Kes penderaan kanak-kanak di rumah amal berlaku akibat kelemahan kawal selia
2024.09.18
Kuala Lumpur
Pakar hak asasi kanak-kanak Malaysia menyalahkan rangka kerja pengawalseliaan yang lemah untuk mengawasi rumah amal sebagai antara sebab utama penderaan terhadap kanak-kanak dalam jagaan mereka selepas pihak berkuasa menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak dari pusat amal dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam yang diharamkan di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Pakar berkata perkara itu berlaku kerana pendaftaran dan pengawasan pusat jagaan tersebut diasingkan antara jabatan yang berbeza hingga mewujudkan keadaan di mana tiada satu pun agensi menjalankan pemeriksaan sewajarnya ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak.
Pihak berkuasa menyerbu 20 rumah amal yang dilaporkan berkaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) pada minggu lalu mendapati hanya dua yang mempunyai lesen lengkap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk beroperasi, menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
GISBH merupakan syarikat yang dijenamakan semula daripada Global Ikhwan Sdn Bhd yang diterajui Ashaari Muhammad, pemimpin al-Arqam setelah pergerakan itu diharamkan kerajaan pada 1994.
Razarudin berkata polis sedang menyiasat sama ada terdapat kecuaian di pihak JKM hingga menyumbang kepada rumah amal tidak berlesen.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat harus bertanggungjawab,” kata James Nayagam, seorang aktivis kanak-kanak dan pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana kepada BenarNews.
“Mereka mengasingkan pendaftaran rumah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengikut jabatan berbeza dengan kumpulan Islam di bawah badan kawal selia agama. Pengasingan dalam pengawasan inilah yang menyebabkan pengabaian dan penyalahgunaan,” kata Nayagam.
Menurut polis, kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun itu ditemui dalam keadaan daif di rumah amal yang terletak di Selangor dan Negeri Sembilan.
Berdasarkan siasatan, kebanyakan kanak-kanak dikenakan hukuman fizikal termasuk dirotan, ditekap dengan objek panas, kelaparan, dipaksa bekerja dan didera secara emosi, menurut polis.
Pihak berkuasa menahan reman seramai 159 individu yang terlibat dalam serbuan itu termasuk pegawai kanan GISBH.
Daripada jumlah itu, dua ahli GISBH didakwa di mahkamah dengan pertuduhan terbaharu pada Rabu membabitkan seorang ahli perniagaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang bekas pekerja GISBH untuk menarik balik laporan polis terhadap syarikat itu.
Tertuduh yang mempunyai tiga orang isteri dan 10 anak mengaku tidak bersalah.
Pada 12 September lalu, seorang wanita berusia 19 tahun didakwa atas empat pertuduhan mendera kanak-kanak kerana menggunakan sudu panas hingga menyebabkan melecur dan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di sebuah rumah amal yang didakwa dikendalikan GISBH di Negeri Sembilan.
Menurut Razarudin pada minggu lalu, daripada 402 kanak-kanak yang diselamatkan itu, seramai 10 orang telah diserahkan kepada JKM selepas mendapati mereka merupakan orang kurang upaya (OKU) dan autisme serta memerlukan rawatan kesihatan.
Pada Selasa, beliau berkata seramai 149 kanak-kanak telah dipindahkan ke rumah kebajikan di bawah JKM manakala baki 243 orang lagi yang kini berada di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur akan dipindahkan ke pusat jagaan agensi kebajikan itu secara berperingkat.
GISBH telah menafikan bertanggungjawab terhadap dakwaan penderaan itu dan menyatakan ia menawarkan perkhidmatan selaras dengan pendidikan Islam dan tidak menyedari sebarang salah laku di rumah berkenaan.
Syarikat yang ditubuhkan oleh saki baki anggota kumpulan al-Arqam itu berkata tuduhan tersebut merupakan cubaan untuk mencemarkan nama baik.
Kerajaan Malaysia mengharamkan kumpulan al-Arqam pada 1994 kerana didakwa mengamalkan fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam, agama yang dianuti oleh majoriti orang Melayu.
Salah sebuah rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings yang diserbu polis di Selangor dan Negeri Sembilan, 12 September 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
‘Bagaimana ini boleh berlaku?'
Namun banyak pihak di Malaysia yang melahirkan rasa hairan bagaimana perkara itu boleh berlaku, lebih-lebih lagi GISBH telah beroperasi secara terbuka selama bertahun-tahun.
Pengkritik menyatakan kumpulan itu beroperasi dalam tempoh yang lama dengan pengawasan kerajaan yang terhad.
Semakan BenarNews kepada peraturan kerajaan menunjukkan bagi membuka rumah kebajikan di Malaysia, pengendali mesti mendaftar sama ada dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia jika ia bagi tujuan perniagaan atau dengan Pendaftar Pertubuhan untuk menjalankan operasi bukan berasaskan keuntungan.
Wong Poai Hong, pengarah Yayasan Kanak-kanak berkata kerumitan masalah itu ditambah lagi dengan fakta bahawa beberapa pusat jagaan (sekolah agama) terletak di bawah bidang kuasa badan agama dan bukannya Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Semua pusat swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilesenkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagaimanapun, agensi agama juga menyelia beberapa rumah ini (sekolah agama) dan peraturannya berbeza-beza,” katanya kepada BenarNews.
“Seperti rumah [GISBH] sepatutnya mempunyai polisi perlindungan kanak-kanak yang wajib dan kakitangan terlatih dalam dasar dan hak kanak-kanak membabitkan kelangsungan hidup, pembangunan perlindungan dan hak penyertaan.”
Beliau juga menyatakan bahawa proses pelesenan juga "panjang dan berliku" hingga membuatkan sesetengah pengendali bertindak menjalankan operasi rumah amal tanpa melakukan proses pendaftaran dengan lengkap.
Polis sebelum ini mendedahkan bahawa mereka telah menerima 49 laporan berkaitan operasi GISBH antara 2011 dan 2024 termasuk beberapa daripada bekas anggota kumpulan itu.
Meskipun terdapat kritikan pasukan polis lambat bertindak, Ketua Polis Negara pada minggu lalu menegaskan bahawa proses siasatan dan tindakan ke atas kumpulan terbabit dilakukan secara berterusan.
Dalam pada itu, rakaman video yang tersebar di media sosial yang disahkan oleh pihak berkuasa sebagai tulen, menunjukkan perlakuan penderaan, termasuk hukuman dera dipercayai berlaku di salah sebuah rumah amal diselia kumpulan itu.
Terdapat juga satu klip video memaparkan seorang budak lelaki telah ditekan ke tanah semasa dihukum secara fizikal. Pelaku telah dikenal pasti dan merupakan antara yang ditahan.
“Penyelesaian terbaik adalah semua organisasi yang mengendalikan kanak-kanak berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bagi memastikan pengurusan dan pemantauan yang betul terhadap kebajikan kanak-kanak secara menyeluruh,” kata aktivis Nayagam lagi.
Menurut Hartini Zainuddin, seorang aktivis kanak-kanak terkemuka di Malaysia, penderaan ke atas ratusan kanak-kanak di rumah jagaan berasaskan agama menjadi simbolik kepada isu yang lebih meluas di negara ini.
"Pendedahan baru-baru ini mengenai dakwaan penderaan besar-besaran dan pengabaian yang melibatkan 402 kanak-kanak amat mengganggu dan menyayat hati," kata Hartini, pengasas Yayasan Chow Kit, sebuah NGO kebajikan kanak-kanak kepada BenarNews.
“Tetapi sekali lagi, tindakan ini diambil selepas fakta itu (didedahkan). Ia sentiasa berupa tindak balas kepada jenayah yang telah dilakukan, bukannya pendekatan proaktif untuk mencegahnya sejak dari awal."
BenarNews telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa agama untuk menjelaskan mengapa baki 18 lagi pusat jagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH tidak didaftarkan dan mengapa pemeriksaan tidak dijalankan, tetapi masih belum menerima maklum balas.
Tubuh suruhanjaya diraja
Sebagai tindak balas kepada serbuan polis itu, banyak pihak yang menggesa pembaharuan sistemik dilakukan untuk memastikan perlindungan yang lebih baik bagi kanak-kanak yang terdedah.
Badan Peguam Malaysia mengecam penderaan itu dan menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kegagalan yang membenarkan rumah jagaan ini beroperasi tanpa kawalan selama bertahun-tahun lamanya.
“Hakikatnya rumah amal itu telah beroperasi tanpa pengawasan yang sewajarnya menimbulkan persoalan membimbangkan tentang rangka kerja kawal selia sedia ada,” kata Mohamad Ezri Abdul Wahab, presiden Badan Peguam Malaysia dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Kita perlu melaksanakan pendekatan holistik untuk mengelakkan tragedi sebegini berulang. Ini termasuk bukan sahaja tindakan segera terhadap pelaku malah pembaharuan untuk jangka masa panjang sistem yang mengawasi pusat-pusat ini.”
Pesuruhjaya Kanak-Kanak Farah Nini Dusuki pula menggelar eksploitasi kanak-kanak oleh GISBH sebagai "mengerikan" dan "pengkhianatan amanah."
"Saya amat terkejut dengan kes yang kurang dilaporkan mengenai kanak-kanak yang didera di rumah jagaan itu," kata Farah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan minggu lepas.
“Jenayah dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang dilakukan di sebalik fasad agama amat mengejutkan.”