Ketua Hakim Negara: Undang-undang era kolonial goda isteri orang tidak berperlembagaan

Undang-undang yang membenarkan lelaki untuk mencari keadilan terhadap orang yang mengganggu perkahwinan mereka telah dimansuhkan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.12.15
Kuala Lumpur
Ketua Hakim Negara: Undang-undang era kolonial goda isteri orang tidak berperlembagaan Pegawai polis Malaysia berkawal di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 23 Ogos 2022.
(Lai Seng Sin/Reuters)

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Jumaat memutuskan bahawa undang-undang pada zaman penjajah yang menjenayahkan perbuatan mana-mana lelaki yang menggoda isteri orang lain sebagai tidak berpelembagaan kerana disifatkan sebagai suatu diskriminasi ke atas wanita.

Undang-undang sedia ada hanya "melayakkan suami" untuk memulakan prosiding jenayah terhadap seseorang yang campur tangan dalam perkahwinan mereka, manakala isteri tidak dibenarkan bergantung kepada peruntukan tersebut, kata Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang menjadikan perbuatan “merampas atau menggoda” isteri lelaki lain dengan tujuan melakukan “penzinaan”, adalah melanggar prinsip kesaksamaan jantina,” tambah Tengku Maimun lagi.

Kumpulan hak asasi manusia dan pakar perundangan pula telah lama mengkritik undang-undang berkenaan, yang telah digubal pada era golongan isteri dianggap sebagai harta milikan suami mereka.

“Justeru, ini (undang-undang itu) adalah satu diskrimasi bersandarkan kepada jantina semata-mata.

“Seksyen 498 hanya memberi hak kepada suami untuk bergantung kepada peruntukan itu dengan mengetepikan semua hak isteri. Oleh yang demikian, ia adalah diskriminasi atas alasan jantina semata-mata.

“Hakikat bahawa inilah isu sebenarnya, diterangkan dengan jelas oleh Seksyen 132 Kanun Acara Jenayah, yang menyatakan bahawa 'Tiada mahkamah boleh melihat ada kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, kecuali atas aduan yang dibuat oleh suami kepada perempuan itu,” jelas Tengku Maimun dalam hujah penghakiman yang diperolehi oleh BenarNews.

“Kami berpandangan bahawa Seksyen 498 adalah tidak berpelembagaan atas alasan ia mendiskriminasi berdasarkan kepada jantina yang melanggar Perkara 8(2) Perlembagaan,” ujarnya lagi.

Perkara 8(2) Perlembangaan Persekutuan menegaskan “sebarang diskriminasi terhadap rakyat di atas alasan agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina tidak dibenarkan” atau dalam senarai perkara-perkara lain, melainkan diskriminasi itu dibenarkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun yang mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya dan hakim Mahkamah Persekutuan dengan itu membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan untuk merujuk persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan, sama ada Seksyen 498 adalah tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.

Undang-undang era kolonial

Dalam keputusan sebulat suara tersebut, panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli perniagaan itu merujuk persoalan undang-undang tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret pada tahun 2018 setelah suami wanita berkenaan memfailkan aduan.

Pada 2020, seorang ahli perniagaan di dakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana memikat wanita yang sudah berkahwin di sebuah pangsapuri di Selangor dua tahun sebelum itu selepas laporan polis dibuat oleh suami wanita berkenaan.

Di bawah Seksyen 498, seseorang yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Dalam hujah penghakimannya, Tengku Maimun berkata Seksyen 498 dianggap sebagai undang-undang sebelum Merdeka, dan mahkamah boleh mengubahnya bersesuaian dengan keadaan semasa sama ada dengan meminda, menyerap atau memansuhkannya di bawah Perkara 162(7).

Bagaimanapun, beliau berkata Perkara 162(7) melarang pindaan kehakiman ke atas Seksyen 498, memandangkan sebarang perubahan akan memerlukan pindaan yang signifikan, sekaligus berpotensi untuk mengubah asas kepada kesalahan berkenaan.

“Kedua-dua pihak sama ada menerima atau tidak menafikan bahawa tujuan tunggal seksyen ini adalah untuk menggambarkan wanita sebagai harta suami mereka sehinggakan tindakan memikat/mengambil/mengawal mereka dianggap sebagai satu kesalahan.

“Undang-undang itu adalah terpakai hanya ke atas wanita seperti mana yang dijelaskan oleh Seksyen 132 seperti yang disebut tadi. Oleh yang demikian, kami berpuas hati bahawa satu-satunya cara untuk Seksyen 498 selari dengan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan memansuhkannya menerusi perundangan, yang kami dengan ini melakukannya,” jelasnya lagi.

Berikutan itu, Seksyen 498 tidak lagi akan digunapakai, namun semua pendakwaan sebelum ini tetap dikekalkan.

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, ahli perniagaan itu akan merujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan tindakan lanjut ke atas prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Majistret.

Pemikiran lapuk

Rozana Isa, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi wanita, Sisters in Islam menyifatkan keputusan itu wajar dipuji kerana ia adalah langkah untuk mengiktiraf dan menegakkan kesaksamaan hak wanita yang berkahwin.

“Anggapan bahawa wanita adalah harta milikan suami adalah pemikiran yang lapuk dan bertentangan dengan pandangan perundangan mengenai rumahtangga yang sentiasa berkembang.

“Di sebalik pandangan umum bahawa pasangan yang berkahwin adalah entiti tunggal, Akta Wanita Berkahwin 1957, yang dikuatkuasakan enam dekad lalu, berperanan penting dalam mengiktiraf hak kebebasan personaliti seorang wanita yang telah berkahwin.

“Hak perundangan itu memberikan hak yang jelas kepada wanita yang berkahwin ke atas harta mereka, kebenaran untuk menyaman dan untuk disaman di atas kapasiti individu dan memastikan hak dan liabiliti perundangan mereka kekal sama, sepertimana mereka masih hidup,” ujarnya kepada BenarNews.

Menurut Rozana lagi, Seksyen 498 hanya memberi gambaran bahawa wanita tidak mempunyai kebebasan untuk berfikir dan memerlukan perlindingan daripada lelaki yang mempunyai niat yang meragukan.

Sebuah lagi kumpulan hak asasi wanita, All Women's Action Society, berpandangan bahawa keputusan itu menunjukkan halatuju progresif masyarakat Malaysia.

“Dengan mengisytiharkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berpelembagaan, mahkamah bukan sahaja telah memansuhkan undang-undang kuno, tetapi ia juga membuktikan komitmen ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang mengiktiraf hak kesaksamaan individu, tanpa mengira jantina,” ujarnya dalam satu kenyataan.

“Wanita adalah individu-individu yang memiliki autonomi mereka sendiri, bukan sekadar harta atau milikan suami mereka.

“Tambahan lagi, deklarasi ini mengetengahkan bahawa wanita dan lelaki dilihat sebagai mempunyai hak yang sama rata di sisi undang-undang, dan kesaksamaan undang-undang adalah satu prinsip asas kepada keluhuran undang-undang yang kita perlukan dalam sistem perundangan.”

Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.