Kumpulan Pemikir AS: Pengawal Pantai China Ganggu Operasi Minyak, Gas Malaysia Di Luar Pesisir Sarawak
2021.07.08
Kuala Lumpur & Washington
Sejak awal Jun, kapal-kapal pengawal pantai China memberi tekanan dan mengganggu projek baru minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan yang terletak di luar pesisir negeri Sarawak di Pulau Borneo, menurut kumpulan pemikir di Amerika Syarikat (AS) dalam laporan yang dikeluarkan minggu ini.
Sementara itu, syarikat minyak milik kerajaan Malaysia, Petronas, yang menjalankan operasi luar pesisir, pada Rabu mengumumkan bahawa ia menandatangani perjanjian 10 tahun bernilai AS$7 bilion untuk membekalkan gas asli cecair kepada subsidiari China National Offshore Oil Corp.
Pada hari yang sama, Inisiatif Ketelusan Maritim Asia mengeluarkan laporan yang mendakwa bahawa kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) "bersaing" dalam pembangunan baru minyak dan gas Malaysia di perairan laur pesisir Sarawak.
"Sekurang-kurangnya ini adalah kali yang ketiga sejak musim bunga lalu di mana CCG mengganggu eksplorasi tenaga Malaysia," kata AMTI, yang merupakan subsidiari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpusat di Washington, dalam laporannya yang bertajuk "Persaingan di Kasawari: Satu Lagi Projek Gas Malaysia Hadapi Tekanan."
"Ini sekali lagi menunjukkan usaha berterusan Beijing dalam mencabar aktiviti minyak dan gas negara-negara jirannya dalam zon ekonomi eksklusif mereka sendiri. Dan rondaan udara, yang mungkin bukan secara kebetulan, menunjukkan kesediaan Beijing untuk melakukan peningkatan bagi menekan negara-negara yang turut menuntut supaya menarik diri,” menurut laporan itu.
Greg Poling, felow kanan bagi Asia Tenggara di CSIS, berkata beliau menjangka kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan bagi melindungi hak-hak Malaysia di Laut China Selatan. Beijing mendakwa hampir semua laluan laut itu miliknya.
"Mereka melakukannya secara terang-terangan," katanya kepada BenarNews.
China dan Malaysia adalah antara enam negara Asia yang mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan. Beijing mendakwa hampir kesemua laluan laut itu miliknya.
Dalam satu kenyataan media bagi mengumumkan urus niaga baru itu, Petronas menyatakan bahawa ia akan meningkatkan lagi hubungan lebih sedekad dengan syarikat milik kerajaan China itu.
"Urus niaga ini juga memperkukuh hubungan yang terjalin sejak 2006 dan mencerminkan komitmen Petronas dalam menyokong usaha CNOOC dan syarikat-syarikat bersekutunya untuk memenuhi permintaan tenaga bersih yang semakin pesat serta menyokong aspirasi nasional China bagi pelepasan puncak dan keneutralan karbon," menurut kenyataan media itu.
Petronas menyatakan bahawa menerusi perjanjian itu, LNG Canada diminta untuk membekalkan produk selepas sebuah kemudahan mula beroperasi pada "pertengahan dekad ini."
Jurucakap LNG Canada berkata ia tidak mahu mengulas mengenai jalinan usaha sama itu.
LNG Canada merupakan usaha sama yang melibatkan Royal Dutch Shell plc, melalui gabungannya Shell Canada Energy, Petronas melalui entiti milik penuh North Montney LNG Limited Partnership, PetroChina Co. Limited melalui anak syarikatnya PetroChina Canada Ltd. serta syarikat Jepun dan Korea. Ia sedang membangunkan sebuah kemudahan eksport gas asli cair di Kitimat, British Columbia, Kanada.
Medan gas Kasawari sedang dibina berhampiran medan gas yang telah beroperasi selama lima tahun. [Inisiatif Ketelusan Maritim Asia CSIS]
AMTI berkata ketegangan Malaysia dan China adalah berkaitan pembangunan medan gas Kasawari, kira-kira 4.3 batu nautika (8 km) dari medan gas Malaysia yang lain, NC3, yang beroperasi pada 2016.
Kerajaan Malaysia telah memaklumkan lebih awal kepada para pelaut mengenai rancangan Petronas untuk mengangkut bahan dari 19 hingga 24 Mei bagi pembinaan platform telaga di lokasi tersebut. AMTI menyatakan bahawa pemberitahuan itu telah memberi petunjuk kepada China mengenai projek tersebut.
Laporan itu menyatakan bahawa sebanyak 16 pesawat tentera China yang "terbang dalam formasi taktikal" telah mendekati kawasan dalam jarak 60 batu nautika (111 km) dari pesisir Sarawak pada 1 Jun, yang menyebabkan Malaysia mengerahkan jet-jet pejuangnya.
BenarNews melaporkan bahawa kejadian itu berlaku pada 31 Mei dan ia kemudian diumumkan pada hari berikutnya.
Selepas kejadian itu, kerajaan Malaysia memanggil Duta China di Kuala Lumpur dan menegaskan bahawa ia akan mengemukakan nota bantahan diplomatik. Namun, masih belum jelas tindakan apa yang diambil Kuala Lumpur sejak laporan pencerobohan oleh pesawat tentera udara China.
Pada 2 Jun, seorang jurucakap Kementerian Luar Negeri China menjawab soalan mengenai kejadian itu.
"Apa yang saya tahu, ia adalah latihan rutin yang dilakukan oleh tentera udara China di perairan selatan Kepulauan Nansha. Ia tidak menyasarkan mana-mana negara pun,” kata jurucakap itu, Wang Wenbin, pada taklimat media harian ketika itu.
“Semasa latihan itu, tentera udara China mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak memasuki ruang udara negara lain. Pihak China telah berkomunikasi dengan pihak Malaysia mengenai perkara ini,” katanya.
Sejak itu, kapal-kapal China kekal berada di rantau berkenaan, lapor AMTI.
"Kapal CCG selalunya beroperasi di sekitar Luconia Shoals, berada di situ selama berbulan-bulan dan sering melalui kawasan operasi tenaga luar pesisir Malaysia itu," menurut laporan berkenaan.
Collin Koh, felow penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam di Singapura, berkata tindakan Beijing itu bukanlah sesuatu yang baru.
"China memberikan tekanan sedemikian terhadap Malaysia dengan menampilkan kapal-kapal pengawal pantainya dan kadang kala menggunakan keupayaan tentera. Penggunaan kapal pengawal pantai memang sudah dijangka, walaupun pada umumnya kapal-kapal itu tetap menjaga jaraknya dari pelantar sewa Malaysia itu,” kata Koh kepada BenarNews.
"Setakat ini, berdasarkan pemahaman saya, China belum aktif mengganggu aktiviti seperti menyekat laluan kapal sokongan luar pesisir, atau misalnya, cuba menaiki kapal dan melakukan rampasan," kata beliau.
Sementara itu, Ramli Dollah, penganalisis keselamatan serantau dan profesor di Universiti Malaysia Sabah, berkata beliau menjangka kapal-kapal China akan terus mengganggu Malaysia.
"Seperti yang kita semua tahu, China menuntut seluruh kepulauan Laut China Selatan dan perairan yang berdekatan. Oleh itu, kehadiran China di kawasan ini merupakan ancaman pasti terhadap kedaulatan Malaysia,” katanya kepada BenarNews.
"Pencerobohan yang dilakukan oleh 16 pesawat tentera China di kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan menunjukkan bahawa insiden ini akan berterusan pada masa hadapan."
Ramli berkata Malaysia mesti membangunkan kemampuan ketenteraannya walaupun cuba berdiplomasi dengan China.
"Ada juga pilihan lain untuk Malaysia terutamanya dalam menjalin hubungan baik dan kerjasama dengan kuasa-kuasa lain terutamanya Amerika Syarikat serta mereka yang mempunyai kepentingan di Laut China Selatan seperti Jepun dan Australia," katanya.
Kapal China dikesan
Carta ini menunjukkan laluan kapal Pengawal Pantai China yang berlayar berhampiran dua tongkang Malaysia di medan gas Kasawari di Laut China Selatan pada 5 Julai 2021. [Inisiatif Ketelusan Maritim Asia CSIS]
Pada waktu penerbitan laporan itu, sebuah kapal Pengawal Pantai China kekal berada di Kasawari bersama-sama dengan dua tongkang Malaysia iaitu Sapura 2000 dan Sapura 3000 yang digunakan untuk membina telaga, kata AMTI, dengan menyatakan bahawa ia tidak nampak adanya aktiviti ketenteraan atau penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam laman web tersebut.
"Walaupun ketegangan semasa kian reda apabila pemasangan kepala telaga selesai, fasa kedua kerja-kerja di Kasawari yang dijadualkan pada 2022 menunjukkan bahawa pergeseran di antara pihak penguatkuasaan undang-undang China dan operasi tenaga pesisir Malaysia di luar Sarawak akan berterusan," menurut laporan itu dalam rumusannya.