Hakim Guantanamo tetapkan Januari untuk pengakuan bagi kes pengeboman Indonesia
2023.10.23
Fort Meade, Maryland, Amerika Syarikat
Seorang hakim tentera Amerika Syarikat pada Isnin mengumumkan jadual pada awal tahun depan bagi menerima pengakuan bersalah daripada dua rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Teluk Guantanamo selama 17 tahun atas pertuduhan disyaki memainkan peranan dalam pengeboman maut di Bali dan Jakarta dua dekad lalu.
Hakim Wesley Braun mengumumkan bahawa satu sesi mahkamah akan diadakan pada 15 Januari, di mana beliau menjangka menerima pengakuan bersalah daripada Mohammed Farik bin Amin dan Mohammed Nazir bin Lep sebelum mengadakan prosiding menjatuhkan hukuman kira-kira seminggu kemudian.
"Garis masa untuk kami bekerja di sini adalah agresif," kata Braun kepada pendakwa raya tentera dan peguam yang mewakili rakyat Malaysia.
Prosiding mahkamah dari pangkalan tentera laut AS di Cuba disiarkan secara langsung melalui pautan video kepada wartawan yang membuat liputan dari Fort Meade, sebuah pangkalan di Maryland.
"Kita akan tiba ke tarikh akhir itu pada Januari dengan pantas," kata Braun.
Pengumuman hakim mengenai jadual pengakuan itu menunjukkan bahawa pasukan pendakwaan dan pembelaan bagi Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah berusaha untuk mencapai hasil yang tidak memerlukan perbicaraan.
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah didakwa atas pertuduhan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, menyebabkan kecederaan badan yang serius dengan sengaja, keganasan, menyerang orang awam, menyerang objek awam dan pemusnahan harta benda yang dikaitkan dengan pengeboman yang berlaku di Indonesia pada 2002 dan 2003.
Dua kejadian letupan di Bali pada 2002 telah mengorbankan 202 orang - serangan pengganas paling teruk yang pernah berlaku di Indonesia.
Mahkamah bagaimanapun, tidak mengeluarkan butiran terperinci mengenai pertuduhan yang akan dimasukkan di dalam pengakuan bersalah itu.
Braun dan para peguam berkenaan menghabiskan sebahagian daripada prosiding dua jam pada Isnin untuk menetapkan jadual bagi mengemukakan bukti dan persediaan lain yang diperlukan sebelum prosiding mahkamah pada Januari kelak - termasuk soalan apa yang perlu ditanya kepada Mohammed Farik dan Mohammed Nazir berhubung pengakuan mereka.
Satu dokumen mahkamah baru-baru ini menunjukkan kemungkinan bahawa Mohammed Farik bersedia untuk membuat pengakuan, yang kemungkinan sejurus selepas bermulanya prosiding mahkamah pada Isnin. Dokumen berikutnya di dalam aturan itu turut memasukkan nama Mohammed Nazir.
Christine Funk, peguam utama bagi Mohamed Farik, memberitahu Braun bahawa beliau bimbang pasukannya tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk memeriksa semua bukti daripada pihak pendakwaan dalam masa kurang daripada dua bulan.
Dalam dokumen sebelum prosiding itu, mahkamah membenarkan peguam utama Mohammed Nazir, Brian Bouffard, serta dua lagi yang ditugaskan untuk kes itu tidak hadir kerana mereka "terlibat dalam tugas yang berkaitan dengan misi di Asia Tenggara”.
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir telah didakwa, bersama-sama dengan rakyat Indonesia Encep Nurjaman (juga dikenali sebagai Hambali), selepas penangkapan mereka di Thailand pada 2003. Ketiga-tiga mereka telah dihantar ke penjara rahsia CIA di luar negara - yang dipanggil tapak hitam - di mana mereka diseksa sebelum dihantar ke kem penjara tentera AS di Cuba, menurut laporan Senat AS 2014.
Hambali dijadual hadir bersendirian di mahkamah pada Rabu untuk prosiding yang dijadualkan sebagai perbicaraan dua hari.
Pada September, BenarNews melaporkan bahawa pemimpin Malaysia telah bertemu dengan rakan sejawatannya di AS untuk membincangkan kebenaran supaya Mohammed Farik dan Mohamed Nazir pulang ke negara mereka.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau membincangkan perkara itu dengan Tina Kaidanow, wakil khas AS untuk hal ehwal Guantanamo, semasa beliau berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Menurutnya beliau juga telah pergi ke Cuba untuk bertemu dengan kedua-dua tertuduh tetapi tidak menyatakan bila pertemuan itu berlaku.