Mahkamah Guatanamo Selesai Kemukakan Pendakwaan Terhadap Suspek Pengganas Asia Tenggara

John Bechtel
2021.08.31
Fort Meade, Maryland
Mahkamah Guatanamo Selesai Kemukakan Pendakwaan Terhadap Suspek Pengganas Asia Tenggara Gambar yang telah disemak oleh pegawai tentera AS ini memaparkan papan tanda selamat datang ke Kem Kehakiman di Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo, Cuba, di mana suruhanjaya tentera mengadakan prosiding pendakwaan terhadap tiga tahanan yang disyaki terlibat dengan pengganas.
[AP]

Pendakwaan terhadap tiga suspek pengganas Asia Tenggara di hadapan mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo selesai pada Selasa tanpa sebarang pengakuan daripada kesemua tertuduh itu, selain peguam mereka menyuarakan kekecewaan dan keraguan mengenai keadilan dalam pelaksanaan prosiding berkenaan.

Kehadiran dalam prosiding dua hari itu adalah yang pertama bagi warganegara Indonesia, Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali, serta rakyat Malaysia, Mohammed Nazir bin Lep dan Mohammed Farik bin Amin, sejak mereka ditahan di pangkalan tentera laut Amerika di Cuba kira-kira 15 tahun lalu. Ketiga-tiga lelaki itu ditangkap di Thailand pada 2003 dan dihantar ke beberapa "kawasan hitam" rahsia yang dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke penjara tentera Teluk Guantanamo itu pada 2006.

Komander Hayes Larsen, hakim tentera yang mendengar kes itu, mengakhiri prosiding berkenaan tanpa menetapkan sebarang jadual bagi perbicaraan selepas penghujahan pihak peguam tertuduh.

"Saya menjangkakan yang kami akan menghabiskan banyak masa untuk mengemukakan rayuan di mahkamah," kata peguam James Hodes, yang mewakili Hambali, kepada BenarNews semasa dihubungi melalui telefon selepas prosiding itu berakhir.

Dalam prosiding pada Isnin, Hodes dan peguam Christine Funk yang mewakili Mohammed Farik serta Brian Bouffard yang mewakili Mohammed Nazir, kerap mengemukakan bantahan mengenai apa yang mereka katakan sebagai penterjemahan yang tidak lengkap untuk didengari oleh anak guam masing-masing. Prosiding pada Selasa pula menyaksikan pembacaan dokumen pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Pada hari pertama prosiding itu, peguam bela berkenaan juga mengemukakan bantahan terhadap seorang jurubahasa, yang sebelum itu telah menterjemahkan perbualan antara tertuduh dan seorang peguam yang tidak dinyatakan namanya semasa beliau duduk bersama-sama pasukan pendakwaan. Hakim kemudian memihak kepada pendakwa raya yang membantah permohonan peguam bela supaya penterjemah itu dikeluarkan daripada prosiding berkenaan.

"Ini bukan masanya untuk bermain," kata Hodes kepada BenarNews mengenai bantahan tersebut. "Kami semua amat kecewa."

Joshua Kastenberg yang merupakan profesor undang-undang di University of New Mexico dan bekas hakim Tentera Udara, berkata pihak pembelaan boleh menyuarakan kebimbangan mengenai jurubahasa yang duduk dengan pendakwa raya dan meminta supaya perkara itu direkodkan.

"Ini boleh menjadi keputusan tidak adil dalam prosiding ini. Ia adalah hujah yang baik dan saya mahu tekankan mengenai perkara itu,” katanya kepada BenarNews.

Beliau turut berkata bahawa para peguam bela itu bertindak wajar apabila berhujah mengenai perlunya interpretasi yang tepat bagi sebarang keterangan, dengan menyatakan bahawa ia adalah asas bagi perbicaraan yang sempurna.

210831-MY-Inside1-Gitmo.jpg

Peguam bela Christine Funk (kanan) yang mewakili rakyat Malaysia, Mohammed Farik bin Amin, bercakap dengan wartawan di Teluk Guantanamo, Cuba, selepas selesainya prosiding pendakwaan bagi anak guamnnya serta dua tertuduh yang lain, 31 Ogos 2021. (AP)

Prosiding itu disiarkan kepada beberapa wartawan yang membuat liputan dari Fort Meade, sebuah markas Tentera AS di Maryland, berhampiran Washington. Pihak tentera juga meminta wakil media yang mengikuti prosiding di Kem Kehakiman di Teluk Guantanamo serta mereka yang menontonnya dari Fort Meade supaya untuk tidak mengambil gambar atau video semasa pendakwaan itu berlangsung.

Hambali, Mohammed Nazir dan Mohammed Farik menghadiri prosiding dua hari itu dan dapat dilihat ketika peguam bela masing-masing berhujah di mahkamah - ketiga-tiga mereka memakai pakaian ala barat pada Selasa selepas mengenakan makai tunik dan seluar longgar pada hari sebelumnya. Pada hari kedua pula, kelibat mereka kurang kelihatan kerana peguam bela masing-masing tidak banyak membuat bantahan semasa afidavit dibaca.

Hodes berkata pasukan pembelaan tidak mempunyai tempoh masa untuk kes itu disambung atau ketika ia diputuskan, sambil memberitahu bahawa beliau dan peguam lain belum menerima bahan bukti daripada pihak pendakwaan.

"Mungkin ia tidak akan diberikan sehinggalah tahun depan," katanya.

210831-MY-Inside2-Gitmo.jpg

Peguam bela James Hodes bercakap dengan pemberita selepas hari pertama prosiding pendakwaan bagi anak guamnya Encep Nurjaman, yang lebih dikenali sebagai Hambali, dari Indonesia di Pangkalan Tentera Laut Teluk Guantanamo, Cuba, 30 Ogos 2021. [AP]

Sebelum perbicaraan itu, Funk berkata pasukan pembelaan mungkin perlu melakukan banyak perjalanan untuk menemu bual saksi dan mencari bukti baru, lapor Associated Press.

Anak guamnya, Mohammed Farik, berasa "bimbang dan mahu sangat kes itu diselesaikan supaya dia dapat pulang ke rumah," katanya.

"Terus terang saya katakan, selepas prosiding dua hari ini, saya tidak nampak sebarang bukti yang menunjukkan dia akan mendapat perbicaraan yang adil," lapor AP yang memetik Funk sebagai berkata.

Bouffard pula berkata bahawa prosiding berkenaan mempunyai banyak kelemahan dan ia harus diadakan semula, lapor AP.

Ketiga-tiga tertuduh, yang berbelas kali dirujuk sebagai "pejuang yang memerangi musuh asing tanpa hak" dalam affidavit itu, menghadapi lapan pertuduhan termasuk tujuh yang berkaitan dengan dua pengeboman yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 - serangan pengganas paling buruk di Indonesia setakat ini - dan pengeboman JW Hotel Marriot di Jakarta pada 2003.

Lapan pertuduhan itu adalah konspirasi, membunuh, cubaan membunuh, dengan sengaja menyebabkan kecederaan serius pada tubuh, keganasan, menyerang orang awam, menyerang harta benda awam dan memusnahkan harta benda.

Bagi pertuduhan konspirasi itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersubahat dengan pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden dan Khalid Sheikh Mohammed - yang didakwa merancang serangan pada 11 September di New York dan Washington - bermula pada Ogos 1996. Pejabat Suruhanjaya Tentera telah menjadualkan pra-perbicaraan Khalid dari 1 hingga 19 November di mahkamah Teluk Guantanamo, menurut pengumuman Pentagon pada Selasa.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik juga menghadapi pertuduhan tambahan iaitu menghalang penangkapan Hambali antara 12 Oktober 2002, tarikh pengeboman Bali, dan sekitar 30 Jun 2003 dengan memberikan dokumen palsu, senjata dan dana serta menyediakan pengangkutan dan penginapan.

Kastenberg berkata walaupun tidak wajar bagi tiga tertuduh dibicarakan secara bersama, kemungkinan besar kes mereka tidak diputuskan oleh mahkamah tentera. Namun, beliau menyatakan bahawa atas dasar kelaziman manusia, ia boleh mewujudkan "bersalah kerana saling bekerjasama."

Kastenberg juga menyuarakan kebimbangan kerana perbicaraan itu dimulakan setelah hampir dua dekad selepas ketiga-tiga tertuduh ditangkap pada 2003 dan dibawa ke beberapa "kawasan hitam" CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo, dan beliau memberitahu bahawa ini dapat mempengaruhi proses sewajarnya bagi kesemua tertuduh.

Satu laporan, yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada siasatan Senat AS mengenai rangkaian penjara rahsia CIA di luar negara, mendapati bahawa ketiga-tiga rakyat Asia Tenggara itu telah diseksa semasa mereka ditahan di ‘kawasan-kawasan hitam’ itu.

Khalid Sheikh Mohammed, Hambali dan dua rakyat Malaysia itu adalah antara 39 tahanan yang ditahan di penjara dalam pangkalan Tentera Laut AS itu. Semasa kemuncak usaha AS memerangi keganasan, penjara itu menahan hampir 800 suspek pengganas dari seluruh dunia.

Pendakwaan itu sepatutnya dilakukan pada Februari lalu tetapi ditunda berikutan kebimbangan mengenai penularan pandemik koronavirus.

Pada 2017, pentadbiran Trump mengumumkan bahawa ia merancang untuk mengemukakan pertuduhan berkaitan keganasan terhadap Hambali. Pada Januari 2021, lapan hari selepas Presiden Joe Biden mengangkat sumpah sebagai ketua komander, Pejabat Suruhanjaya Tentera mengumumkan bahawa Hambali dan kedua-dua rakyat Malaysia itu akan didakwa di mahkamah tentera.

Sementara itu, pentadbiran Biden telah mengumumkan bahawa pihaknya berhasrat menutup penjara tentera itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.