JAKIM mengambil pendekatan seimbang apabila berdepan dengan golongan profesional Islam yang terlibat dalam aktiviti keganasan,” tambah Norliah.
Manakala Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Jamaluddin Saad pula berkata, jabatannya memberi penekanan dalam membekalkan bekas militan dengan makna permulaan hidup baru dan menubuhkan rangkaian sosial yang membawa mereka jauh daripada ektremisme dan radikal.
Jamaluddin berkata, pemulihan itu melibatkan gabungan program pemulihan yang berbeza seperti pembelajaran semula agama, hubungan kekeluargaan, tanggungjawab sosial dan latihan vokasional.
Dalam pada itu, semasa sesi soal jawab, Fuzi nampak jengkel ketika menjawab soalan daripada seorang speaker bernama R. Sidney Jones, Pengasas dan Pengarah Institut Polisi Analisa Konflik Indonesia, yang ingin tahu secara mendalam operasi sulit yang dijalankan oleh PDRM untuk mengenal pasti anggota militan.
Ketika ditemui BeritaBenar selepas sesi itu, Fuzi berkata soalan yang diajukan oleh Sidney adalah mengenai operasi dan maklumat yang sememangnya sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum.
"Saya bukan bersikap negatif. Saya sangat profesional dalam menangani isu ini tetapi perkara-perkara yang melibatkan operasi [sulit] ini tidak wajar ditanya kerana ini urusan [keselamatan] dalam negeri,” katanya.
Sidney juga bertanya Fuzi bagaimana PDRM mampu memantau setiap individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan di Malaysia.