Pilihan Raya Umum Malaysia Pada 9 Mei

Hata Wahari
2018.04.10
Kuala Lumpur
180410-MY-vote-620.jpg Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Mohd Hashim Abdullah (tengah), menunjukkan notis pembubaran Parlimen ketika mengumumkan 9 Mei sebagai tarikh pilihan raya umum pada sidang berita di Putrajaya, 10 April 2018.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Pemilih berdaftar Malaysia akan mengundi pada 9 Mei, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa, dalam apa yang dijangka menjadi pertempuran antara gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang diketuai Najib Razak dan pakatan pembangkang yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Semasa menetapkan tarikh pertengahan minggu bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14, SPR turut mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon akan diadakan pada 28 April sebelum tempoh kempen rasmi selama 11 dan undi pos pada 5 Mei.

Pengerusi Suruhanjaya Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat khas di pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Mohd Hashim memberitahu BeritaBenar bahawa SPR terpaksa memilih 9 Mei setelah mempertimbangkan beberapa faktor.

"Tempoh kempen akan menjadi terlalu pendek jika kita memilih 7 Mei bagi pengundian dan Ahad 13 Mei pula dikaitkan dengan sejarah gelap negara kita yang tarikhnya cuba dielakkan," katanya.

Mohd Hashim merujuk kepada peristiwa rusuhan kaum pada 1969 yang melumpuhkan negara dan menyebabkan pilihan raya umum ditangguhkan selepas kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat.

Beliau berkata, tarikh itu juga akan memberi pemilih, yang tinggal jauh dari kawasan pilihan raya mereka, masa yang mencukupi untuk membuat perancangan pulang untuk mengundi pada pilihan raya. Pengundi Malaysia yang tinggal di wilayah selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, tidak layak mendapat undi pos dan mesti pulang untuk mengundi.

Pengumuman mengenai pengundian pada Rabu selepas tempoh kempen yang singkat disambut dengan rungutan oleh pembangkang dan kumpulan hak asasi yang mendakwa tarikh itu akan menguntungkan gabungan parti Najib dan menyebabkan kadar keluar mengundi yang rendah pada hari pengundian.

"Bukan sahaja tempoh kempen hanya minimum 11 hari, malah hari mengundi ppula pada Rabu, iaitu hari bekerja dan hari bersekolah," kata kumpulan gerakan pembaharuan pilihan raya, Bersih, dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Bersih dan kumpulan lain membidas tindakan Najib dan penyokongnya untuk mengukuhkan kuasa BN menjelang hari pengundian. Usaha itu termasuk menyusun semula sempadan kawasan pilihan raya dan menyegerakan pembentangan rang undang-undang untuk menghukum orang yang menyebarkan "berita palsu" walaupun pembangkang mendakwa BN akan menggunakannya untuk menghukum para pengkritik Najib.

Sementara itu, Mahathir memberitahu pemberita bahawa tindakan SPR akan menyukar 500,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk melaksanakan hak mereka sebagai pengundi.

"Saya harap pengundi akan membuat perancangan yang betul supaya mereka dapat mengundi pada pilihan raya umum akan datang ini," kata Mahathir.

Beliau mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja Malaysia mendapatkan masa yang diperlukan untuk melaksanakan hak mereka  mengundi atau berdepan dengan hukuman.

Pilihan raya pada hari bekerja

Bagaimanapun, seorang pegawai BN berkata, keputusan untuk mengadakan hari pengundian pada Rabu adalah adil, sambil memberitahu bahawa ia pernah berlaku sebelum ini. Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Eric See To berkata, tidak semua negara di Malaysia menganggap Sabtu dan Ahad sebagai hujung minggu.

Pilihan raya pada 1992, semasa Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri, diadakan pada Khamis dan pilihan raya pada 1995 dan 1999 pula diadakan pada Isnin, katanya.

Pilihan raya pada hujung minggu tidak sepatutnya menjadi isu, kata Azmi Hassan, penganalisis politik di Universiti Teknologi Malaysia.

"Sama ada pada hari bekerja atau tidak, ia pasti menjejaskan BN dan PH," katanya kepada BeritaBenar, merujuk kepada pakatan pembangkang, Pakatan Harapan.

Pengumuman SPR pada Selasa dibuat dalam masa 24 jam selepas kesemua 12  negeri secara rasmi membubarkan Dewan Undangan Negeri  masing-masing  dan beberapa hari selepas Najib mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Najib, 64, anak sulung perdana menteri kedua Malaysia, Razak Hussein, mengetuai gabungan parti pemerintah tertua negara untuk menentang  mentornya, Mahathir, 92, yang mengetuai pakatan baru itu, dalam apa yang dilihat boleh menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah 60 tahun negara.

Kedua-duanya bertelingkah hingga membawa Mahathir meninggalkan parti pemerintah itu pada 2016 untuk menubuhkan parti baru dan bersekutu dengan parti-parti pembangkang lain untuk menentang Najib.

Gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah daripada 222 kerusi Parlimen akan membentuk kerajaan. Pada pilihan raya 2013, parti pembangkang memenangi 52 peratus undi popular tetapi Najib dan rakan sekutunya dapat mengekalkan kuasa dengan memenangi 133 kerusi Parlimen.

Sejak tiga tahun yang lalu, Najib dikaitkan dengan skandal yang melibatkan berbilion ringgit yang didakwa diselewengkan daripada dana pembangunan negara yang dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad. Beliau menafikan sebarang salah laku walaupun kerajaan asing, termasuk Amerika Syarikat, berusaha mendapatkan semula dana tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.