Polis Malaysia tahan semula anggota GISBH di bawah SOSMA

Kumpulan dikaitkan dengan ajaran sesat al-Arqam yang diharamkan itu membawa doktrin sangat bahaya kepada keselamatan negara, kata ketua polis negara.
Helmi Foad dan Nisha David
2024.09.25
Kuala Lumpur
Polis Malaysia tahan semula anggota GISBH di bawah SOSMA Pejabat urusan Global Ikhwan Services and Business Holdings kelihatan ditutup selepas operasi besar-besaran pasukan polis ke atas anggota dan pemimpin syarikat itu di Bandar Country Home, Rawang, Selangor, 21 September, 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Polis Malaysia menangkap semula lebih 30 individu yang dikaitkan dalam skandal penderaan kanak-kanak di bawah akta keselamatan negara yang ketat setelah tempoh reman mereka tamat pada Rabu.

Polis berkata suspek yang merupakan anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), syarikat yang memiliki rumah amal di mana berlakunya penderaan ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh, sebanyak 34 tahanan yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Seramai 127 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau tindakan tersebut diambil selepas hasil siasatan polis mendapati doktrin yang dibawa oleh GISBH adalah "sangat berbahaya" kepada keselamatan negara khususnya ajaran Islam yang dianuti majoriti rakyat negara itu.

“Kaedah perniagaan mereka dimudahcarakan dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi GISBH yang sangat taksub dan mendewakan kepada pemimpin hingga memutarbelitkan agama Islam sebenar.

“Ia mirip proses indoktrinisasi yang mana ia menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dan dianuti sepenuhnya oleh pengikut-pengikutnya,” ujar beliau sambil menambah kebajikan dan masa depan pengikut kumpulan itu bergantung sepenuhnya kepada pemimpin mereka sahaja.

Pada masa ini polis sedang menyiasat kes berkenaan GISBH di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Dalam pada itu, tempoh tahanan reman 24 individu dikaitkan dengan GISBH termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasiruddin Mohd Ali dan isteri disambung empat hari lagi bermula Khamis.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman semua suspek berusia antara 25 hingga 65 tahun sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan berhubung tindakan eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.

“Saya benarkan reman dilanjutkan selama empat hari lagi,” kata Mohamad Redza di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.

Mereka membabitkan 19 individu yang ditahan di empat unit kondominium di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 19 September lalu.

Lanjutan reman itu turut melibatkan lima lagi individu termasuk seorang anak kepada pemimpin utama syarikat terbabit yang ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 18 September lalu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Dalam prosiding di mahkamah berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menolak permohonan bebas dengan bon jaminan terhadap 22 wanita dipercayai pengikut GISBH mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Hapus bukti

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, seorang bapa bersama tiga anak lelaki yang ditahan selepas dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku berkaitan al-Arqam di Kampung Panji, Kelantan ditahan reman tiga hari hingga Jumaat untuk membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Empat beranak berusia antara 15 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di kediaman pimpinan dan pengikut GISBH di Kampung Panji pada Sabtu lalu yang membawa kepada penemuan puluhan buku ditanam di tebing sungai Pengkalan Datu dan lebih 30 individu termasuk isteri kedua pemimpin tertinggi GISBH dibawa ke pusat saringan.

image_123650291 (28).JPG
Seorang bapa bersama tiga anak lelakinya yang dipercayai cuba melupuskan bahan bukti dengan menanam buku berkaitan al-Arqam dibawa anggota polis untuk perintah reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, 25 September 2024. [K. Ahmad/BenarNews]

Ketua Polis Negara dalam kenyataan pada Rabu turut mendedahkan bahawa hasil kerjasama siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mendapati GISBH tidak pernah membayar cukai dan perkara itu selari dengan siasatan polis yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Razarudin pada Selasa mendedahkan sebanyak 280 premis berkaitan GISBH telah diserbu di seluruh negara menerusi fasa empat Op Global sejak Sabtu lalu.

Seramai 156 orang terdiri 80 lelaki dan 76 wanita ditangkap manakala 187 mangsa diselamatkan sejak serbuan pada 11 September lalu, kata Razarudin kepada media.

Melalui tindakan besar-besaran itu, pihak berkuasa turut membeku sebanyak 153 akaun bank yang dikaitkan dengan GISBH, tambahan daripada 96 akaun yang telah dibekukan pada minggu lalu dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta (AS$309,000) sebagai sebahagian daripada siasatan melibatkan penderaan seksual, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

Sekolah agama GISBH ditutup

Dalam tindakan terbaru, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menutup lapan buah sekolah agama swasta yang dikendalikan oleh GISBH selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua sekolah Islam persendirian yang terlibat dan ia telah menyalahi peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1988.

“Justeru, arahan penutupan semua sekolah Islam tersebut telah dikeluarkan oleh JAIS menurut Seksyen 25 EPSAI 1988 pada 23 September lalu,” kata Pengerusi MAIS Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan pada Rabu sambil menambah siasatan akan dilengkapkan untuk tindakan terhadap individu terbabit dengan GISBH di bawah enakmen jenayah syariah dan pentadbiran agama Islam negeri.

JAIS berkata ia juga bertindak mengambil alih sebuah masjid dan menutup sebuah surau yang dibina pengikut GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, pusat kegiatan syarikat itu yang dikaitkan kumpulan al-Arqam yang diharamkan kerajaan.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis secara rasmi menjadi negeri pertama mengisytiharkan ajaran yang dibawa GISBH sebagai sesat manakala mufti-mufti di negeri lain mengadakan mesyuarat di bawah Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan di Terengganu dari Selasa hingga Khamis ini bagi menentukan kedudukan kumpulan terbabit. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Mohd Na’im Mokhtar pada Isnin lalu berkata, jawatankuasa muzakarah itu perlu membawa keputusan berkaitan GISBH kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum merujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk dimuktamadkan pada 10 Oktober ini.

Guna SOSMA dikritik

Dalam pada itu, tindakan pihak polis meneruskan siasatan ke atas ahli GISBH melalui SOSMA dikritik oleh aktivis memandangkan tindakan di bawah akta tahanan tanpa bicara hingga 28 hari itu dikhuatiri tidak dapat mematuhi aspek keadilan dan kesaksamaan.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa pihak polis agar tidak menggunakan SOSMA terhadap pengikut GISBH memandangkan terdapat peruntukan sedia ada di bawah Kanun Prosedur Jenayah yang masih membenarkan pihak polis melanjutkan siasatan mereka.

“Bukti-bukti itu ada seperti yang didakwa oleh polis sejak seminggu lalu dan mereka telah menunjukkan secara terbuka apa yang mereka temui.

“Kes GISB adalah kes berkepentingan awam bagi semua orang dan semua siasatan mestilah melalui perbicaraan terbuka supaya orang ramai mengetahui perkara sebenar,” tegas Maria yang juga bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kenyataan pada Selasa.

CSA Platform for Reform, kumpulan pertubuhan pembaharuan institusi pula berkata meskipun tuduhan terhadap GISBH amat membimbangkan agensi penguatkuasa mesti mengelak daripada menahan individu-individu tanpa bicara di bawah SOSMA.

“Agensi penguatkuasa undang-undang perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh dan memastikan kedaulatan undang-undang digunakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Semestinya isu utama adalah perlindungan hak kanak-kanak,” tegas ahli Jawatankuasa Pemandu CSO Platform for Reform, Maalini Ramalo.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.