Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan, anak pemimpin al-Arqam antara ditahan

Tiga pengajar madrasah berkait dengan syarikat yang ditubuhkan saki baki ahli al-Arqam didakwa lakukan amang seksual ke atas kanak-kanak.
Ili Shazwani Ihsan dan Nisha David
2024.09.19
Kuala Lumpur
Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan, anak pemimpin al-Arqam antara ditahan Tiga pembantu pengajar madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings dibawa anggota polis bagi menghadapi pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan, 19 September 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 12.30 tengah hari waktu tempatan ETS - 2024-09-19

Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis menahan ketua pegawai eksekutif dan pegawai kanan syarikat berkait dengan rumah amal yang diserbu pasukan polis pada minggu lalu di mana seramai 402 kanak-kanak yang selamatkan didakwa mengalami penderaan setelah ia memperluaskan siasatannya.

Dalam kes berasingan, tiga ahli pembantu madrasah yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dihadapkan ke mahkamah pada Khamis atas pertuduhan amang seksual kanak-kanak di salah sebuah pusat pengajian agama yang diserbu pasukan polis pada Rabu dan mereka mengaku tidak bersalah.

Selain itu, beberapa siri operasi oleh pihak berkuasa Malaysia turut menahan anak kepada bekas pemimpin al-Arqam, sebuah kumpulan ajaran sesat yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad dan mengumpul ribuan pengikut termasuk dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Brunei sebelum diharamkan oleh kerajaan Malaysia pada 1994.

Ashaari pernah menjadi Pengerusi GISBH sebelum beliau meninggal dunia.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain semasa dihubungi BenarNews mengesahkan yang pihak berkuasa itu telah menahan seramai 19 individu termasuk Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, isterinya dan anak-anak Ashaari Muhammad dalam serbuan serentak di empat unit kediaman mewah di Kuala Lumpur pada awal pagi Khamis.

“Polis Bukit Aman telah menahan seramai 19 individu, termasuk empat anak perempuan pengasas Al-qam, Ashaari Muhammad yang berusia antara 29 hingga 38 tahun,” kata Razarudin sambil menambah penahanan tersebut dilakukan setelah pemeriksaan dibuat di Tower A, Berjaya Times Square 1, Bukit Bintang pada pukul 5.40 pagi dengan 11 orang daripada mereka merupakan dalam senarai sasaran.

Kesemua 19 individu yang ditahan berusia 25 hingga 65 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk Pengerusi Eksekutif GISBH kini ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di negeri Selangor, selepas pihak polis mendapat kebenaran tahanan reman selama tujuh hari bermula Khamis.

Perintah reman sehingga 25 September itu dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Operasi itu dilaksanakan pasukan Bahagian Operasi Khas (D8), Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

image_123650291 (4).JPG

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan lima suspek bersama kenderaan rekreasi berlogo GISB Holdings (GISBH) telah ditahan di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 19 September, 2024. [Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia]

Ditahan di sempadan

Selain itu, Razarudin pada Khamis turut mengesahkan lima lagi individu termasuk anak-anak kepada ahli GISBH berusia antara 30 dan 41 tahun telah ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah ketika dalam perjalanan ke Thailand pada petang Rabu dengan menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) berlogo syarikat itu. Kesemua mereka turut direman selama tujuh hari.

Difahamkan seorang daripada suspek berusia 40-an yang ditahan di sempadan Malaysia dan Thailand itu adalah anak lelaki kepada Pengerusi Eksekutif GISBH tetapi Ketua Polis Negara semasa ditanya mengenainya enggan mengulas lanjut.

“Kami menahan reman semua suspek bagi membantu siasatan lanjut terhadap kes ini dan menyiasat motif mereka menggunakan motorhome untuk keluar dari negara ini,” tambah Razarudin.

Pada Selasa lalu, Razarudin mendedahkan sebanyak 96 akaun bank berjumlah RM581,552.30 (AS$ 136,123) milik GISBH telah dibekukan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang merupakan sebahagian daripada siasatan menyeluruh terhadap syarikat itu yang kini disiasat di bawah beberapa akta termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Razarudin dilaporkan berkata sebanyak 740 rakaman percakapan telah dilaksanakan berhubung siasatan ke atas GISBH yang melibatkan 30 rakaman percakapan pengadu, saksi seramai 216 orang, mangsa pula 392 orang manakala suspek seramai 102 orang.

“Jumlah kumulatif kertas siasatan yang telah dibuka bagi Fasa 1 dan 2 adalah sebanyak 33 kertas siasatan,” kata beliau.

GISBH sebelum ini menafikan bahawa rumah-rumah amal yang diserbu pihak berkuasa merupakan di bawah kelolaan mereka namun mengakui berlakunya perbuatan liwat dalam kalangan penghuninya, dengan menegaskan ia hanya membabitkan segelintir individu.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif GISBH menerusi satu rakaman video yang disiarkan di laman media rasmi Facebook syarikat itu pada Sabtu menafikan kanak-kanak terbabit disuruh meliwat dan pelbagai tuduhan lain termasuk penyediaan 'air berkat' menggunakan bulu serta kaki yang berlaku sejak 30 tahun lalu.

GISBH merupakan penjenamaan semula daripada syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd yang diterajui oleh Ashaari sekitar 1997 menggantikan Rufaqa Corporation berikutan tindakan pihak berkuasa pada 2006 kerana dikatakan cuba menghidupkan semula kumpulan al-Arqam yang diharamkan.

Selepas Ashaari meninggal pada 2010, GISBH telah diambil alih oleh balunya Hatijah Am dan terkini ia diterajui oleh menantunya Nasiruddin Mohd Ali.

Mengaku tidak bersalah

Sementara itu, tiga pembantu pengajar madrasah berkait dengan GISBH yang juga merupakan antara 200 orang yang ditahan dalam Op Global pada Rabu minggu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Tidak mengaku salah,” kata Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 21; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, secara berasingan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Surita Budin pada Khamis.

Tertuduh pertama Muhammad Habib didakwa atas lima pertuduhan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Di bawah Seksyen 14(a) akta sama, Ahmad Nadzful pula didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di madrasah berkenaan antara Jun hingga Disember 2023.

Enam pertuduhan lagi di bawah seksyen dan akta yang sama turut dikenakan ke atas Muhammad Khunais yang didakwa melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di madrasah berkenaan pada 2023.

Jika sabit kesalahan terhadap kesemua pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh masing-masing boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.

Hakim Surita kemudian membenarkan jaminan RM12,000 (AS $2,813) bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis pada setiap bulan serta sentiasa boleh dihubungi pihak polis.

Mahkamah menetapkan tarikh 30 Oktober ini untuk proses lantikan peguam dan serahan dokumen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.